Hot Posts

6/recent/ticker-posts

25 Tahun Berkarya, Shila Amzah Hadir Dengan ‘SA25’ — Album Penuh Emosi & Naratif Peribadi


SETELAH lebih dua dekad mengorak perjalanan seni penuh warna dan cerita, penyanyi Shila Amzah semakin teguh berdiri dengan karya-karya yang sentiasa meniti di hati peminat dan penggemar muzik.

Setiap kali menampilkan karya baharu, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah sentiasa menyuntik elemen istimewa sebagai penghargaan kepada peminat setia yang menyokong sejak sejak awal kemunculannya pada tahun 2000.

Bersempena 25 tahun perjalanan seninya, Shila tampil dengan kejutan buat peminat apabila kembali dengan album baharu berjudul SA25, sebuah koleksi yang memuatkan 10 lagu baharu, satu lagu ‘remake’, serta empat lagu bonus yang membawa pendengar menyelusuri beberapa fasa penting dalam hidup dan kerjayanya.

Mengulas tentang pemilihan judul SA25, Shila berkata, ia mempunyai makna yang cukup peribadi buat dirinya.

"SA itu mewakili nama saya, Shila Amzah, manakala 25 merujuk kepada ulang tahun saya bergelar anak seni. Ini adalah fasa terbaik dalam hidup dan kerjaya saya,” ujarnya.

Menerusi SA25, Shila menonjolkan sisi lebih matang sebagai penyanyi, komposer, dan penulis lirik. Menurutnya, terdapat lagu yang dihasilkan beberapa tahun lalu, termasuk Tinggal Kenangan  yang ditulis pada 2017, dan ada karya baharu menggambarkan situasi hidup yang pernah dilaluinya.

"Album ini bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi jurnal hidup saya. Setiap lagu mencerminkan fasa dan situasi berbeza yang saya lalui. Walaupun bekerjasama dengan beberapa komposer yang berlainan, DNA muzik saya tetap dikekalkan.

"Mereka semua adalah sahabat yang mengenali saya secara peribadi dan profesional. Itu yang membantu memastikan identiti muzik saya kekal walaupun lagu-lagu tertentu dicipta orang lain," katanya.

Bercerita lebih lanjut, Shila mengakui antara 10 lagu baharu yang dimuatkan dalam SA25, Sirna Hati adalah karya paling mencabar untuk disiapkan.

"Lagu ini berdasarkan kisah sebenar mengenai penderaan emosi dan fizikal yang pernah saya alami. Menulisnya seakan menghidupkan semula memori yang sukar.

"Namun, Ubai (suami) yang banyak membantu dalam proses menyiapkan lagu ini. Dia galakkan saya menulis untuk menutup buku lama ibarat menulis diari dan kemudian menutupnya untuk selamanya.

"Sementara, lagu yang paling dekat di hati saya  pula adalah Kamu, Untukmu (ditulis khas buat suami), dan Pernah Punya Aku, walaupun bukan kisah diri saya, namun berlaku di depan mata dan memberi kesan mendalam," jelas ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.

Lagu Pernah Punya Aku merupakan single pertama daripada album SA25 yang dikeluarkan empat bulan lalu. Single tersebut merupakan naib juara carta ‘ERA 40’ minggu ini dan sebelum itu turut menjuarai carta ‘Muzik Muzik 40’ buat tiga minggu berturut-turut. 

Sentuhan Peribadi & Kolaborasi Kreatif

Album SA25 turut menggabungkan sentuhan beberapa nama yang sudah lama bersama Shila dalam dunia kreatif, antaranya Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan Ubai sendiri sebagai penulis lirik

"Saya memilih mereka kerana hubungan persahabatan dan kefahaman yang mendalam terhadap diri saya. Album ini sangat peribadi, jadi saya perlukan orang yang benar-benar mengenali perjalanan saya,” tegas Shila.



Empat 'bonus track' pula dipilih berdasarkan nilai sentimental dan pengaruh besar terhadap perkembangan kerjaya serta kehidupan penyanyi berusia 35 tahun ini.

Penyejuk Hati merupakan karya ciptaan Shila untuk anaknya, Seth Uwais, manakala Jauh Hati pula adalah simbolik titik tolak kekuatan baharudalam fasa kehidupannya.

Sementara Tiada Dirimu pula dirakam ketika Shila sedang hamil, sekali gus menjadi karya penting yang membuka jalan kerjasama dengan syarikat rakaman Seventeen Eleven Music dan Nova Music, dan diikuti Khilaf Asmara  karya yang ditulis sepenuhnya oleh sahabat baiknya, Amylea Azizan, ketika Shila baru bersalin anak pertama.

Tidak hanya itu, Shila turut merakam semula lagu Memori Tercipta, hits yang pernah melonjakkan namanya selepas program One In A Million’.

"Versi asal penuh pengharapan. Versi baharu ini pula adalah mengenai meraikan perjalanan yang sudah ditempuh. Ia bukan untuk menggantikan rakaman lama, tetapi meraikan momen hari ini,” katanya.

Ulasnya lagi, jika SA25 perlu diringkaskan dalam satu kata, Shila menyifatkan album ini sebagai simbol kekuatan.

"Setiap lagu membawa mesej bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan, kehilangan. Ia album yang penuh emosi, ibarat 'roller coaster'.

"Diakui, banyak pihak menjadi sumber inspirasi sepanjang proses pembikinan album ini, termasuk ibu, suami, sahabat-sahabat terdekat dan diri sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Shila juga merancang jelajah SA25 dan akan mengumumkannya tidak lama lagi. Konsert terdekatnya dijadualkan pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

“Saya berharap album ini diterima baik, memberi kekuatan kepada pendengar, dan meninggalkan impak positif di dalam dan luar negara. Semoga setiap lagu ada tempatnya di hati peminat,” akhirinya.


Album SA25, diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment (syarikat rakaman milik Shila), boleh didapati dalam bentuk fizikal di platform e-dagang dan digital mulai 25 November 2025.

Siaran perdana video muzik rasmi Tinggal Kenangan, single kedua dari album ini, turut dilancarkan pada hari sama di saluran YouTube Nova Music Video. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments