Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[AlFatihah] Dharma Harun Al Rashid meninggal dunia


DUNIA seni tanah air kehilangan sebutir lagi bintang apabila pelakon era 1980-an, Dharma Harun Al Rashid, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Pemergian Allahyarham pada usia 68 tahun meninggalkan ruang yang cukup bermakna dalam memori peminat yang membesar dengan karya-karyanya.

Perkhabaran duka tersebut disahkan oleh anak keduanya, Muhammad Al Syafiq, 35, melalui satu kenyataan di Instagram.

Menurut Muhammad Al Syafiq sebagaimana dilaporkan media, ketika pulang ke rumah selepas menghadiri kelas di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dia mendapati tubuh bapanya sudah terbujur kaku. Bapanya disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas itu.

“Ayah saya meninggal waktu saya balik tadi pukul 9.10 malam,” tulisnya ringkas.

Allahyarham sebelum ini dikatakan bergelut dengan beberapa komplikasi kesihatan termasuk asma, bengkak pada bahagian jantung dan paru-paru, gastrik serta masalah tiroid.

Malah sejak beberapa bulan lalu, tahap kesihatannya semakin merosot sehingga berat badan menurun drastik ke sekitar 45 kilogram.

Keadaan itu membuatkan Allahyarham tidak lagi mampu bekerja untuk menyara kehidupan. Sebelum itu, pada 2019 Dharma turut mengalami serangan angin ahmar yang meninggalkan kesan pada pertuturannya.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi filem Adik Manja (1980) itu tinggal bersama dua anaknya iaitu Muhammad Al Syafiq, dan Siti Qurratu Aini, 37, yang masih menuntut di Aswara.

Ketika hayatnya, Allahyarham turut membintangi beberapa filem popular seperti Prebet Lapok (1979), Sikit Punya Gila dan Mekanik (1983), menjadikan portfolio lakonannya cukup pelbagai.

Selain kejayaan di layar perak tempatan, Dharma pernah menembusi pasaran antarabangsa apabila ditawarkan beraksi dalam filem Hollywood aksi-komedi Fifty/Fifty pada 1992, bergandingan bersama Peter Weller.

Tidak sekadar pelakon, figura tinggi lampai ini juga berbakat sebagai penyanyi dan pernah menghasilkan album solo berjudul Jika Kau Bermimpi Aku Di Sisimu di bawah label WEA Records.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Abu Ubaidah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments