Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Once teruja beraksi di konsert Trio Terhebat, kongsi pentas dengan Marcell dan Bams Samsons Gah


PERTAMA kali hadir ke Malaysia berkolaborasi bersama dua teman vokalis yang sudah punya tanda dagang terkenal lewat magis suara masing-masing, ada keterujaan yang disimpan Once Mekel.

Manakan tidak, Once akan berkolaborasi bersama Bams Samsons dan Marcell lewat Konsert Trio Terhebat Vol. 1 yang dibawakan oleh Arena Muzik bersama sokongan Icon Entertainment.

Penyanyi berusia 53 tahun itu mahu memastikan perkongsian pentas mereka bertiga akan memberi kepuasan kepada peminat.

“Saya cukup teruja untuk berkongsi pentas Trio Terhebat bersama Bams Samsons dan Marcell. Jadi saat dilamar sahabat yang sangat saya percayai, Iman Tang dari Icon Entertainment saya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju dengan konsepnya.

“Seingat saya, saya pernah membuat persembahan bersama Marcell di Indonesia tetapi belum pernah dengan Bams. Tentu ini (Trio Terhebat) akan menjadi sebuah konsert yang menarik dengan setiap kami mungkin menghadirkan sekitar lapan sehingga 10 lagu.

“Setelah itu saya juga bakal punya kesempatan membuat persembahan dengan band Marcell dan Bams Samsons,” katanya.

Selain pertama kali sepentas dengan Marcell dan Bams Samsons yang belum pernah dikongsi meski di negara kelahiran mereka, Indonesia, penyanyi kelahiran Makkasar itu mahu pendengar dan peminat mengenalnya sebagai sosok solois berdiri di atas nama Once Mekel, bukan vokalis Dewa 19.


Sedar bahawa namanya dan Dewa 19 tidak akan dapat dihapus dalam sejarah, Once mahu peminat yang bakal hadir ke Konsert Trio Terhebat pada 4 Mei 2024 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre juga akrab dengan lagu hit miliknya sendiri.

“Apa yang pasti saya akan mendendangkan untaian lagu daripada album-album solo Once Mekel.

“Akan saya dendangkan Dealova, Matilah Kau, Simfoni Indah dan Ku Cinta Kau Apa Adanya,” katanya lagi.

Vokalis yang terkenal dengan nada suara tinggi itu bagaimanapun tidak keberatan jika pihak penganjur mahu dia membawakan lagu Dewa 19.

“Secara peribadi saya tidak berhasrat membawa lagu-lagu daripada Dewa 19. Namun tergantung permintaan (penganjur),” tegasnya.

Ironi ketidakmahuan Once membawakan lagu-lagu Dewa 19 adalah kerana dihalang pengasas band fenomena itu, Ahmad Dhani. Dhani melarang membawa lagu-lagu Dewa 19 dalam persembahan solo Once kerana perihal royalti.

Mengulas mengenai isu tersebut, Once menyifatkan untuk kes bersama Dewa 19, Dhani wajar dan berhak ke atas karya yang dihasilkan.

“Cuma secara peribadi menurut saya jika seorang komposer menghalang penyanyi dengan lagu yang dibikin khas buatnya mendendangkan ia dalam persembahan, itu jadi tidak wajar. 

“Soalnya isu royalti adalah antara pencipta dengan penganjur bukan bersama penyanyi. Penyanyi hanya menyampaikan karya yang dibikin buat mereka,” jelas Once.

Justeru dia berharap agar peminat tidak lupa hadir menyaksikan Konsert Trio Terhebat 1.0 bersama Marcell dan Bams di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 4 Mei depan.

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga RM1388, RM558, RM458, RM358 dan RM308. Pembelian boleh dibuat menerusi  www.ticket2u.com- 7KLIK



[FOTO: Icon Entertainment - Terima kasih Opie]

Post a Comment

0 Comments