Hot Posts

6/recent/ticker-posts

“Saya cuba, tapi gagal..” – Aprena Manrose akhirnya sahkan sudah bercerai

Aprena mohon semua pihak doakan yang terbaik buat dirinya | FOTO: Intsgaram Aprena Manrose

MENAMATKAN segala spekulasi yang hangat diperkatakan mengenai rumah tangganya sebelum ini, pelakon Aprena Manrose akhirnya mengesahkan sudah bercerai dengan suami, Mohd Afiq Hazman.

Aprena, atau nama penuhnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 32, memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran penuh emosi di laman Instagram, sekali gus mengesahkan perkahwinan yang dibina sejak sembilan tahun lalu telah berakhir.

“Sedih pula bila skrol gambar bersama, tetapi hakikatnya kita tidak lagi bersama. Ya, saya bukan lagi isteri kepada Afiq. Kalau ada jodoh, tak ke mana,” tulisnya.

Anak kepada penyanyi terkenal, Iwan Syahman itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut berkenaan punca mahupun tarikh rasmi perceraian mereka.

Dalam nada tenang namun penuh kesayuan, Aprena menjelaskan bahawa dia sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan rumah tangga mereka, tetapi tidak berhasil.

“Saya cuba, bertahan dan usaha, tetapi saya gagal. Tiada lagi kita. Terima kasih atas rasa yang diberi dan rasa yang luar biasa. Semoga berbahagia. Saya undur diri dulu,” luahnya.

Pelakon drama Wanita Milik Kaiden itu turut memohon agar semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya dalam menghadapi fasa hidup yang baharu.

“Doakan saya mengharungi fasa baharu ini dengan tenang, ya,” katanya menutup coretan.

Aprena dan Afiq berkahwin pada 12 November 2016, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments