Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Spider 'Keluar Sarang' demi kejutan istimewa buat peminat


SETELAH lama tidak tampil dalam persembahan berskala besar untuk peminat, kumpulan Spider bakal kembali dengan Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024.

Persembahan istimewa yang akan berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 22 Jun depan itu akan menyaksikan Spider beraksi dengan seleksi lagu-lagu popular mereka seperti Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Aladdin, Laukku Cukup Masin, Nazraku dan banyak lagi.

Hampir tiga dekad bergiat aktif dalam bidang muzik, Spider yang dianggotai oleh Tam, Nafie dan Aie sememangnya memiliki reputasi dan identiti tersendiri, sekali gus membuatkan penonton teruja menantikan penampilan terkini mereka di pentas persembahan.

Malah Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 yang bakal berlangsung itu disifatkan sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat kumpulan itu ‘keluar sarang’.

Mewakili Spider, Tam menyifatkan persetujuan di antara Spider dan pihak penganjur, IFIX Entertainment dapat dicapai dengan baik kerana konsep dan misi yang dibawa untuk persembahan ini adalah sama.

“Setelah banyak terlibat dengan persembahan-persembahan di festival atau gig kecil usai pandemik, Spider melihat ini adalah masa yang tepat untuk kami ‘keluar sarang’.

“Konsep ‘keluar sarang’ yang dicapai bersama IFIX Entertainment menjadi pertaruhan kami kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.

“Tentu saja Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan,” ujarnya.


Sementara itu, IFIX Entertainment optimis persembahan tersebut akan mencipta sensasi tersendiri di sebalik para penggeraknya.

“Secara jujurnya pihak IFIX Entertainment sudah lama mengikuti perjalanan karier Spider. Spider adalah kugiran legenda yang bukan hanya memberi hiburan kosong tetapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.

“Karya-karya yang dilahirkan Spider cukup tersendiri menjadikan mereka sebagai kugiran rujukan buat generasi masa kini yang mahu mencipta aliran muzik seumpama Spider.

“Walaupun sepanjang hampir 30 tahun Spider hanya memiliki enam album studio penuh tetapi daripada setiap album yang terhasil, mereka punya banyak hit atau lagu popular yang diminati ramai," katanya.

Tiket-tiket Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur dijual pada harga RM179 sehingga RM259 dan pembelian boleh dibuat menerusi tapautix.asia- 7KLIK



[FOTO: IFIX Entertainment - Terima kasih Opie]

Post a Comment

0 Comments