Ariel Fesol sedia galas cabaran di pentas akhir Big Stage Alpha | FOTO: Azrul Rafie/Astro Big Stage Alpha |
Oleh: ZULQARNAIN ABU HASSAN
FINALIS Big Stage Alpha, Ariel Fesol tidak menafikan kedudukannya dalam kelompok ‘bottom 3’ buat kali kedua memberi tamparan hebat dalam perjuangannya sepanjang program tersebut.
Namun, penyanyi berusia 27 tahun itu kekal positif dan menjadikan detik mencabar itu sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
“Kalau ada kesalahan saya lakukan, pastinya itu ruang untuk saya ubah dan jadi lebih baik. Kita semua ada hari yang tak okay, tapi itu bukan alasan untuk terus down,” kata Ariel kepada 7Klik ketika ditemui selepas konsert separuh akhir Big Stage.
Mengulas lanjut, Ariel menjelaskan bahawa emosi yang terganggu menjadi punca persembahannya sedikit terjejas dan bukan disebabkan faktor luar.
“Bottom 3 kali ini sebab saya terlalu risau. Bukan sebab sekeliling, tapi dalam diri saya sendiri. Bagaimanapun saya bersyukur masih diberikan rezeki untuk mara ke peringkat akhir.
“Alhamdulillah rezeki masih ada. Saya anggap ini sebagai peluang kedua untuk bangkit,” ujarnya penuh harapan.
Tambah Ariel, walaupun persembahan solonya kurang 'menjadi' pada aksi semi final, ia adalah pengalaman dan menjadi pengajaran berharga buat dirinya menjelang pentas akhir.
“Saya tahu sudah buat yang terbaik, tapi ada rasa persembahan solo agak ‘off’. Jadi itu yang saya nak betulkan,” katanya.
Menjelang konsert akhir, Ariel mengakui rasa takut dan gementar tetap ada, apatah lagi dengan format yang bakal memilih enam anggota Alpha untuk ditampilkan. Namun, dia berazam untuk memberikan persembahan luar biasa.
“Kalau saya rasa dah buat terbaik tapi orang tak nampak, itu yang paling menakutkan. Namun saya takkan berhenti mencuba,” katanya yang mempunyai impian besar saat memilih untuk menyertai program terbabit.
Menariknya, Big Stage membuka sisi baharu dalam diri Ariel yang tidak diketahui ramai, bakat terpendamnya dalam ‘rapping’.
“Saya memang minat rap, tapi tak pernah perform secara serius. Dalam program ini saya cuba dan melihat sambutan positif yang diterima, membuatkan saya mula yakin,” katanya.
Ariel Fesol kekal tenang meskipun diumumkan berada dalam kelompok bottom 3 di separuh akhir Big Stage | FOTO: Azrul Rafie/Astro Big Stage Alpha |
Jika terpilih sebagai antara enam anggota Alpha, Ariel berazam untuk menjadi main rapper kumpulan dan memperbaiki skil dari semasa ke semasa demi membawa kelainan dalam persembahan.
Di sebalik perjalanan seninya, Ariel turut berkongsi bahawa dia kini telah berkhidmat dalam industri penerbangan selama enam tahun.
“Saya pernah ketepikan minat dalam industri hiburan, tapi kali ini saya kembali bersemangat apabila nampak sedikit demi sedikit pintu rezeki terbuka,” katanya bersyukur.
Dalam pada itu, Ariel turut menzahirkan rasa terima kasihnya kepada para peminat yang sentiasa menyokong dan mengundinya sepanjang beraksi di pentas Big Stage.
“Saya baca semua komen dan sokongan anda, tanpa anda tiada Big Stage untuk saya. Perjuangan belum selesai jadi teruskan undi, bukan untuk saya saja, tapi juga untuk yang lain,” katanya.
Final Big Stage dijangka menampilkan kejutan dan drama tersendiri. Mampukah Ariel Fesol mencipta sejarah? Sama-sama kita saksikan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments