Tirai Panggung Sari Kembali Dibuka, Rangkaian Program Menarik Meriahkan Istana Budaya


SELEPAS dua tahun sepi tanpa persembahan, Panggung Sari Istana Budaya kembali membuka tirai dengan nafas baharu dan rangkaian program yang lebih pelbagai.

Pembukaan semula panggung ikonik negara itu bukan sekadar menghidupkan kembali sebuah ruang persembahan berprestij, tetapi turut membuka lembaran baharu buat Istana Budaya dalam meneruskan peranannya sebagai antara pentas utama seni persembahan negara.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Istana Budaya kini mengatur pelbagai persembahan yang merangkumi muzik, teater, konsert dan produksi berskala besar, termasuk karya tempatan serta persembahan yang membawa nama artis dan produksi antarabangsa.

Pentas seni itu ditutup sejak Januari 2024 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bumbung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), sebelum kembali beroperasi pada Mei 2026.

Kini, ruang Panggung Sari dan Lambang Sari kembali menjadi tumpuan, sekali gus menghidupkan semula denyut seni di salah satu lokasi budaya paling ikonik negara. Kembalinya operasi panggung ini turut disusuli dengan pelancaran rangkaian program yang bakal mengisi kalendar Istana Budaya sepanjang 2026.

Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2026 yang berlangsung di Lambang Sari itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (KSU MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Istana Budaya bakal tampil dengan lima program terbitannya iaitu Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad yang berlangsung pada 4 Julai lalu, Nuansa Urban Rohani 2026 (25 Ogos), Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia (28 dan 29 Ogos), NSO bersama Aubrey Suwito ‘Pop & Simfoni’ (2 dan 3 Oktober) serta Teater Muzikal Pengembaraan Sang Kancil (13 hingga 15 November).

Dua program yang berlangsung pada Julai lalu, iaitu Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad di Laman Beringin dan Konsert Malaysia-Thailand bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) serta Permata Seni Muzik di Lambang Sari, menjadi antara pembuka tirai kepada rangkaian program tersebut.

Panggung Sari turut bakal dimeriahkan dengan pelbagai karya daripada produksi luar sepanjang tahun ini. Antaranya Douglas Lim: Vital Stats (15 Ogos), Beyond Words: L. Shankar & Samuel J. Dass Live In Concert (22 Ogos) dan Teater Muzikal Mansur & Liu (10 hingga 13 serta 16 hingga 20 September).

Rangkaian itu diteruskan dengan Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad (16 dan 17 Oktober), Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah II: Hikayat Dewa Mahkota (30 dan 31 Oktober serta 1 November), Four Generations In One House (5 hingga 7 November) dan Festival Filem Malaysia Ke-35 (21 November).

Menutup tirai program untuk tahun ini pula ialah Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5 (Disember), RUMI 819: Souls Across Civilizations A Malaysia-Iran Cultural Celebration (11 hingga 13 Disember) serta Teater Legenda Puteri Santubong (18 hingga 20 Disember).

Menurut Shaharuddin, kerajaan memperuntukkan RM80 juta bagi kerja-kerja naik taraf fasiliti Istana Budaya, merangkumi modenisasi teknologi pentas, kemudahan teknikal dan infrastruktur sokongan untuk menampung produksi berskala besar.

“Komitmen ini membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk terus memartabatkan Istana Budaya sebagai mercu seni persembahan negara dan hab seni unggul di rantau ini,” katanya.

Tambahnya, peluncuran program bagi tahun ini juga sebagai gambaran kesiapsiagaan Istana Budaya dalam menawarkan pengisian yang lebih inklusif dan kreatif, selain menyeru seluruh ekosistem industri seni untuk terus bekerjasama dalam memperkukuh agenda seni dan budaya negara.

Kembali Dengan Nafas Baharu

Lebih daripada sekadar memperbaharui prasarana, transformasi yang dilaksanakan turut memberi tumpuan kepada teknologi pentas dan keupayaan produksi agar Istana Budaya mampu memenuhi tuntutan karya moden yang semakin kompleks.

Gabungan teknologi, keselamatan, pengurusan produksi dan kelestarian menjadi sebahagian daripada usaha memastikan Istana Budaya kekal relevan dalam landskap seni persembahan yang terus berkembang.

Dalam perkembangan sama, Istana Budaya turut menjadi lokasi pameran instalasi seni bina kayu Timber Flow: The Folded Crest, karya yang meraih Gold Winner – Curated Booth Award sempena ARCHIDEX 2025.

Dengan keluasan kira-kira 60 meter persegi dan nilai sekitar RM135,000, instalasi tersebut diinspirasikan daripada tanjak tradisional Melayu sebelum diterjemahkan menerusi pendekatan seni bina kayu kontemporari.

Kehadiran karya itu menambah satu lagi dimensi kepada Istana Budaya, yang kini bukan hanya berfungsi sebagai ruang persembahan, tetapi turut menjadi wadah pertemuan antara seni, budaya, reka bentuk dan kreativiti.

Dengan tirai Panggung Sari yang kembali dibuka, Istana Budaya kini mempunyai ruang untuk membina semula momentum sebagai rumah kepada karya-karya tempatan dan antarabangsa.

Daripada muzik dan teater hingga persembahan eksperimental serta karya yang mengangkat warisan, rangkaian program 2026 memperlihatkan usaha untuk menjadikan pentas ini lebih dinamik dan dekat dengan perkembangan industri kreatif semasa.

Akhirnya, sebuah panggung bukan sekadar tentang pentas, lampu atau teknologi di belakang tabir. Nilainya terletak pada pengalaman yang tercipta apabila tirai dibuka, karya dipersembahkan dan penonton membawa pulang sesuatu selepas persembahan berakhir. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments