DALAM DALAM dunia jam tangan mekanikal, sesetengah rekaan bukan sekadar tentang ketepatan masa, tetapi juga tentang cerita di sebaliknya.
Begitulah halnya dengan Antarctic Erotic, model terbaharu daripada jenama jam tangan Switzerland, Nivada Grenchen. Berasaskan model klasik Antarctic 38mm, ia menggabungkan warisan penerokaan kutub dengan pendekatan rekaan yang lebih berani dan tidak dijangka.
Model ini memperkenalkan dua pembaharuan utama iaitu paparan dial baharu serta caseback animasi yang hanya 'terbongkar' ketika proses winding. Ia menjadi satu elemen tersembunyi yang seolah-olah dicipta khusus untuk si pemakai sahaja, menjadikan jam ini bukan sekadar aksesori harian, tetapi juga sebuah karya mekanikal yang menyimpan rahsia kecil di sebalik rekaannya.
Penguin Simbol Warisan dan Pemuliharaan Antartika
Nama Antarctic sendiri membawa sejarah panjang yang berkait rapat dengan era penerokaan kutub pada tahun 1950-an. Model asalnya diperkenalkan pada 1954 dan mencatat sejarah sebagai antara jam tangan pertama yang tiba di Antartika, selain turut diuji dalam misi Operation Deep Freeze oleh Tentera Laut Amerika Syarikat pada 1955 hingga 1956.
Dalam dokumentasi ekspedisi tersebut, penguin sering muncul sebagai sebahagian daripada landskap semula jadi Antartika. Dari situlah bermulanya hubungan simbolik antara haiwan itu dengan identiti koleksi Antarctic, sebelum ia menghiasi bahagian caseback beberapa model vintaj Nivada Grenchen sebagai penghormatan kepada dunia penerokaan kutub.
Warisan itu terus dikekalkan menerusi model Antarctic moden, dan melalui Antarctic Erotic, simbol penguin diberi nafas baharu dengan sentuhan yang lebih kreatif tanpa mengabaikan sejarahnya. Lebih daripada sekadar elemen reka bentuk, model ini turut membawa misi yang memberi impak kepada dunia sebenar.
Melalui kerjasama dengan Oceanites, sebuah organisasi yang menjalankan pemantauan populasi penguin di Antartika, projek ini turut menyokong usaha pemuliharaan spesies tersebut. Sebuah koloni yang dianggarkan berjumlah 21,000 ekor penguin menerima manfaat daripada inisiatif ini apabila sebahagian dana projek disalurkan terus kepada usaha perlindungan, pemantauan dan penyelidikan lapangan di kawasan berkenaan.
Mekanisme Halus di Sebalik Rekaan
Bagi peminat jam tangan di Malaysia yang ingin melihat sendiri model ini, Antarctic Erotic kini boleh didapati menerusi Red Army Watches (RAW) yang kini membuka butik baharunya di Aras 5, Pavilion Kuala Lumpur.
Peruncit itu juga menjadi yang pertama di Malaysia membawa jenama Nivada Grenchen, sekali gus menawarkan akses lebih dekat kepada koleksi jam tangan Switzerland yang terkenal dengan gabungan warisan, ketepatan dan rekaan klasik.
Di sebalik penampilannya yang klasik, Antarctic Erotic digerakkan oleh movement Soprod PO54 yang telah diubah suai khas. Ia menggunakan mekanisme manual winding yang bukan sahaja mengekalkan kebolehpercayaan untuk pemakaian harian, malah turut menggerakkan sistem animasi pada caseback.
Bahagian mekanikal ini direka dengan pendekatan unik apabila roda ratchet diubah suai menjadi profil cam, membolehkan pergerakan winding diterjemahkan kepada gerakan menegak yang menghidupkan animasi penguin di bahagian belakang jam.
Dari segi rekaan fizikal, jam ini hadir dengan sarung keluli tahan karat bersaiz 38mm yang dikenali sebagai 'Spider Case'. Gabungan kemasan polished dan brushed memberikan kontras visual yang menyerlah sambil mengekalkan estetika vintaj yang menjadi identiti model ini sejak diperkenalkan.
Dengan ketebalan 12.45mm, jarak lug-to-lug 45mm dan lebar lug 20mm, ia direka untuk menawarkan keseimbangan antara keselesaan dan penampilan di pergelangan tangan. Jam ini turut dilengkapi kristal single-curve lens serta rintangan air sehingga 10 ATM, menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian.
Pilihan tali yang ditawarkan juga pelbagai, termasuk Beads of Rice bracelet, Flat Links bracelet, tali getah tropika hitam serta tali kulit berwarna hitam atau coklat dengan kemasan kulit berlubang serta jahitan kontras..
Antarctic Erotic turut hadir dalam beberapa konfigurasi, termasuk versi Tuxedo yang dilengkapi fungsi paparan tarikh, selain mengekalkan paparan asas jam, minit dan saat.
ARTIKEL LAIN:
0 Comments