Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Mimpi ngeri berdarah: Until Dawn uji keberanian penonton


MENGANGKAT genre seram psikologi ke tahap yang lebih berani, Until Dawn mengheret penonton ke dalam dunia mimpi ngeri yang sarat dengan misteri, trauma dan kejutan berdarah.

Diadaptasi daripada permainan video popular terbitan PlayStation Studios, naskhah ini mula menghantui pawagam sejak 8 Mei. Dengan elemen gore dan slasher yang mendominasi, ia jelas bukan untuk yang lemah semangat.

Dengan sentuhan pengarah David F. Sandberg dan penulisan skrip oleh Gary Dauberman dan Blair Butler, Until Dawn menawarkan pengalaman sinematik yang intens dan menyentuh sisi psikologi penonton.

Filem ini mengisahkan tentang Clover Paul lakonan Ella Rubin bersama sekumpulan rakan-rakannya iaitu Max (Michael Cimino), Nina (Odessa A'zion), Abel (Belmont Cameli), dan Megan (Ji-young Yoo)pergi ke Glore Valley untuk mencari jawapan kehilangan kakaknya, Melanie setahun yang lalu.

Namun pencarian itu membawa Clover dan rakan-rakannya terperangkap dalam gelung masa yang memaksa mereka mengulangi malam yang sama berulang kali, menghadapi ancaman seperti pembunuh bertopeng dan makhluk wendigo.

Setiap kematian membawa mereka kembali ke permulaan malam tersebut, tetapi berhadapan dengan ancaman yang semakin meningkat dan satu-satunya jalan keluar adalah untuk bertahan hingga subuh.

Konsep 'time loop' ini berjaya mencipta naratif yang mendebarkan dan penuh ketegangan psikologi. Setiap kematian membawa mereka kembali ke titik permulaan, namun dengan bahaya yang semakin meningkat. Ia menjadikan setiap percubaan untuk mengubah takdir terasa lebih terdesak dan penuh risiko.

Walaupun naratifnya berteraskan konflik dalaman dan trauma psikologi, filem ini dilihat sangat berani dari segi visual keganasan. Babak-babak slasher dipaparkan secara eksplisit di mana darah, luka terbuka mendominasi.


Antara babak mencemaskan dalam Until Dawn

Penggunaan 'sound design' yang berkesan juga berjaya membina ketegangan. Daripada bunyi halus yang memberi rasa cemas, sehingga bunyi yang tiba-tiba mengejutkan penonton menjadi sebahagian daripada 'bahasa' filem ini.

Namun berbeza dengan filem slasher tipikal, keganasan di sini diolah sebagai metafora trauma dan bukan semata-mata untuk 'shock value'. Salah satu adegan klimaks misalnya, memaparkan pembunuhan brutal secara sinematik hingga terasa seperti mimpi ngeri yang hidup.

Setiap zon trauma dalam cerita ini turut ditandai dengan kekerasan visual. Ini menjadikan pengalaman menonton lebih imersif dan 'disturbing', sesuai untuk penonton tegar genre seram, tetapi mungkin terlalu ekstrem untuk mereka yang tidak tahan dengan elemen berdarah.

Kelemahan watak, emosi

Sayangnya, kekuatan konsep tidak cukup untuk menampung kelemahan dari sudut pelaksanaan. Filem ini masih terperangkap dalam klise genre seram di mana beberapa babak terasa terlalu mudah dijangka dan kurang memberi impak emosi.

Sebagai sebuah filem seram, Until Dawn tidak dapat mengelak  daripada klise-klise yang biasa kita temui dalam genre ini. Walaupun ketegangan yang dibina cukup efektif pada awalnya, beberapa babak terasa dipaksa dan mudah dijangka.

Ketergantungan pada formula ini menjadikan beberapa elemen cerita terasa kurang segar dan lebih kepada yang biasa kita lihat dalam filem seram lainnya.

Dari segi lakonan, bintang-bintang utamanya dilihat cenderung kepada streotaip dan karakter mereka juga tidak dikembangkan dengan sebaiknya. Ini menjadikan penonton kurang merasa terhubung atau peduli terhadap nasib mereka.

Aspek ini memberi impak kepada keterlibatan emosi penonton sepanjang perjalanan filem ini. Cuma mungkin pujian boleh diberikan kepada Ji-young Yoo sebagai Megan yang menyerlah dengan karisma tersendiri.

Secara keseluruhannya, Until Dawn adalah percubaan berani untuk mengadaptasi permainan video ke layar lebar dengan pendekatan yang berbeza. Meski ia mungkin mengecewakan peminat tegar permainan asal ia tetap menawarkan sesuatu yang menghiburkan, terutamanya kepada pencinta genre seram thriller yang mencari kelainan.

Jangan lepaskan peluang menonton Until Dawn di pawagam berdekatan mulai 8 Mei 2025.


Trivia
  • Diadaptasi daripada permainan video popular PlayStation Studios.
  • Penggambaran dijalankan di Budapest, Hungary,  termasuk di terowong bawah tanah Kőbányai dan bangunan usang yang diolah menjadi Lembah Glore.
  • Solekan khas oleh Talli Pachter & Steve Newburn menghasilkan transformasi ngeri watak kepada makhluk menyeramkan.
  • Skor muzik oleh Benjamin Wallfisch berjaya menyemarakkan aura seram secara konsisten sepanjang filem. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:


UNTIL DAWN
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 45 minit
Pengarah: David F. Sandberg   
Pelakon: Ella Rubin, Michael Cimino, Odessa A’zion, Ji-young Yoo, Belmont Cameli, Maia Mitchell dan Peter Stormare
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 8 Mei 2025
Bintang: 6.5/10

[KREDIT FOTO: Sony Pictures Entertainment - Terima Kasih Junnette]

إرسال تعليق

0 تعليقات