Oleh: AILEEN ADAM
NOVEMBER ini, Disney+ membawakan pelbagai pilihan tontonan yang merangkumi drama romantik berlatar dunia istana, pertandingan fesyen, kisah adiwira Marvel hinggalah pengembaraan fantasi yang dinanti-nantikan peminat.
Daripada kisah seorang maharani yang bangkit menentukan nasibnya sendiri kepada misi berbahaya demi menyelamatkan insan tersayang, barisan kandungan baharu kali ini menawarkan cerita dengan latar dan tarikan berbeza.
Berikut lima judul yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan anda sepanjang November ini.
The Remarried Empress (Musim 1)
Pelakon: Shin Min-a, Ju Ji-hoon dan Lee Jong-suk
Tayangan: 4 November 2026
Kehidupan seorang maharani yang bijaksana, berani dan sentiasa mengutamakan rakyat berubah apabila suaminya menuntut perceraian demi mengahwini wanita simpanannya. Tanpa diduga, dia menerima permintaan tersebut, malah mengejutkan seluruh istana apabila mengemukakan hasrat untuk berkahwin dengan maharaja dari kerajaan pesaing.
Keputusan itu membuka lembaran baharu yang dipenuhi permainan politik, percintaan tidak terduga dan perjuangan seorang wanita untuk menentukan semula hala tuju hidupnya.
Style Wars (Musim 1)
Pelakon: Lee Hyeri, Hong Jingkyung, Jung Wookjun, Bae Jungnam dan Choi Hee Seung
Tayangan: 11 November 2026
Dunia fesyen menjadi medan persaingan buat 72 pencinta gaya daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar universiti, pesara, pempengaruh, penggemar fesyen amatur dan golongan profesional. Mereka bakal berentap menerusi beberapa cabaran yang menguji kreativiti serta kemahiran masing-masing.
Daripada menghasilkan rekaan menggunakan bahan terpakai hingga mengetengahkan gaya retro, setiap peserta perlu menghasilkan sesuatu yang unik berdasarkan bahan yang disediakan. Persaingan ini bukan sahaja menguji pengetahuan tentang trend semasa, malah memberi peluang untuk memperlihatkan identiti dan gaya peribadi melalui fesyen.
VisionQuest (Musim 1)
Pelakon: Paul Bettany dan James Spader
Episod 8 (Finale): 11 November 2026
White Vision cuba menjalani kehidupan tenang selepas dihidupkan semula, namun hasrat itu terganggu apabila ganjaran ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya. Keadaan tersebut memaksanya berdepan semula dengan masa silam, termasuk serpihan kecerdasan buatan (AI) dalam dirinya seperti Ultron.
Dalam usaha memahami identiti dan makna kewujudannya, White Vision turut berdepan cabaran untuk membina semula hubungan dengan keluarga. Persoalan tentang masa lalu dan masa depan akhirnya menjadi ujian besar dalam perjalanan dirinya.
Percy Jackson and the Olympians (Musim 3)
Pelakon: Walker Scobell, Leah Sava Jeffries, Aryan Simhadri dan barisan pelakon lain
Tayangan: 20 November 2026
Pengembaraan Percy Jackson kembali dengan ancaman lebih besar apabila Annabeth ditawan oleh pengikut Kronos. Bersama Grover, Percy memulakan misi berbahaya untuk menyelamatkan sahabatnya, membebaskan seorang dewi yang terkurung serta berdepan sumpahan Titan yang boleh membawa kepada kejatuhan Olympus.
Sepanjang perjalanan, mereka turut bertemu beberapa rakan seperjuangan yang tidak disangka-sangka. Namun, cabaran sebenar menanti apabila Percy perlu berdepan satu ramalan yang mampu mengubah nasib dunia para dewa.
Tigers Sniff The Rose (Musim 1)
Pelakon: Meng Ziyi dan Li Yunrui
Tayangan: November 2026 (tarikh belum diumumkan)
Diadaptasi daripada novel popular terbitan Jinjiang Literature City, drama ini mengisahkan Puteri Mu Wanyao yang terkenal dengan sikap keras dan sukar dikawal, serta Yan Shang, seorang pegawai istana bijaksana yang kelihatan sederhana tetapi memiliki kelebihan tersendiri. Kehidupan mereka berubah apabila titah diraja menetapkan kedua-duanya sebagai pasangan suami isteri, sekali gus mengheret mereka ke tengah konflik dan perebutan kuasa istana.
Bermula dengan sikap saling curiga, hubungan mereka perlahan-lahan berubah apabila masing-masing mula memahami kelebihan pasangan. Daripada sekadar mempertahankan diri, mereka akhirnya menjadi sekutu yang saling mempercayai dalam menghadapi permainan politik istana, sebelum hubungan itu berkembang menjadi sebuah percintaan.
Daripada kisah percintaan dan perebutan kuasa dalam dunia istana kepada pertandingan fesyen serta pengembaraan penuh aksi, pilihan Disney+ bulan ini memberikan ruang kepada penonton untuk meneroka pelbagai genre mengikut cita rasa masing-masing.
Sama ada mengikuti perkembangan watak kegemaran, mencari drama baharu untuk ditonton atau menikmati kisah fantasi bersama keluarga, November menjanjikan beberapa judul menarik untuk dimasukkan dalam senarai tontonan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20(1).jpg)
0 Comments