| (Dari kiri) Ninie, Jeed, Mia dan Iffah Hazim teruja diberikan tanggungjawab mengendalikan liputan Piala Dunia FIFA 2026 |
BAGI peminat bola sepak, Piala Dunia FIFA bukan sekadar pertandingan yang menentukan siapa bergelar juara, tetapi sebuah perjalanan penuh emosi yang menyatukan penyokong dari seluruh dunia. Setiap jaringan, taktikal dan detik mendebarkan menjadi cerita yang ingin dikongsi serta dikenang.
Namun, di sebalik setiap perlawanan yang mencuri perhatian, ada insan yang memainkan peranan penting dalam membawa suasana kejohanan itu lebih dekat kepada penonton.
Melalui skrin televisyen, mereka bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi turut menghidupkan naratif, emosi dan kisah di sebalik setiap aksi di padang.
Bagi empat hos wanita RTM, Ninie Ibrahim, Jeed Zulkefli, Mia Ibrahim dan Iffah Hazim, tanggungjawab mengendalikan liputan Piala Dunia FIFA 2026 hadir bersama cabaran, persediaan serta pengalaman yang tidak ternilai.
Masing-masing membawa latar belakang dan pengalaman tersendiri, namun berkongsi minat yang sama terhadap bola sepak. Di sebalik setiap siaran langsung, mereka perlu melakukan persediaan rapi bagi memastikan setiap perbincangan, fakta dan pandangan yang dikongsikan kepada penonton tepat serta menarik.
Persediaan Menjadi Kunci Utama
Bagi Ninie Ibrahim, minat terhadap bola sepak telah dipupuk sejak di bangku sekolah. Personaliti RTM itu bukan nama asing dalam dunia penyiaran sukan tanah air, malah sering mengendalikan pelbagai acara termasuk perlawanan Liga Malaysia dan Piala Malaysia.
Mengimbas pengalaman sepanjang Piala Dunia FIFA 2026, Ninie mengakui cabaran terbesarnya adalah bertugas selama lapan hari berturut-turut bermula daripada acara pembukaan kejohanan sehingga segmen Grandstand. Namun, cabaran tersebut menjadi pengalaman yang memberikan momentum positif sepanjang bersiaran.
Antara detik yang paling memberi kesan buat hos berusia 43 tahun ini ialah perlawanan pusingan 16 antara Argentina dan Egypt. Sebagai penyokong Egypt, dia menyifatkan aksi tersebut cukup mendebarkan apabila pasukan itu yang mendahului pada awal permainan akhirnya ditewaskan selepas Argentina menyamakan kedudukan dan menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir.
Bagi Iffah Hazim, 35, setiap penampilan di hadapan kamera bermula dengan kajian yang teliti. Penyampai RTM itu memastikan dirinya mengikuti perkembangan terkini pasukan menerusi laman web dan aplikasi sukan dipercayai, selain menonton sidang media bagi memahami pandangan jurulatih serta pemain.
“Semakan silang info dengan beberapa sumber yang berbeza dilakukan kerana ketepatan fakta adalah sangat penting dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada penonton adalah sahih, boleh dipercayai, informatif dan paling penting tidak membosankan,” katanya.
Sementara itu, Jeed Zulkefli mula meminati bola sepak secara lebih serius ketika Piala Dunia Brazil 2014. Daripada seorang penonton, minat itu berkembang apabila dia mula mengikuti perkembangan pasukan, pemain, statistik dan kisah di sebalik setiap kejohanan.
Apabila diberi peluang mengendalikan Grandstand FIFA World Cup 2026, Jeed, 38, melakukan persediaan lebih mendalam dengan memahami aspek taktikal, statistik dan corak permainan agar setiap perbincangan yang disampaikan lebih mudah difahami.
Baginya, aksi Brazil menentang Norway serta Portugal bertemu Sepanyol antara perlawanan paling menarik kerana perubahan taktikal dan drama sehingga saat akhir.
Bagi Mia Ibrahim, 34, pengalaman tujuh tahun sebagai pencipta kandungan dan wartawan di Malaysian Football League (MFL) membantu membina keserasian ketika mengendalikan Grandstand bersama pemain, perlawanan serta pundit jemputan.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memilih Perancis sebagai pasukan harapan selepas melihat kekuatan skuad tersebut dalam beberapa tugasan melibatkan pasukan berkenaan. Pemain pilihannya pula ialah Ousmane Dembele selepas aksi cemerlang termasuk menjaringkan hatrik ketika menentang Norway.
Sebagai hos, Mia bersyukur kerana sepanjang bersiaran semuanya berjalan lancar tanpa gangguan besar.
“Hanya kadang-kadang kena bersedia sekiranya perlawanan kalah mati dibawa ke penentuan sepakan penalti. Tapi selain itu, semuanya lancar,” katanya.
Di sebalik setiap siaran Piala Dunia FIFA 2026, empat hos wanita ini membawa lebih daripada sekadar informasi. Mereka membawa pengalaman, persediaan dan perspektif tersendiri dalam mendekatkan emosi kejohanan bola sepak terbesar dunia kepada penonton RTM. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments