Hot Posts

6/recent/ticker-posts

DENDAM SHUKRI YAHAYA, EMMA MAEMBONG


DISEBABKAN kesilapan orang lain, Emma Maembong menjadi mangsa dendam Shukri Yahaya? Kasihan Emma… tak fasal-fasal didendami tanpa mengetahui apakah salahnya. Tapi kenapa ya? Kalau nak tahu apa yang membuatkan Shukri Yahaya berdendam dengan Emma Maembong, jangan lupa saksikan drama Kerana Dia Manusia Biasa, di slot Samarinda mulai 24 Julai lalu. 

Drama penuh emosi ini bakal menggantikan drama Mimpi Sabrina yang akan beralih ke slot Azalea setiap hari Isnin hingga Khamis jam 2.00 petang. Kerana Dia Manusia Biasa arahan Idora Abdul Rahman ini mengisahkan mengenai keperitan hidup seorang isteri, Nurin Aira lakonan Emma Maembong yang disiksa jiwa dan raga oleh suaminya, Tengku Shamil Zaquan lakonan Shukri Yahaya. 

Pada usia yang muda juga, Nurin Aira telah memikul tanggungjawab apabila Nora (Sasqia Dahuri), kakak angkatnya meninggalkan seorang bayi bernama Alia kepadanya. Nora berjanji untuk mengambil Alia semula apabila masalahnya selesai. Malangnya, lima tahun berlalu dan Nora tidak juga muncul. Nurin menjaga Alia dengan penuh kasih sayang bagaikan darah dagingnya sendiri.


  


Kehilangan Aisyah, membuatkan jiwa Tengku Shamil Zaquan beku untuk mencintai insan lain. Lebih menyedihkan, isterinya pergi setelah diragut insan yang tidak berperikemanusiaan. 

Tengku Shamil yang ingin lari dari desakan keluarga dan juga kerana mempunyai agenda tersendiri, dia dan Nurin Aira disatukan walau dalam hati, Tengku Shamil tidak pernah terfikir untuk menduakan Aisyah. Nurin Aira hanya pasrah dan berkorban demi menyelamatkan Tengku Shamil daripada bergelar anak derhaka. Pada pandangan Tengku Shamil, Nurin Aira hanyalah seorang perempuan murahan. 

Setelah berkahwin, Nurin tidak tinggal sebumbung tetapi dia terpaksa berpindah tinggal sebumbung dengan Tengku Shamil, atas desakan ibu mertuanya. Hidup Nurin Aira bagaikan digantung tidak bertali.




Emosinya terdera dek herdikan Tengku Shamil yang membencinya. Namun, dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan cuba mengambil hati Tengku Shamil yang dingin terhadapnya.

Adakah Tengku Shamil dapat memadamkan api dendamnya terhadap cinta Nurin Aira? Tonton drama 15 episod ini yang turut dibintangi oleh Husna Mustaffa, Sasqia Dahuri, Mimi Ernida, Zera Hariz, Afzan A.Rahman, Atikah Suhaime, Afifah Nasir, Aleza Shadan, Arash Mohd, Dhia Ly, Ku Zara Eryna setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.



 KERANA DIA MANUSIA BIASA
Bahasa: Melayu
Episod: 15       
Hari: Setiap Isnin hingga Khamis (Mulai 24 Julai) 
Masa: 10 Malam 
Saluran: TV3 (Slot Samarinda)
Arahan: Idora Abdul Rahman 
Pelakon: Shukri Yahaya, Emma Maembong, Husna Mustaffa, Sasqia Dahuri, Mimi Ernida, Zera Hariz, Afzan A.Rahman, Atikah Suhaime, Afifah Nasir, Aleza Shadan, Arash Mohd, Dhia Ly, Ku Zara Eryna.


[KREDIT: TV3/Media Prima]

Post a Comment

0 Comments