Hot Posts

6/recent/ticker-posts

FFM34: RM1 Juta Menanti Filem Terbaik


FESTIVAL Filem Malaysia (FFM) kembali mencipta gemilang dengan edisi ke-34 yang menjanjikan lebih daripada sekadar anugerah di mana ia adalah sambutan terhadap daya kreatif dan kehebatan sinema tempatan.

Bertemakan 'Karya Kreatif, Sinema Dinamik', FFM34 menjadi bukti bahawa industri filem negara terus bergerak maju, selari dengan perubahan dan piawaian antarabangsa.

Majlis pelancaran FFM34 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada Isnin lalu, sekali gus membuka tirai kepada musim penghargaan paling berprestij dalam dunia perfileman tanahair.

Tahun ini, FFM34 memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, satu langkah progresif bagi menghargai kerja keras tenaga kreatif di balik tabir yang sering menjadi nadi kepada adegan aksi yang memukau di layar perak.

Dalam masa sama, pemenang Filem Terbaik bakal membawa pulang Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta, sebagai dorongan untuk terus menghasilkan karya yang mampu mengangkat nama filem Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Sebanyak 27 kategori dipertandingkan dengan setiap pemenang membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala penerima Anugerah Khas menerima RM10,000 berserta trofi penghargaan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut menambah insentif dengan pemberian hadiah bernilai RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti Finas untuk tujuh kategori terpilih termasuk Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik, dan Filem Pendek Terbaik.

Sebagai tanda penghargaan terhadap tokoh-tokoh yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan sinema tanah air, Finas turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara sebagai sebahagian daripada siri acara FFM34.

Antara nama yang diraikan termasuk Seniwati Datin Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Datuk Rahim Razali serta Othman Hafsham,  figura yang menjadi nadi kepada sejarah dan evolusi layar perak Malaysia.

Malam kemuncak Anugerah FFM34 dijadual berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Acara berprestij ini akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM dan saluran YouTube Finas, memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk meraikan sinema tempatan dalam satu malam yang penuh inspirasi dan penghargaan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments