| Lee Heejun, Han Jimin dan Lee Byunghun selaku bintang utama The Koreans |
DISNEY+ kini memulakan penggambaran untuk projek terbaharu mereka, The Koreans, adaptasi semula siri FX terkenal The Americans.
Siri asal oleh Joe Weisberg dan diuruskan bersama Joel Fields itu sebelum ini menerima pujian meluas, termasuk memenangi Golden Globe untuk Siri Televisyen Drama Terbaik pada 2019 serta dinobatkan sebagai AFI TV Program of the Year selama lima musim berturut-turut dari 2014 hingga 2018.
Versi baharu terbitan IMAGINUS dan Studio AA ini menampilkan Lee Byunghun serta Han Jimin sebagai teraju utama, di bawah arahan Ahn Gilho yang menjanjikan adaptasi penuh ketegangan dengan daya tarik siri asal dengan sentuhan segar ala Korea.
Di Sebalik Topeng Keluarga Sempurna
Mengambil latar era demokratization dan modernisasi budaya Korea Selatan pada awal 1990-an, The Koreans menyorot kisah sebuah keluarga kelas menengah yang menyimpan rahsia pengkhianatan besar.
Pada pandangan umum, mereka kelihatan seperti warganegara biasa, dihormati oleh jiran dan dikenali anak-anak mereka. Namun di sebalik kehidupan normal itu, kedua ibu bapa merupakan perisik elit Korea Utara yang bekerja secara rahsia untuk menjejaskan negara dari dalam.
Siri ini menekankan perbezaan mencolok antara dua negara yang pernah bersatu itu, sambil mengupas konflik dalaman watak perisik yang bergelut antara patriotisme, kesetiaan, identiti, dan cinta.
Ketegangan semakin memuncak apabila seorang ejen kontra-inteligen Korea yang berwibawa semakin hampir untuk mendedahkan identiti sebenar mereka.
Dengan gabungan aksi mendebarkan dan plot yang penuh intrik, The Koreans menjanjikan pengalaman menonton yang mengasyikkan daripada episod pertama hingga terakhir. Siri ini bukan sahaja menggabungkan drama dan ketegangan, malah menampilkan naratif kompleks yang mampu menarik penonton dari seluruh dunia.
Tayangan eksklusif The Koreans di Disney+ menandakan satu lagi langkah platform ini dalam memperluas portfolio kandungan Korea yang semakin mendapat perhatian global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments