Fajar Noor Dedah Kisah Cinta Paling Peribadi Dalam Album Sulung


SETIAP orang mempunyai kisah cinta yang meninggalkan kesan tersendiri. Ada yang bermula dengan bahagia, ada yang berakhir dengan kehilangan, dan ada juga yang terus hidup sebagai kenangan yang sukar dilupakan.

Perjalanan emosi itulah yang menjadi nadi kepada album sulung Fajar Noor berjudul Sementara, Selamanya, sebuah karya yang lahir daripada pengalaman peribadi dan kejujuran dalam bercerita.

Mengulas mengenai album sulungnya, Fajar  atau nama lengkapnya Fajar Nurdiansyah mengakui karya ini merupakan naskhah paling dekat dengan dirinya kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman dan emosi yang pernah dilaluinya.

“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya.

"Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” ujarnya.

Melalui Sementara, Selamanya, penyanyi asal Indonesia itu membawa pendengar menyusuri kitaran sebuah percintaan, bermula daripada detik pertama jatuh cinta, berdepan konflik, kehilangan, patah hati sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal dalam hubungan yang sebenarnya belum benar-benar berakhir.

Lebih daripada sekadar kisah percintaan, album ini menyelami emosi yang sering hadir selepas sebuah hubungan berakhir, termasuk penyesalan, rasa yang terpendam dan kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan.

Setiap lagu disusun sebagai sebahagian daripada perjalanan yang saling berkait, menjadikan keseluruhan album terasa seperti sebuah cerita yang berkembang dari satu bab ke satu bab.

Karya Sarat Emosi

Bagi merealisasikan visi tersebut, Fajar bekerjasama dengan penerbit Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada yang sederhana tetapi moden.

Gabungan melodi yang kuat dengan susunan muzik yang kemas menjadikan setiap lagu mudah dihayati tanpa perlu bergantung kepada elemen yang berlebihan.

Pada masa sama, album ini turut memperlihatkan kematangan Fajar bukan sahaja sebagai penyanyi, malah sebagai seorang pencerita yang mampu menterjemahkan perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Hasilnya, Sementara, Selamanya bukan sekadar mencerminkan kisah cintanya sendiri, malah menjadi cerminan pengalaman emosi yang mungkin pernah dilalui oleh ramai pendengar.


Dalam perkembangan sama, bintang berusia 22 tahun itu turut berkongsi khabar gembira buat peminat di Malaysia apabila bakal hadir untuk mempromosikan album sulungnya serta mengadakan persembahan istimewa. Kehadirannya dijangka menjadi peluang buat peminat tempatan menikmati lagu-lagu daripada album tersebut secara lebih dekat.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama.

"Saya harap persembahan secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua, dan saya tak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara live dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi persembahan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia. Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments