31 Jan 2017

,



FAKTA PERLU TAHU

+  Video muzik ini merupakan kesinambungan kisah  daripada  single pertama, Andainya Takdir yang diterbitkan pada 22 September 2017
+ Masih diarahkan oleh pengarah yang sama, Amor Rizan
+ Watak isteri dipegang oleh Sharifah Sakinah
+ Video muzik berdurasi 8 minit 36 saat yang menampilkan jalan cerita yang sukar diduga
+ Sejak dimuat naik 27 Januari lepas, video muzik single kedua Cinta Takkan Berakhir  ini menjadi trending di YouTube (Malaysia) dengan jumlah tontonan menghampiri 100,000 setakat ini

30 Jan 2017

,

IRIS Mittenaere, seorang pelajar pergigian, 23, dari bandar Lille, Utara Perancis telah dinobatkan sebagai  Ratu Universe 2017 di dalam pertandingan tersebut.

Iris dikalungkan mahkota Ratu Universe oleh pemenang tahun lalu iaitu Pia Wurtzbach di dalam acara yang diadakan di Mall of Asia Arena di Manila Bay, Manila.

Ratu Haiti, Raquel Pelissier, 25, dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua, manakala Ratu Colombia, Andrea Tovar, 23, pula memenangi tempat ketiga.

“Pada saya, Perancis dan Eropah benar-benar memerlukan seorang Ratu Universe,” 
“Rakyat Perancis akan menyukainya sekarang dan mereka akan menonton Ratu Universe setiap tahun.” 
“Saya amat bangga untuk membawa pulang mahkota ini ke Eropah,” katanya selepas ditemui pihak media selepas pertandingan berakhir.
,


SEBUAH program kembara pelancongan yang berkos rendah dan bebas serta aktiviti backpacking seolah menjadi trend masa kini. Kebiasaannya backpacking dilakukan oleh mereka yang sukakan cabaran. Malah ia juga kerana golongan ini ingin merasai destinasi sebenar dan bukannya hanya percutian semata-mata.

Justeru sebagai berkongsi aktiviti mencabar ini, RTM menyiarkan program travelog From France to Italy yang memaparkan perjalanan pelakon terkenal, Sharifah Amani ke beberapa destinasi menarik di negara Perancis dan Itali. 

Program ini berkongsi tempat yang jarang diketahui oleh pelancong dari Malaysia kerana kurang mendapat pendedahan di media masa.

Setiap episod memaparkan keunikan setiap tempat yang dijelajahi dalam perjalanannya ke setiap destinasi selama sebulan. Perjalanan Amani bermula sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Nice di Perancis.

Lokasi seterusnya, Saint Tropez yang terkenal sebagai bandar pelabuhan kapal layar. Kemudiannya singgah ke Cannes, sebuah bandar yang menghimpun bintang-bintang filem terkenal hampir setiap tahun dalam Festival Filem Cannes, antara festival filem paling berprestij di dunia. 

Selesai di kawasan French Riviera, perjalanan diteruskan ke Utara Perancis iaitu kawasan pinggir gunung. Diikuti Chamonix, lokasi yang tak patut dilepaskan di mana Amani berpeluang menaiki kereta kebel meninjau keindahan kawasan tersebut. 

Berhampiran Chamonix, ada sebuah lagi bandar yang berada di kaki pergunungan Alps iaitu Morzine yang juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan. Begitu juga dengan Cinque Terre sebuah lokasi yang mempunyai lima buah kampung di mana yang setiap satu dihubungkan dengan menaiki keretapi.

Lokasi seterusnya, Amani menuju ke Lake Como. Kawasan yang mempunyai tasik yang luas dengan perkampungan yang tenang dan unik. Semestinya kota Romeo dan Juliet, bandar Verona adalah lokasi wajib yang harus disinggahi. 

Lokasi terakhir kembara Amani adalah ke kota cinta, Venice. Lokasi yang paling lama Amani menghabiskan masa untuk menyelongkar keindahannya. Hampir seminggu Amani berada di sini sahaja selain Murano, iaitu pulau yang terkenal sebagai pengeluar barangan kaca terkenal dunia.



From France To Italy
Episod:13
Hari: Sabtu
Masa: 2.30 petang
Saluran: TV1 
Pengacara: Sharifah Amani

29 Jan 2017

,

SEMOGA cerita yang dikongsikan oleh seorang hamba Allah ini mampu memberikan pengajaran dan tauladan yang berguna kepada kita semua.

Assalamualaikum wrbt buat anak-anak pembaca budiman semua.

Saya berusia 55 tahun jadinya saya tak pandai nak berkias ayat. Tapi saya nak berkongsi dgn pembaca kisah madu saya yang saya doakan agar dia dikurniakan Syurga Teragung setelah apa yang dilaluinya selama ini. Amin.. Moga sama-sama kita ambil iktibar ye. 
Pada tahun 1988 saya bernikah dgn seorang lelaki yang sama profesion dgn saya sebagai seorang pegawai perubatan. Pada ketika itu saya tidak mengetahui latar belakang lanjut tentang suami saya. Yang saya tahu, dia seorang lelaki bujang dan keluarganya datang melamar saya. 
Kehidupan kami serba serbi sempurna. Saya dan dia bekerja di hospital berbeza tapi apabila pulang ke rumah, kami berkongsi cerita yang sama. Cerita tentang pesakit kami di hospital masing-masing. Tiada perubahan pada suami, bahkan tiada apa yang saya nampak pelik pada dia. Hari-hari dia ada dengan saya. Ada masa bersama keluarga apabila waktu cuti sekolah. 
Hinggalah saya ditukarkan ke PPUM, saya agak berjauhan dengan suami yang bekerja di utara semenanjung. 
Tapi masih, tiada perubahan yang saya nampak pada dia. Namun suami selalu berpesan, andai ada pelajar perubatan bernama Aisy (Bukan nama sebenar) dan Asyraff (bukan nama sebenar), dimintanya ajar betul-betul dua pelajar ini seperti anak kandung sendiri. 
Saya sebagai doktor dan ibu sememangnya bersikap profesional dan beranggapan setiap pelajar perubatan adalah anak saya sendiri tanpa membezakan mereka. Anak-anak saya juga merupakan pelajar perubatan maka haruslah saya mengajar pelajar lain sama seperti saya mengajar anak saya. 
Hinggalah satu hari, suami jatuh sakit. Terlantar lama di hospital. Dia acap kali menyebut, tengok-tengokkan Aisy dan Asyraff. Ajar mereka sampai jadi doktor yang berguna. 
Saya masih sama. Tidak merasa pelik kerana suami saya memang seorang yang prihatin. Saya iyakan sahaja apa yang dikatakan. Hinggalah ketika suami semakin tenat dan dia berhajat berjumpa dengan kedua pelajar perubatan tadi. 
Ketika sesi pertemuan, saya hanya melihat mereka berdua. Bercakap seperti biasa hinggalah akhirnya, suami saya berkata, “Jaga ibu dan sampaikan maaf saya pada ibu.” 
Saya mulanya agak pelik tapi masih positif kerana beranggapan mungkin dia sayang dua pelajar ini. Petang itu juga selepas solat asar, suami saya menghembuskan nafas yang terakhir. Saya redha dengan pemergiannya namun ada sesuatu yang lebih menarik perhatian saya. 
Aisy dan Asyraff hadir ke pengebumian suami saya bersama seorang wanita tua dlm linkungan usia lewat 50-an. Wanita itu buta dan hanya duduk di kerusi roda. Tapi mereka tidak datang dekat. Hanya sekadar melihat dari jauh. 
Saya cuba untuk menuju ke arah mereka untuk bertanya namun mereka sudah berlalu dan majlis pengebumian belum selesai doanya lagi. 
Selang beberapa hari, saya dan anak-anak dipanggil ke pejabat peguam untuk mendengarkan wasiat arwah suami. Saya dan 2 org anak sudah hadir untuk mendengarkan wasiat tersebut namun peguam mengatakan harus menunggu lagi pemegang wasiat lain. 
Sekali lagi saya diam dan hanya menunggu. Hinggalah datang dua orang anak muda bersama seorang wanita yang saya kenal amat. Aisy dan Asyraff bersama wanita tua yang saya nampak di kubur haritu. Ketika itu, hati saya berbolak balik. Kenapa Aisy dan Asyraff selalu ada dan disebut-sebut oleh arwah. Kini ketika mendengarkan wasiat juga mereka ada bersama. 
2 orang anak saya, Amira dan Adhlina juga bagaikan senang dengan kehadiran Aisy dan Asyraff kerana mereka sekawan di PPUM. 
Peguam mulakan pembacaan wasiat dan alangkah terkejutnya saya apabila perkataan pertama yang keluar dari mulut peguam ialah, “Pemegang wasiat pertama ialah isteri pertama iaitu Puan Hasidah..” 
Allah… Berderau jantung saya. Kenapa nama itu bukan nama saya. Terus saya menoleh ke arah perempuan buta yang disorong kerusinya oleh Aisy dan Asyraff. Saya cuba untuk bertenang dan mendengarkan dahulu segala apa amanat suami saya yang ditinggalkan. Saya tak boleh terburu-buru. 
Suami saya hanya meninggalkan sejumlah wang untuk Puan Hasidah dan juga sebuah pondok di kawasan yang saya sendiri tak pernah tahu. Selebihnya, rumah yang kami duduki, kereta, aset lain semuanya untuk saya dan anak-anak.
Selesai pembacaan wasiat, saya menurunkan tandatangan sebagai tanda penerimaan. Begitu juga Puan Hasidah yang menggunakan cop jari.
Selesai semuanya, saya mendekati Aisy dan Asyraff bersama ibunya. Cuba untuk bertanya macammana boleh semua ini terjadi.
Lama kami duduk berbual hinggakan basah kuyup baju saya kerana air mata yang melimpah keluar mendengarkan kisah madu saya.


Kisahnya, pada tahun sama perkahwinan saya dan suami, arwah suami saya sudah pun terlebih dahulu bernikah dgn Puan Hasidah. Jarak lebih kurang 6 bulan beza perkahwinan kami. Ketika suami menikahi saya, dia sedang hamil 4 bulan dan anak dlm kandungannya kembar iaitu Aisy dan Asyraff. 
Perkahwinan Puan Hasidah tidak diterima ibu mertua saya kerana Puan Hasidah seorang gadis yatim piatu dan tidak bersaudara. Makanya ibu mentua saya menghinanya sebagai perempuan tidak sah taraf. Ibu mentua saya yang juga ibu kepada arwah suami turut mengancam Puan Hasidah untuk tidak mengganggu keluarga baru anaknya jika mahu berteduh di pondok tersebut. 
Makanya Puan Hasidah merelakan kata-kata ibu mertuanya dan sama sekali tidak mengganggu kami. Kerana itu saya tidak mengetahui apa-apa selama lebih 30 tahun.

Saya bertanya kenapa dan macam mana Puan Hasidah boleh menjadi buta. Dan jawapannya tersangat merundum hati saya. 
Ketika ibu mertua saya hilang penglihatan kerana terjatuh dari tangga rumahnya, saya dan suami puas mencari penderma mata hinggalah suami mengatakan dia telah berjumpa dgn seorang penderma iaitu seorang perempuan. 
Ketika itu saya bersyukur kerana ada yang sudi menderma kerana saya tidak mengetahui apa-apa. Rupanya penderma tersebut ialah Puan Hasidah yang juga menantu paling dibenci dihina oleh ibu mentua sendiri !! 
Ketika mendengarkan kisah itu, saya terbakar dan mendidih hati serta kebencian saya terhadap ibu mentua menjadi-jadi. Mujur orang tua itu sudah 3 tahun meninggalkan kami. Jika tidak, akan saya suruh dia melutut maaf di hadapan Puan Hasidah. 
Namun Puan Hasidah tenang dan menjawab, “Saya tiada ibu, puan. Saya lakukan semua ini demi mendapatkan rahmat seorang ibu.”

Allah.. Berderai lagi air mata saya. Sambung Puan Hasidah, 
“Saya anggap semua ini takdir hidup saya. Saya tidak mengeluh bahkan saya bersyukur. Saya mempunyai suami walaupun hanya 3 bulan. Paling tidak saya terlepas dari fitnah manusia. Saya dikurniakan anak lelaki. Bukan seorang tapi dua. Yang boleh jagakan saya. 
"Saya tiada saudara mara, puan. Ini sahaja harta saya. Dan saya sama sekali tidak mengharapkan harta dari arwah suami. Cukuplah dikekalkan pondok kami sebagai tempat berteduh.”
Saya rasakan bagai tersepuk ke lantai mendengarkan kata-katanya. Bagaimana seorang isteri mampu hidup sendirian begitu tanpa suami. Saya pandang wajah Aisy dan Asyraff, tertanya juga saya samada mereka tahu atau tidak Doktor Ahmad (bukan nama sebenar) adalah ayah mereka. 
Jawapan mereka, “Ya.. Kami kenal ayah kami. Tapi kami tak boleh panggil ‘ayah’ kerana arwah nenek akan hukum ibu kalau tahu panggil ‘ayah’.” 
Sekali lagi saya terdiam. Ya Allah, kenapa kejam sangat orang tua ni masa hidupnya?! 
Saya bertanya lagi samada mereka berdendam atau tidak dgn arwah nenek dan arwah ayahnya, jawab mereka,

“Ibu tak pernah didik kami membenci. Kerana disetiap perbuatan arwah nenek dan arwah ayah, ada sedikit kebaikan mereka yang harus dilihat.” 
Saya? Bermandi air mata melihat mereka. Berjayanya Puan Hasidah mendidik anaknya untuk tidak membenci selepas semua perkara ini terjadi. 
Tenang sangat saya lihat wajah Puan Hasidah. Seolah-olah dia tidak mempunyai masalah sekalipun dia kini buta. 
Memadailah pembaca tahu, saya jatuh cinta dgn sikap madu saya yang teramat mulia hatinya. Saya selalu fikir, bermadu ini seperti anjing dan kucing. Bercakaran dan berlawan. Tapi alhamdulillah syukur Ya Allah.. Madu saya teramat baik dan saya doakan syurga teragung untuk dia dan anak-anak kerana keikhlasan hatinya. 
Hingga ke saat ini, Puan Hasidah enggan untuk memijak rumah agam kami kerana katanya, ibu mentuanya dulu pernah mengharamkan kakinya menjejak ke rumah suami. Andai dia melakukannya, ibu mentua akan menidakkan dia sebagai anak. 

Andai saya ditempatnya, mungkin saya akan bantah sekerasnya perilaku ibu mertua. Tapi tidak pada Puan Hasidah. Dia mengagungkan dan memuliakan ibu mertua sama seperti ibu kandungnya sendiri. Kerana itu, dia hanya menurut. 
Pada pembaca budiman, saya harap kita sama-sama ambil iktibar bahawa dalam kesenangan kita, ada air mata orang lain yang kita lupa. Sebagaimana saya sedang belajar untuk ikhlas seperti madu saya, anak-anak pembaca budiman juga belajarlah untuk ikhlas. Inshaa Allah, syurga untuk kita semua. 
Amin
– Dr. Fauziah Ahmad

[Sumber : MEDIAHUB]
,

RTM kembali membawakan filem Bride And Prejudice, kisah percintaan mengasyikkan yang menampilkan watak utamanya pelakon tersohor, Aishwarya Rai.    

Mengisahkan tentang Lalita Bakshi, lakonan Aishwarya Rai, seorang wanita muda yang hidup dengan bapanya yang mengerjakan perusahaan pertanian. 

Bapanya berhasrat untuk mengahwinkan empat anak gadisnya dengan lelaki yang dihormati dan kaya. Ia termasuklah tiga adik-adiknya, Jaya (Namrata Shirodkar), Maya (Meghna Kothari), dan Lakhi. 




Pada majlis perkahwinan seorang kawan, Lalita bertemu dengan Will Darcy (Martin Henderson), pemuda Amerika kacak dan kaya yang menjalankan perniagaan hotel keluarganya. Lalita tidak menyenangi kehadiran Darcy yang dianggap sombong dan tidak menyukai budaya India.

Dalam perjalanan ke Goa bersama Darcy, Kiran, Balraj dan Jaya, Lalita bertemu dan tertarik kepada Johnny Wickham (Daniel Gillies), bekas rakan Darcy. Tindakannya itu semakin mengiakan pendapatnya memandang rendah terhadap Darcy.



BRIDE AND PREJUDICE
Tarikh tayangan: 4 Februari 2017
Hari: Sabtu
Masa: 10.00 Malam
Saluran: TV2
Pelakon: Aishwarya Rai


28 Jan 2017

,

PELBAGAI tajuk animasi kanak-kanak ditayangkan pihak stesen televisyen untuk menghiburkan penonton cilik. Ada yang menonjolkan kisah adiwira, tidak kurang juga mengetengahkan lagu-lagu dan pelbagai versi menarik yang menarik perhatian golongan kanak-kanak.

Seiring dengan tujuan mahu memberikan alternatif lain selain daripada menambah pengetahuan agama menerusi buku-buku agama, RTM menyiarkan animasi kanak-kanak berlatarkan kisah-kisah Nabi menerusi penceritaan watak seorang kanak-kanak bernama Adam yang mengembara menempuhi pelbagai peristiwa tentang Nabi.   



Pengembaraan Adam mengangkat cerita mengenai seorang kanak-kanak bernama Adam yang berusia 12 tahun. Perwatakkan Adam adalah seorang yang gemarkan cabaran, agresif dan sikap ingin tahu.

Dalam satu kejadian, Adam telah jatuh dari sebatang pokok. Apabila tersedar didapati dirinya berada di atas padang pasir yang luas seperti tiada penghujungnya. Di situlah bermulanya pengembaraan Adam bersama Al-Mubaligh menempuhi pelbagai peristiwa.




Antaranya  peristiwa Nabi Nuh dan bahteranya, peristiwa tentang kaum-kaum yang di hapuskan iaitu kaum ‘Ad pada zaman Nabi Hud a.s, Kaum Tsamud zaman Nabi Saleh a.s, kaum Madyan zaman Nabi Syuaib a.s, Bani Sadum zaman Nabi Luth a.s, peristiwa Nabi Ibrahim a.s dibakar dan bagaimana Raja Namrud diseksa, cerita tentang Nabi Musa a.s serta kehancuran Firaun.

Dalam perjalanan pengembaraan itu Adam juga dapat merasakan suatu zaman yang begitu indah dan harmoni iaitu pada zaman Nabi Sulaiman a.s sehinggalah peristiwa tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW. 




Perjalanan cerita yang dipaparkan ini akan membawa para penonton kepada kesedaran pengetahuan dan kebenaran tentang perjalanan kehidupan manusia di atas muka bumi ini agar menjadi satu iktibar serta peringatan semasa menjalani kehidupan. 

Ia disusun secara episod mengikut aliran perkembangannya supaya mudah difahami secara keseluruhan. Selain dari itu paparan seni visual dan pergerakan dalam animasi ini amat diambil kira supaya menjadi daya tarikan yang bakal dinikmati oleh segenap lapisan penonton.



Pengembaraan Adam
Episod: 10
Hari: Jumaat & Sabtu
Masa: 10.30 pagi
Saluran: TV1

27 Jan 2017

,

RTM menerusi slot Kristal yang membawakan drama-drama bersiri Korea tampil dengan drama terbaru, Hyde, Jekyll, Me yang mengajak penonton bersantai dengan jalan cerita yang melucukan dan mencuit hati.   

Menampilkan watak utama, Koo Seo-Jin lakonan Hyun-Bin yang mempunyai dua personaliti yang berbeza. Salah satu personaliti beliau berpewatakan tenang seperti Hyde dan yang lain adalah manis seperti Jekyll. 

Koo Seo-Jin bekerja sebagai pengarah taman tema Wonderland. Sementara itu bergandingan dengannya watak Jang Ha-Na (Han Ji Min) yang bekerja sebagai ketua dan pelakon sarkas di Wonderland yang sama. 




Konflik bermula bila Koo Seo-Jin cuba untuk menyingkirkan aktiviti sarkas daripada terus beroperasi di Wonderland tersebut. Namun cubaannya tidak semudah disangka dengan kewujudan Jang Ha-Na di situ. 

Jang Ha-Na sedaya upaya untuk menyusun semula dan mempertahankan aktiviti di sarkas untuk diteruskan beroperasi seperti biasa kepada pengunjung. Pelbagai insiden melucukan dan mencemaskan terjadi bila saja kedua mereka bertemu. 

Di sebalik konflik dan pertembungan pendapat di antara keduanya, Jang Ha-Na tanpa sengaja telah jatuh cinta dengan Koo Seo-Jin yang mulanya dianggap sangat menjengkelkan.



HYDE, JEKYLL, ME
Episod: 20
Hari: Isnin-Jumaat
Masa: 5.00 petang
Saluran: TV2 
Pelakon: Hyun Bin, Han Ji Min

26 Jan 2017

,


Kung Fu Yoga
Tayangan: 27 Januari 2017
Bahasa: Kantonis/Inggeris
Genre: Aksi
Klasifikasi: P13
Pengarah: Stanley Tong
Pelakon: Jackie Chan, Aarif Rahman, Lay Zhang, Disha Patani, Sonu Sood
Edaran: GSC Movies





MENGISAHKAN
tentang seorang profesor arkeologi bernama Jack (Jackie Chan) telah bekerjasama dengan professor dari India, Ashmita dan Kyra untuk mencari harta peninggalan kerajaan Magadha yang hilang beratus tahun dahulu.  Ketika memulakan pengembaraan di gua ais Tibet, mereka telah diserang oleh tentera pemberontak, Randall, yang juga mempunyai keinginan yang sama untuk mencari harta tinggalan tersebut. Perebutan itu kemudiannya telah membawa mereka ke Dubai sehinggalah ke India dalam usaha untuk menyempurnakan misi itu. Namun Randal masih memburu mereka dan bertekad untuk merampas harta yang didakwa milik keluarga nenek moyangnya.

25 Jan 2017

,

LARI daripada kebiasaan drama bersiri Melayu yang banyak menonjolkan kisah cinta golongan muda, RTM membawa kelainan dengan berkongsi kisah cinta sejati golongan yang berusia di pertemukan kembali jodoh mereka setelah bertahun terpisah. 

Mengisahkan Shahriman, warga emas yang berkarisma pulang ke tanah air kerana menunaikan janji terhadap anak saudaranya Firdaus yang berjaya membuka syarikat arkitek. Shariman membawa diri tinggal di luar negara kerana kecewa dalam percintaan. 

Selama 35 tahun tinggal di luar negara, pintu hati Shariman tidak terbuka untuk pulang ke tanah air sehinggalah Firdaus berjaya membuktikan kewibawaannya. Kepulangan Shariman amat dinantikan kerana Shariman seorang bapa saudara yang pakar dalam bidang arkitek. 

Shariman memperkenalkan Firdaus dengan kawan baiknya Hisyam. Hisyam mempunyai seorang anak gadis bernama Maira yang juga merupakan rakan sekolah Firdaus. 

Semasa zaman persekolahan, Firdaus suka dengan Maira namun hingga ke saat ini Firdaus masih takut untuk meluahkan perasaannya. Firdaus berharap agar Shariman dapat membantunya merapatkan hubungannya dengan Maira. 

Semasa Shariman pergi ke tempat kerja Maira berlaku satu perkara yang tidak dijangka. Persoalan mengapa Shariman masih tidak mendirikan rumah tangga terjawab apabila muncul Jasmin, kekasih lama Shariman yang tinggal di hospital sakit jiwa kerana tekanan perasaan. 

Shariman mula di himpit rasa bersalah apabila mengetahui kesengsaraan hidup Jasmin kerana mencintainya. Maira berjanji membantu Sahriman untuk memulihkan Jasmin. 

   
Hingga Akhir Nanti
Episod: 13
Hari: Isnin-Khamis
Masa: 11.30 pagi
Saluran: TV1 (Slot Kejora)
Pelakon: Zamarul Hisham, Wan Nor Azlin dan Sherry Ibrahim.

24 Jan 2017

,

ESTRANGED mempunyai pengalaman cukup luas dalam bidang muzik, apatah lagi aktif melakukan persembahan live sejak lebih 10 tahun lalu. Bagi mereka, persembahan yang dipamerkan dalam bentuk live adalah satu rutin seni yang tidak pernah akan mati dalam jiwa pemuzik seperti mereka.

Jika sebelum ini Rich, Din dan Hanafi berjaya dengan siri jelajah kampus mereka, kali ini sayap mereka terus dilebarkan lagi dengan sebuah konsert jelajah yang akan mendarat di Selatan tanah air.

Memilih Johor sebagai lokasi jelajah terkini memetakan muzik mereka, Estranged menyifatkan perjalanan yang dilalui menjelang tahun 2017 adalah satu revolusi muzik dan prinsip kumpulan tersebut yang semakin matang.

"Banyak ilmu dan perkara yang kami belajar dan kutip sepanjang lebih 10 tahun menghuni belantika muzik tempatan. 
"Kami mendaki dengan perlahan, mempercaturkan karya yang sesuai pasaran, memenangi beberapa anugerah, membikin karya yang bersifat peribadi dan komersial serta perlu peka selain bersaing dengan banyak band baharu, namun semuanya dilalui dengan baik. 
"Ya, walaupun berdepan dengan banyak cabaran termasuk dari segi kemurungan pasaran muzik tempatan, namun Estranged belum mengalah. Kami percaya dengan kekuatan karya dan semangat yang tidak pernah putus daripada Estranged dan peminat-peminat, mudah-mudahan kami akan dapat terus terbang tinggi. 
"Tempoh lebih sedekad ini juga telah mematangkan Estranged dalam banyak segi dan itu yang akan bakal diperoleh peminat lama serta kelompok peminat baharu kami pada persembahan atau karya-karya akan datang dari Estranged," ujar Rich menyimpulkan ringkas mengenai jatuh bangun Estranged dan hala tuju mereka selepas ini.



Melabelkan persembahan tersebut dengan jenama Konsert Estranged Sepenuhnya Vol 1. sebanyak 1,500 tiket akan dijual pada harga RM25.

Turut serta memanaskan panggung sebelum Estranged mempersembahkan peluru seni hebat mereka ialah Velvet yang akan menawan peminat dengan gemersik vokalnya.

Tentu sahaja untaian lagu yang bakal dipersembahkan akan merangkumi hit dari album perdana mereka, In Hating Memory sehingga Sepenuhnya Vol. 1.

Aurora, Itu Kamu atau Hancur Aku akan menjadi halwa telinga peminat yang bakal didendangkan secara live, adalah sesuatu yang tidak patut dilepaskan.

Sebenarnya, mereka mempunyai misi besar selepas menawan peminat di Johor pada Februari depan. Malah, negeri tersebut dipilih sebagai lokasi konsert sulung pada tahun 2017 adalah bertepatan untuk menghimpunkan peminat mereka daripada Melaka dan Singapura sekali gus.

"Besar harapan kami agar konsert ini mencapai sukses dan menjadi pemula yang baik untuk Estranged melakukan lebih banyak persembahan dalam skala besar pada masa akan datang," jelas Estranged mengenai konsert yang menerima tajaan daripada Power Root dan Drum Asia.



Konsert Estranged Sepenuhnya, Vol. 1
Tarikh: 3 Februari 2017
Hari: Jumaat
Masa: 8.30 Malam
Lokasi: Kilang Bateri, Johor Bahru
Tiket: RM25 (www.estrangedtour.com)


23 Jan 2017

,

MENGISAHKAN tentang kehidupan zaman persekolahan yang melibatkan watak-watak seperti Pelajar, Guru, Ibu Bapa dan Keluarga. Plotnya bergerak berlandaskan watak para pelajar yang berusaha keras untuk mencapai cita-cita dan impian masing-masing sehingga berjaya. 

Pelbagai konflik berlaku semasa proses usaha mereka, cabaran, halangan, tekanan serta dugaan telah sebati dalam diri mereka.



Teater ini menyentuh perihal kehidupan pelajar yang bermasalah dalam pelajaran serta bermasalah dalam kehidupan keluarga masing-masing. Disamping itu, sikap kebanyakan ibu bapa juga digarapkan bagi memberi kesedaran tentang hubungan anak, pelajaran, ibu bapa dan impian. 




Keadaan di sekolah yang dibangkitkan mengenai cerita guru-guru sebagai pendidik yang sangat menginginkan pelajar-pelajar mereka yang cemerlang dan berjaya mencapai cita-cita pelajar dan impian sekolah. 

Kesemua isu tersebut telah diberi sentuhan satira yang bakal memberi kesan menarik dan humor dalam pementasan ini.



Tepuk Amai Amai
Bahasa: Melayu
Tarikh Pementasan: 25-29 January 2017
Masa: 3.00 Petang & 8.30 Malam
Karya: Khairunazwan Rodzy
Pengarah: Fendi Shah
Tempat: Studio Revolution Stage, Dataran Pelangi Utama, Petaling Jaya
Tiket: RM20
,

PELAKON Hanez Suraya, 32, hari ini banyak pihak apabila memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd Rais, 37

Bagaimanapun,  Hanez dikatakan tidak hadir di mahkamah, sebaliknya hanya diwakili peguamnya.

Pasangan ini  berkahwin pada 25 Mac 2015 dan telah dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya, 13 bulan.




Gosip pergolakan rumah tangga pelakon ini pernah diperkatakan beberapa bulan lalu, namun senyap seketika selepas dia dan suaminya mencari jalan penyelesaian termasuk bercuti bersama di Jepun, bulan ini.

Buat ketika ini, Hanez dikatakan gagal dihubungi dan tidak memberi sebarang respon apabila dihubungi pihak media untuk mendapatkan penjelasannya berhubung perkara terbabit
,

BIAR Biola Berbicara yang disiarkan menerusi Slot Tribute P. Ramlee mengisahkan tentang seorang gadis, Melati  yang dilahirkan pekak dan bisu. Dia kematian ibu sejak 10 tahun lalu dan dibesarkan oleh ayahnya, Hisham. 

Melati sering mengikuti Hisham bermain biola di jalanan dalam usaha menyara kehidupan mereka. Setiap kali melakukan persembahan, Hisham akan memainkan lagu kegemarannya Tiada Kata Secantik Bahasa. Justeru, emosi dan gerak jemari Hisham mengalunkan lagu tersebut sudah sinonim dengan Melati.





Walaupun pekak dan bisu, Melati bersekolah di Kelas Khas di salah sebuah sekolah harian biasa. Perasaan rendah diri Melati makin ketara apabila melihat Izreen, rakan satu sekolahnya yang menjadi perhatian pelajar kerana kehebatannya bermain piano. 

Dalam waktu yang sama, Haikal yang baru balik dari luar negara dan pernah menjadi pemuzik jalanan di sana, masih meneruskan minatnya sebagai pemuzik jalanan walaupun sudah bekerja di syarikat milik ayahnya, Datuk Ghazlan. 







Minat Haikal ditentang oleh ibunya, Datin Rohani kerana bimbang reputasi syarikat akan jatuh. Namun Haikal tetap dengan minatnya, menyebabkan hubungan Haikal dengan Datin Rohani sentiasa tegang.

Bermula perkenalan Hisham, Melati dan Haikal. Hisham mengharapkan dengan perkenalan tersebut Melati dapat lari dari kekangan rasa rendah diri, namun terjadi sebaliknya. Melati tidak lagi menemani Hisham bermain muzik, sebaliknya bersendirian di rumah. 





Ini menyebabkan Melati semakin kebosanan. Manakala Haikal pula rasa bersalah. Kerana dia bermain muzik bersama Hisham menyebabkan Melati makin jauh dengan Hisham.

Hubungan Haikal dengan Datin Rohani semakin tegang sehingga Datin Rohani memberi amaran jika Haikal masih lagi berminat menjadi pemuzik jalanan, dia mahu Haikal berhenti kerja. Haikal menyambut cabaran tersebut menyebabkan Datin Rohani makin tertekan.

Satu hari Datin Rohani mengekori Haikal bermain muzik. Datin Rohani terkejut apabila melihat Haikal bersama Hisham. Dalam waktu yang sama, Hisham juga terkasima melihat Datin Rohani. 



Biar Biola Berbicara
Tarikh Siaran: 28 Januari 2017
Hari: Sabtu
Masa: 9.00 Malam
Saluran: TV1 (Slot Tribute P. Ramlee)
Pengarah: Rashid Sibir
Pelakon: Tasha Shila, Nasir Bilal Khan, Nadzmi Adhwa, Jasmin Hamid, Ako Mustapha, Mak Nani
,

RAIKAN Tahun Ayam pada tahun 2017 sempena sambutan Tahun Baru Cina dengan tayangan empat filem menghiburkan dengan pelbagai tema berturut-turut menerusi saluran TV2. 

Dibarisi pelakon popular dan plot kisah yang menarik hati, empat filem tersebut bermula All’s Well End’s Well (26 Januari, 10.00 malam), Painted Skin: Resurrection  (28 Januari, 10.30 malam), Escape From Huang Shi  (29 Januari, 9.30 malam) dan pada Summer Love Love (30 Januari, 1.00 tengahari). 





All’s Well End’s Well  mengisahkan tentang tiga bersaudara Shang. Abang sulung Shang Moon adalah seorang ahli perniagaan yang merawat isteri sebelum keluar bekerja. Anak kedua Shang Foon seorang joki cakera/playboy yang cuba untuk memikat sebanyak mana gadis yang boleh manakal adik bongsu Shang merupakan seorang pengajar tarian. Moon dirundung masalah bila isterinya meninggalkan untuk menjadi pelayan wanita glamor di pusat karaoke. Foon pula terperangkap dengan hubungan yang pelik  sehingga dia tiba-tiba menjadi pesakit mental. Sementara itu So terus-menerus berselisih dengan orang di sekelilingnya. 




Painted Skin: Resurrection membawakan kisah semangat serigala purba jadian memulakan satu usaha jahat untuk menjadi manusia selepas melarikan diri dari penjara berais. Dia kemudiannya terikat dengan seorang puteri cacat yang mencari kasih seorang pengawal mulia dalam epik ghaib mewah ini. Akibat koma selama berabad-abad, semangat musang jahat Xiaowei (Xun Zhou) mendapat semula kebebasan dan bagi mengekalkan kecantikannya, dia menggoda lelaki dan memakan hati mereka. Namun Xiaowei boleh berubah menjadi manusia biasa sekiranya ada lelaki yang ikhlas kepadanya dengan menawarkan hati mereka secara rela. Xiaowei akan bebas daripada neraka dan meneruskan hidup seperti orang lain. 




Escape From Huang Shi mengangkat kisah seorang wartawan muda, George Hogg yang menyelamatkan sekumpulan anak-anak yatim semasa penjajahan Jepun di China pada tahun 1937 dengan bantuan seorang jururawat berani Australia.




Summer Love Love mengisahkan Ah Ze, Ah Quan dan Xiao Fei dalam misi mencari teman hidup mereka.