Pilihan Utama Prime Video Sepanjang November 2026


Oleh: AILEEN ADAM
NOVEMBER menyaksikan Prime Video membawakan barisan filem dan siri baharu merangkumi pelbagai genre, daripada fantasi dan romantik hinggalah misteri serta kisah kehidupan tokoh sukan.

Peminat juga boleh menikmati koleksi lengkap 11 filem Harry Potter dan Fantastic Beasts yang mula tersedia pada 30 Oktober, selain mengikuti empat perlawanan berganda NBA sepanjang bulan ini.

Berikut antara kandungan utama yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan anda sepanjang November 2026.

The Complete Harry Potter & Fantastic Beasts Film Collection
Tayangan: 30 Oktober 2026 (Kesemua 11 filem)

Koleksi lengkap 11 filem Harry Potter dan Fantastic Beasts membawa penonton mengimbas kembali pengembaraan Harry, Ron dan Hermione, selain meneroka dunia makhluk ajaib bersama Newt Scamander menerusi tiga filem Fantastic Beasts.

The Greatest
Tayangan: 4 November 2026

The Greatest mengisahkan perjalanan hidup Muhammad Ali sebagai legenda tinju dan tokoh kemanusiaan yang berpengaruh. Dengan kebenaran rasmi daripada isterinya, Lonnie Ali, siri ini menyorot kejayaan serta kekalahan di gelanggang, selain sisi peribadi yang membentuk legasi Ali dalam dunia sukan dan masyarakat.

Campus Drivers
Tayangan: 6 November 2026

Kehidupan Lois berubah selepas hubungan cintanya berakhir dan dia terpaksa tinggal bersama Lane, pengasas aplikasi popular Campus Drivers yang dikenali sukar memberikan komitmen. Tinggal sebumbung tanpa dirancang mula mencetuskan tarikan antara mereka, meskipun masing-masing masih dibayangi kisah silam.

The Lord of the Rings: The Rings of Power (Musim 3)
Tayangan: 11 November 2026

Lima tahun selepas kejatuhan Eregion, Middle-earth kembali bergolak apabila Sauron berusaha menguasai One Ring dan meluaskan kuasanya. Kaum Dwarf, Elves, Manusia dan Wizards perlu bersatu untuk menghalang rancangannya daripada menakluki seluruh Middle-earth. Musim ketiga ini diterbitkan oleh J.D. Payne dan Patrick McKay.

Blade Runner 2099
Tayangan: 25 November 2026

Berlatar 50 tahun selepas Blade Runner 2049, siri ini mengikuti Cora (Hunter Schafer), seorang pelarian yang menyamar sebagai Blade Runner dan bekerjasama dengan Olwen (Michelle Yeoh), Replicant yang semakin menghampiri penghujung hayatnya. Misi memburu seorang pelarian membawa mereka kepada rahsia yang mampu menggugat kestabilan Los Angeles.

The Housemaid
Tayangan: 5 November 2026

Millie (Sydney Sweeney) menerima pekerjaan sebagai pembantu rumah di kediaman mewah pasangan Nina (Amanda Seyfried) dan Andrew (Brandon Sklenar) demi memulakan kehidupan baharu. Namun, rahsia, manipulasi dan permainan psikologi di sebalik kemewahan keluarga itu mula mengheretnya ke dalam situasi berbahaya.

Madden
Tayangan: 18 November 2026

Diilhamkan daripada kehidupan legenda sukan John Madden, filem ini mengisahkan kejayaannya bersama Al Davis membawa pasukan Raiders meraih Super Bowl, sebelum dikenali sebagai pengulas bola sepak dan pencipta permainan video Madden NFL. Arahan David O. Russell ini menampilkan Nicolas Cage sebagai Madden dan Christian Bale sebagai Davis, bersama Kathryn Hahn, Sienna Miller, John Mulaney serta Shane Gillis.

Perfectos Mentirosos (Perfect Liars)
Tayangan: 20 November 2026

Jude Derry (Irene Balmes) menyusup masuk ke dalam keluarga Cash di Universiti Tagus untuk menyiasat kematian abangnya. Namun, pertemuannya dengan tiga pewaris keluarga itu, Aegan (Gleb Abrosimov), Adrik (Pau Simon) dan Aleixandre (Pablo Scapigliati), membawa kepada permainan penuh godaan, pembohongan dan rahsia yang mengubah misinya.

Nine to Six
Tayangan: 25 November 2026

Kang Yi-ji (Park Min-young), pengurus kanan yang mengutamakan kerjaya, mula mempersoalkan pendiriannya terhadap cinta selepas bertemu Han Sun-woo (Yook Sung-jae), pelatih yang meminati reka bentuk barang kemas, serta Park Hyun-tae (Go Soo), ketua yang menghargai kebolehannya. Kehadiran dua lelaki itu mengubah pandangannya terhadap hubungan dan kehidupan peribadi.

Devils’ Crest
Tayangan: 6 November 2026

Yuuma Ashihara, murid Tahun Enam, menyertai ujian Actual Magic (AM), permainan VR MMORPG yang menawarkan pengalaman imersif sepenuhnya. Namun, selepas menewaskan ketua dungeon, dia tidak sedarkan diri dan mendapati dunia permainan itu seolah-olah bercantum dengan realiti, termasuk perubahan fizikal rakan sekelasnya, Sumika Watamaki yang kini menyerupai raksasa.

NBA on Prime: Musim 2026–27
Tayangan: Sepanjang November 2026

NBA on Prime menampilkan empat perlawanan berganda setiap Sabtu sepanjang November, membabitkan pertemuan pasukan seperti 76ers, Cavaliers, Lakers, Warriors dan Knicks. Jadual turut menyaksikan aksi Black Friday pada 28 November dengan Miami Heat menentang New York Knicks, diikuti Los Angeles Lakers bertemu San Antonio Spurs.

Apa pun pilihan anda, November menjadi peluang untuk menambah beberapa judul baharu dalam senarai tontonan di Prime Video. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments