KUMPULAN rock British yang pernah dicalonkan Grammy, Wolf Alice, kembali dengan single terbaharu berjudul Bloom Baby Bloom serta pengumuman album studio keempat mereka, The Clearing, yang bakal dilancarkan pada 29 Ogos di bawah label Sony Music.
Ditulis di Seven Sisters dan dirakam di Los Angeles bersama penerbit pemenang Grammy, Greg Kurstin, The Clearing menampilkan hala tuju baharu muzik Wolf Alice pada tahun 2025. Album ini sarat dengan keyakinan, idea besar, dan emosi.
Single Bloom Baby Bloom menandakan permulaan era baharu Wolf Alice. Sebuah lagu rock yang bertenaga dan penuh perasaan, membawa mesej tentang pertumbuhan, perubahan dan perluasan diri dalam kehidupan, muzik dan seni.
Dengan riff bass yang mengalun kuat, lagu pertama mereka dalam tiga tahun ini membawa sentuhan rock berat yang bijak dan bebas daripada stereotaip maskulin..
Penyanyi tama, Ellie Rowsell berkata, mereka mahu lagu rock yang memberi fokus pada elemen persembahan dan menyanyi seperti Axl Rose, tetapi lagu itu tentang menjadi seorang wanita.
"Sebelum ini, saya gunakan gitar sebagai perisai, mungkin sebagai cara untuk menolak stereotaip ‘penyanyi wanita dalam kumpulan’.
"Kali ini saya ingin fokus pada suara saya sebagai instrumen rock. Jadi, meletakkan gitar dan membebaskan diri daripada perlu membuktikan saya seorang pemuzik, itu satu kebebasan,” ujarnya.
Video muzik (MV) Bloom Baby Bloom diarahkan oleh Colin Solal Cardo (pernah bekerja dengan Charli XCX, Robyn, Christine & The Queens), menampilkan Ellie Rowsell dalam persembahan visual yang diinspirasikan oleh Bob Fosse dan All That Jazz.
Koreografi pula dikendalikan oleh Ryan Heffington, pemenang Emmy yang pernah terlibat dalam Euphoria, projek Sia, dan kempen Kenzo.
Berpengaruh
Sejak kemunculan mereka sebagai band muda dari North London pada 2013, Wolf Alice kini berkembang menjadi antara kumpulan paling berpengaruh dalam generasi mereka. The Clearing, menampilkan kematangan dan kemuncak prestasi muzik mereka.
Terdahulu, album debut, My Love Is Cool, yang menampilkan lagu dicalonkan Grammy Moaning Lisa Smile, menangkap pengalaman remaja yang mula meneroka dunia muzik. Sementara album kedua, Visions Of A Life (2018), mengukuhkan kejayaan mereka dengan Anugerah Mercury Music Prize, diikuti oleh album ketiga, Blue Weekend (2022), yang memuncaki carta UK dan meraih anugerah Brit Award untuk Kumpulan Terbaik.
Wolf Alice juga telah mengadakan jelajah dunia beberapa kali, menggegarkan pentas-pentas festival besar dan melakukan persembahan pembukaan bagi artis ternama seperti ikon pop Harry Styles. Musim panas ini, mereka dijadualkan untuk persembahan di Radio 1’s Big Weekend dan kemuncak di festival Glastonbury.
Album terbaharu, The Clearing, menampilkan Wolf Alice di kemuncak kematangan mereka, baik dari segi penulisan, bunyi, dan visi artistik. Ia adalah karya pop/rock yang menyentuh elemen era '70-an, tetapi kekal segar dan relevan untuk hari ini. Jika Fleetwood Mac menulis album dari North London hari ini, mungkin beginilah hasilnya.
Melodinya lebih teguh dan tersusun berbanding karya terdahulu, dengan setiap trek membawa karakter tersendiri tanpa perlu meleret atau berlebihan.
Teras album ini terletak pada penceritaan puitis Ellie Rowsell yang semakin berkembang. Bersama Joff, Theo dan Joel, mereka menzahirkan semangat untuk terus berseronok sambil kekal yakin dengan bakat dan cita-cita yang mereka miliki, tepat pada masanya untuk babak baharu ini.
The Clearing merakam detik di mana Wolf Alice menemui ketenangan selepas melalui masa muda yang bebas dan mencabar. Kini, Wolf Alice berdiri bersedia menempuh masa depan, satu potret band yang sedang menjejak masuk ke dekad baharu dalam hidup dan seni mereka. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات