Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Noraniza pilih Hazama, bikin kejutan dengan Penawar Kita



OLEH: AILEEN ADAM

MAHU terus menyajikan karya terbaik dan berbeza buat peminat muzik tanah air, penyanyi Noraniza Idris tampil dengan kolaborasi terbaharu bersama Hazama, menerusi lagu Penawar Kita.

Karya ciptaan Kmy Kmo danLuca Sickta menggabungkan elemen muzik tradisional serta moden yang sinonim dengan perwatakan nyanyian daripada Noraniza mahupun Hazama.

Gabungan istimewa itu telah menghasilkan dinamika muzik yang membawa perpaduan elemen tradisional dan moden yang sangat menarik.

Noraniza yang cukup sinonim dalam perjuangannya dalam memartabatkan muzik irama Malaysia, berbesar hati apabila penerbitan lagu tersebut dipantau sepenuhnya oleh Datuk M.Nasir.

"Penerbitan single ini dipantau sepenuhnya oleh M.Nasir selaku penasihat. Saya sangat berbesar hati dapat khidmat nasihat daripada Datuk, satu nama besar yang dihormati dalam industri muzik hingga kini," ujarnya.

Mengulas tentang kolaborasi bersama Hazama, penyanyi Dikir Puteri itu berkata, pemilihan Hazama adalah disebabkan kesesuaian vokal mereka. 

"Setelah siap rangka susunan muzik, saya cadangkan agar lagu ini diduetkan dengan artis baharu atau sedang aktif dan sesuai dengan vokal saya. Ambil masa lama juga meninjau.

"Suatu hari saya buat satu program melibatkan Hazama dan terus terfikir untuk calonkan dia sebagai rakan duet. Usulan itu disambut baik oleh pengurusan Hazama. Bermulalah rakaman single ini," katanya.




Sementara itu, Hazama, 39, mengakui bertuah diberikan peluang untuk berkolaborasi dengan Noraniza.

"Kali pertama dapat panggilan projek ini saya terus setuju dengan tawaran dari Kak Ani. Kebetulan pula saya memang peminat Kak Ani dari kecil lagi.

"Projek ini merupakan kali pertama saya merakamkan lagu yang bergenre Irama Malaysia. Tanpa tawaran ini , tidak mungkin berpeluang untuk merakamkan lagu yang berunsurkan Irama Malaysia kerana saya sememangnya membawakan genre Rock.

"Terima Kasih tak terhingga kepada semua yang terlibat dan pihak Luncai Emas yang banyak membantu sepanjang proses projek ini dijalankan," katanya.




Penawar Kita yang merupakan karya terbitan bersama Luncai Emas dan NIPV Management terhasil unik dengan gabungan konsep muzik dan lirik bermakna daripada Kmy dan Luca.

Lagu ini menggabungkan elemen muzik tradisional yang terpilih dengan hikmah pantun nasihat, mencipta perpaduan menawan antara tradisi dan moden.

Bait lirik lagu ini bakal membawa pendengar dalam perjalanan yang menyentuh hati, di mana ujian dan cabaran kehidupan berfungsi sebagai pengajaran praktikal dalam memahami hakikat hubungan manusia.

Sejajar dengan evolusi muzik dalam peredaran masa kini, Noraniza dan Hazama berharap lagu duet mereka diterima baik peminat muzik di Malaysia dan dapat merentasi peringkat umur serta memberikan pengalaman bermakna kepada semua pendengar.

Penawar Kita kini boleh didapati di semua platform muzik utama, seperti Spotify, Apple Music, Itunes dan lain-lain. Muzik Video pula akan mula boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas mulai 10 November 2023. - 7KLIK


[KREDIT: Luncai Emas]




Post a Comment

0 Comments