DUNIA seni muzik tradisional tanah air kehilangan sosok penting dengan pemergian Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Mohd Yazid Zakaria, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu. Difahamkan, Allahyarham rebah ketika mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan, sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11.45 pagi, pada berusia 56 tahun.
Beberapa hari lalu, Yazid sempat mengetuai persembahan gemilang OTM untuk Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur yang menjadi sentuhan seni dan kepimpinan muzik terakhirnya.
Ketika hayatnya, Allahyarham menjadi antara figura penting dalam perkembangan muzik tradisional moden negara. Sumbangannya melangkaui pentas persembahan di mana Allahyarham merupakan antara individu yang memainkan peranan besar dalam mempopularkan muzik tradisional Malaysia di pentas tempatan dan antarabangsa, sekali gus membina jati diri muzik warisan kepada generasi muda.
Allahyarham dianugerahkan Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) sempena Sambutan Hari Pekerja 2024, sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, disiplin dan ketekunan dalam mengangkat seni warisan ke persada lebih tinggi.
Yazid mula menerajui OTM sejak penubuhannya di Istana Budaya pada 2010, selepas hampir dua dekad menabur bakti bersama Petronas Performing Arts Group (PPAG) sebagai komposer, pemuzik dan eksekutif muzik bermula tahun 1993.
Pemergiannya satu kehilangan besar buat dunia seni, namun karya, tunjuk ajar dan legasi yang ditinggalkan akan terus hidup dalam setiap melodi tradisi yang berkumandang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments