TOKOH wartawan wanita ulung, Fauziah Rauf, meninggal dunia akibat pendarahan di kepala di Hospital Selayang, sekiar jam 1 pagi Ahad.
Allahyarham yang juga merupakan pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun.
Fauziah merupakan sosok wartawan wanita yang disegani dan dihormati meninggalkan legasi besar dalam dunia kewartawanan dan industri seni tanah air.
Menurut anaknya, Nilly Wahida Omar, Allahyarham terjatuh di rumah kira-kira seminggu lalu sebelum dibawa ke hospital akibat pendarahan di kepala.
“Kami anak-anak berada di sisi emak semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir. Arwah pergi dengan tenang,” katanya sebagaimana dilaporkan media.
Jenazah kini berada di kediaman keluarga di Selayang dan akan dibawa ke Masjid Selayang Baru pada jam 10 pagi untuk urusan mandi dan solat jenazah. Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru.
Fauziah pernah berkhidmat sebagai wartawan Majalah Wanita di bawah akhbar Utusan Malaysia dan kemudiannya menubuhkan syarikat Nilly Publication yang menerbitkan majalah PESTA, Hawa serta Pentas Dunia.
Beliau juga pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya membawa artis tempatan menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan.
Antara penyanyi yang terlibat termasuk Ziana Zain, Anis Suraya, dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang memenangi Grand Prix pada tahun 2002.
Atas sumbangannya yang besar, Allahyarhamah telah dianugerahkan Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) 2017, anjuran bersama FINAS dan WHAM.
Suaminya, Allahyarham Omar Sudi atau lebih dikenali sebagai Omar Manan merupakan pelakon popular era 1990-an dan pengasas Persatuan Seniman. Allahyarham Fauziah meninggalkan empat orang anak dan 13 cucu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات