BERTEMAKAN 'Nang Champiyen, Nang Legend', bandaraya Miri menyaksikan malam penuh gilang-gemilang apabila Konsert MeleTOP TVS menggegarkan Stadium Tertutup Miri dengan kehadiran ribuan peminat serta barisan bintang terkemuka tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla, dan ramai lagi.
Lebih istimewa, ini merupakan kali pertama konsert mega MeleTOP dibawakan ke luar Lembah Klang, dan Miri menjadi pilihan sulung. Konsert berdurasi dua jam ini dibawakan oleh Astro dan TVS, dan disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka.
Persembahan pembukaan menampilkan gabungan unik budaya dan muzik oleh Sada Borneo dan Dion Das, disusuli persembahan memukau daripada Mimifly dan Stacy yang mempersembahkan lagu-lagu seperti Abracadabra, Menyala dan Angkat.
Antara persembahan yang menghangatkan pentas Konsert MeleTOP TVS. |
Turut mencuri perhatian ialah Wani Kayrie yang bergandingan bersama Noki menerusi lagu Original Sabahan dan Not Like Us, menyuntik semangat kebanggaan anak Borneo di atas pentas sendiri.
Dayang dinobatkan Ikon Borneo
Kemuncak konsert menyaksikan penyanyi tersohor kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah, menerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP, disampaikan oleh Pengerusi TVS, Datuk Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal.
Anugerah ini merupakan penghormatan tertinggi kepada anak jati Borneo yang berjaya mengharumkan nama negeri di persada muzik nasional.
Dayang turut menyentuh hati penonton dengan persembahan solo penuh emosi menerusi Seandainya Masih Ada Cinta, serta duet bersama Hael Husaini menerusi lagu Haram, yang menjadi salah satu momen paling mencuri tumpuan malam itu. Turut membuat penampilan ialah Hairee Francis, Marsha Milan, dan Nadeera.
Konsert ditutup dengan penuh gaya oleh kumpulan Dolla, yang mengajak penonton menari bersama menerusi persembahan bertenaga dan glamor.
Sepanjang acara, kemeriahan turut diserikan oleh celoteh hos-hos popular Meletop seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad, bergandingan bersama hos TVS seperti Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi.
Konsert Berkat Gawai-Kaamatan – 21 Mei 2025
Bagi meneruskan momentum luar biasa ini, TVS akanmembawakan satu lagi persembahan mega, Konsert Berkat Gawai-Kaamatan.
Bagi meneruskan momentum luar biasa ini, TVS bakal membawakan satu lagi konsert mega bersempena sambutan Gawai dan Kaamatan, iaitu Konsert Berkat Gawai-Kaamatan pada 21 Mei 2025, jam 7.30 malam di Stadium Tertutup Miri.
Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan ialah Ella, ratu rock negara, bersama Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, dan penampilan istimewa dari Kalimantan, Marina Jara.
Tiket percuma untuk konsert ini habis ditempah dalam masa singkat, namun peminat masih boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi TVS (tvsarawak.my) atau di pintu masuk stadium, selagi stok masih ada.
Orang ramai khususnya warga Miri dan kawasan sekitar dijemput hadir untuk meriahkan malam yang menjanjikan warna-warni budaya dan muzik dari seluruh Borneo.
Miri destinasi strategik
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, berkata, Miri merupakan destinasi strategik kerana ia adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan sangat dekat dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan.
"Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya adalah masa terbaik untuk meraikan rakyat dan budaya kita dalam skala besar,” ujarnya.
Gabungan artis ternama dan bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak membuktikan konsert sebegini bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform merapatkan budaya dan mencipta peluang keemasan untuk ramai pihak.
Dengan akses percuma, lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk pelancong dari Brunei dan Kalimantan dapat menikmati pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa di bumi Borneo. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات