UTV Nusantara Buka Ruang Kolaborasi Malaysia–Indonesia, Lancar Tiga Telefilem dan Single Janji Untuk Setia

Majlis pelancaran UTV Nusantara yang mengetengahkan kerjasama industri kreatif Malaysia dan Indonesia

PERSAMAAN budaya dan bahasa antara Malaysia dan Indonesia membuka peluang besar untuk kedua-dua negara saling meneroka potensi dalam industri hiburan.

Melihat peluang tersebut, Usanita Entertainment memperkenalkan UTV Nusantara, sebuah platform hiburan digital yang menjadi landasan kepada kolaborasi kreatif Malaysia–Indonesia menerusi penerbitan telefilem dan muzik.

Pelancaran rasmi platform berkenaan berlangsung di Hotel Waldorf Astoria, Kuala Lumpur, pada Isnin, sekali gus memperkenalkan tiga telefilem terbitannya iaitu My Toxic Boyfriend, 9 Bulan dan Puteri Maya.

Menariknya, ketiga-tiga karya itu menjalani penggambaran di Jakarta dan Yogyakarta dengan kerjasama pasukan produksi Indonesia. Pendekatan tersebut memperlihatkan usaha UTV Nusantara menggabungkan kepakaran produksi serta bakat lakonan dari negara serumpun dalam menghasilkan kandungan untuk pasaran serantau.

My Toxic Boyfriend menampilkan pelakon Malaysia, Siti Khadijah Halim, yang bergandingan dengan dua pelakon Indonesia, Cinta Brian dan Adly Fayruz.  Sementara itu, 9 Bulan dan Puteri Maya dibintangi sepenuhnya oleh barisan pelakon Indonesia, sekali gus memberikan variasi kepada kandungan yang ditawarkan platform berkenaan.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Entertainment, Datuk Adzliana Hasan, berkata, penubuhan UTV Nusantara bukan sekadar memperkenalkan platform hiburan baharu, sebaliknya menjadi langkah untuk membina hubungan kreatif lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia.

“Kami melihat kedua-dua negara mempunyai kekuatan tersendiri dari segi bakat, penceritaan dan kepakaran penerbitan.

"Justeru, kerjasama ini membolehkan kami menggabungkan kelebihan tersebut bagi menghasilkan kandungan yang bukan sahaja dekat dengan masyarakat Nusantara, malah berpotensi menarik perhatian penonton yang lebih luas,” ujarnya.

Bagi pembukaan tirai platform itu, My Toxic Boyfriend mula ditayangkan pada 23 November 2026, jam 9 malam, menerusi UTV dengan kadar langganan RM9.50. Sementara dua lagi telefilem akan diumumkan kemudian.


Sekitar majlis pelancaran UTV Nusantara dan Single Janji Untuk Setia

Adzliana menjelaskan, pihaknya mahu menjadikan UTV Nusantara sebagai ruang yang menggalakkan lebih banyak kerjasama antara penggiat seni dari kedua-dua negara.

“Kami mahu UTV Nusantara menjadi platform yang memberi ruang kepada bakat kreatif kedua-dua negara untuk bekerjasama, berkongsi pengalaman dan menghasilkan karya yang mempunyai nilai komersial serta kekuatan penceritaan.

“Melalui penerbitan tiga telefilem ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelakon, pengarah, penulis skrip dan tenaga produksi untuk meneroka pasaran hiburan serantau secara lebih aktif,” katanya.

Kolaborasi Muzik Serantau

Selain penerbitan telefilem, majlis sama turut menyaksikan pelancaran single sulung Usanita Entertainment berjudul Janji Untuk Setia, hasil kolaborasi dua penyanyi Indonesia, Allan Andersn dan Rimar.

Kemunculan lagu itu menandakan langkah pertama syarikat berkenaan dalam bidang penerbitan muzik, sekali gus memperluas penglibatannya daripada kandungan visual kepada karya audio.

Menurut Adzliana, industri muzik mempunyai potensi besar untuk diteroka menerusi kerjasama serantau, terutama dengan perkembangan platform penstriman dan penggunaan media digital yang membolehkan karya mencapai pendengar merentasi sempadan negara.

“Pelancaran Janji Untuk Setia yang dinyanyikan Allan Andersn dan Rimar menjadi permulaan kepada usaha kami meneroka penerbitan muzik.

"Kami berharap kerjasama ini dapat membuka ruang kepada lebih banyak projek muzik yang menghubungkan bakat Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang,” ujarnya.

Menerusi kerjasama rentas sempadan ini, Usanita Entertainment berharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada bakat kreatif Malaysia dan Indonesia untuk berkembang, selain memperkenalkan karya mereka kepada khalayak lebih luas di rantau Nusantara. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments