SATU lagi naskhah thriller jenayah dari Korea Selatan bakal mencuri perhatian penonton apabila Gold Land dijadualkan membuat debut eksklusif di Disney+ pada 29 April. Menggabungkan elemen suspens, aksi dan emosi, siri ini menjanjikan perjalanan penuh debaran yang berpusat kepada seorang wanita biasa yang terperangkap dalam dunia jenayah berisiko tinggi.
Kisah
Gold Land bermula apabila seorang pekerja lapangan terbang yang naif tanpa sedar diperdaya untuk membantu satu operasi penyeludupan. Tanpa disangka, situasi tersebut membawa kepada perubahan drastik dalam hidupnya apabila dia tiba-tiba memiliki sejumlah besar jongkong emas, sekali gus menjadikannya buruan individu-individu paling berbahaya di Korea.
Siri ini menandakan kemunculan pertama dalam dunia penstriman bagi Hwang Joyoon, penulis terkenal di sebalik filem ikonik
Old Boy.
Jalan ceritanya mengikuti perjalanan Heeju, seorang wanita muda dari kawasan luar bandar, di mana kehidupannya mula menunjukkan sinar baharu selepas menjalinkan hubungan dengan seorang juruterbang berjaya.
Namun, kestabilan yang baru dikecapi itu tidak bertahan lama. Setelah berjaya meninggalkan masa lalunya dan mendapatkan pekerjaan yang stabil di lapangan terbang, kehidupan Heeju sekali lagi berubah secara mendadak apabila teman lelakinya menghubunginya dalam keadaan terdesak meminta bantuan.
Dalam tempoh singkat, Heeju terpaksa melarikan diri sambil membawa jongkong emas, menuju menuju ke satu-satunya tempat yang dia pernah berjanji tidak akan kembali.
Pelarian dan Konspirasi
Perjalanan penuh risiko ini diperkukuhkan dengan barisan pelakon utama yang berpengaruh. Park Bo-young menggalas watak Kim Heeju sebagai seorang wanita yang bertekad untuk melarikan diri daripada bayang-bayang masa lalunya, manakala Kim Sung-cheol membawa karakter Woogy, ahli organisasi jenayah yang memburu Heeju tanpa henti. Gabungan kedua-dua watak ini membentuk dinamika yang tegang dan sarat emosi sepanjang penceritaan.
Siri ini diarahkan oleh Kim Sung-hoon, yang dikenali dengan pendekatan visual berani dan gaya penceritaan penuh intensiti. Dengan skrip yang ditulis sendiri oleh Hwang Joyoon,
Gold Land dilihat sebagai sebuah karya yang bukan sahaja menekankan aksi, tetapi turut menyelami konflik dalaman dan pilihan sukar terpaksa dihadapi oleh setiap watak.
Gold Land akan memulakan tayangan dengan dua episod pertama pada 29 April, diikuti dua episod baharu setiap hari Rabu sehingga ke episod akhir pada 27 Mei.
Sebagai antara siri Korea terbaharu paling dinanti di platform tersebut, naskhah ini berpotensi menjadi pilihan utama peminat drama thriller yang mencari cerita dengan tempo pantas, plot berlapis dan ketegangan berterusan.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments