![]() |
| Simfoni Harapan mengetengahkan kisah tentang pemahaman, penerimaan dan sokongan terhadap kanak-kanak autisme |
DUNIA seorang kanak-kanak autisme mungkin tidak selalu mudah difahami oleh orang sekeliling. Bunyi yang terlalu kuat, cahaya terang atau suasana sesak boleh menimbulkan ketidakselesaan, sekali gus mempengaruhi cara mereka berkomunikasi dan mengekspresikan perasaan.
Pengalaman itu diketengahkan menerusi Simfoni Harapan, sebuah teater muzikal imersif yang mengajak penonton menyelami kehidupan kanak-kanak autisme serta memahami cabaran yang turut dilalui keluarga mereka.
Dibawakan menerusi inisiatif McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Ronald McDonald House Malaysia, pementasan ini diarahkan Ghafir Akbar dengan menampilkan Ruzana Ibrahim dan Takim Zaki sebagai antara pelakon utama.
Kisahnya berpusat pada watak Rahman, seorang kanak-kanak autisme yang berdepan kesukaran memahami persekitaran dan menyampaikan perasaannya. Melalui perjalanan watak itu, penonton dibawa melihat bagaimana ibu bapanya berusaha memahami keperluan Rahman, termasuk mencari pendekatan yang sesuai untuk membantunya berkomunikasi.
Pementasan yang berlangsung pada 27 dan 28 November 2026 di REXPERIENCE, REXKL, Kuala Lumpur ini menggunakan gabungan lakonan, muzik serta elemen visual interaktif bagi memberikan pengalaman lebih dekat dengan dunia kanak-kanak autisme.
Persembahan dibuka secara percuma kepada orang ramai menerusi pendaftaran slot lebih awal, dengan kapasiti terhad kepada 200 penonton bagi setiap sesi yang dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi dan 4 petang.
Menurut pengarahnya, Ghafir Akbar, naskhah ini diharap dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami dan menerima keunikan kanak-kanak istimewa.
“Melalui teater muzikal imersif ini, saya berharap penonton dapat memahami dan menerima keunikan setiap anak-anak istimewa. Dengan sokongan dan persekitaran yang betul, setiap anak berpeluang untuk terus berkembang,” katanya.
Memahami Keperluan, Menyokong Keluarga
Inspirasi pementasan ini turut berkait rapat dengan pengalaman keluarga yang menggunakan Sensory Room di bawah Ronald McDonald House Malaysia. Ruang tersebut menyediakan persekitaran selamat untuk kanak-kanak berkeperluan khas bermain, meneroka dan menjalani terapi mengikut keselesaan masing-masing.
Kemudahan itu juga membantu ibu bapa memahami keperluan deria anak serta mendapatkan panduan untuk memberikan sokongan yang bersesuaian di rumah. Pendekatan ini penting kerana setiap kanak-kanak mempunyai keperluan dan cara perkembangan yang berbeza.
Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hampir 100,000 individu dengan autisme telah berdaftar di Malaysia. Angka ini memperlihatkan kepentingan meningkatkan kesedaran serta kefahaman masyarakat terhadap keperluan golongan berkenaan.
Ronald McDonald House Malaysia turut menyediakan pelbagai inisiatif sokongan untuk membantu keluarga yang memerlukan. Antaranya termasuk Rumah Ronald McDonald yang menawarkan penginapan berhampiran hospital, Sensory Therapy Room serta Anugerah Senyuman yang menyediakan bantuan pembedahan sumbing bibir dan lelangit.
Selain itu, program Pek Kembali ke Sekolah membantu kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan keperluan persekolahan. Bantuan geran perubatan turut disediakan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menampung kos rawatan.
Pada acara pelancaran Simfoni Harapan pada Rabu, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah turut membuat persembahan secara langsung menerusi lagu tema naskhah itu dengan judul yang sama.
![]() |
| Melati Abdul Hai berkongsi komitmen McDonald’s Malaysia dalam menyokong komuniti menerusi pelbagai inisiatif |
Dalam perkembangan berkaitan, kembalinya Prosperity Burger turut membuka ruang kepada McDonald’s Malaysia untuk mengajak masyarakat berkongsi rezeki menerusi sokongan kepada Ronald McDonald House Malaysia.
Bagi setiap set Prosperity Burger yang dibeli dari 26 November hingga 31 Disember 2026, sebanyak 20 sen akan disalurkan kepada badan kebajikan itu bagi membantu membiayai program sokongan untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.
Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Prosperity Burger membawa makna tersendiri yang melangkaui hidangan bermusim.
“Bagi kami di McDonald’s Malaysia, Prosperity Burger membawa makna yang cukup istimewa. Ia bukan sekadar burger, tetapi menjadi simbol bagaimana Mekdi terus berkembang bersama rakyat Malaysia dan mencipta momen-momen yang indah sepanjang perjalanan kami,” katanya.
Kisah Rahman mungkin hanya satu daripada sekian banyak pengalaman keluarga yang membesarkan anak autisme. Namun, mesej yang dibawa cukup dekat dengan kehidupan masyarakat, iaitu setiap anak berhak difahami, diterima dan diberikan ruang untuk berkembang mengikut keupayaan masing-masing. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20(3).jpg)
%20-%20(4).jpg)
0 Comments