![]() |
| Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said, tokoh besar kesusasteraan Melayu |
DUNIA kesusasteraan tanah air kehilangan seorang tokoh besar apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said, meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur, sekitar jam 6.10 petang pada Selasa.
Berita pemergian Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad itu dimaklumkan oleh anak sulungnya, Helmy Samad menerusi satu hantaran ringkas di media sosial.
Dilahirkan dengan nama Abdul Samad Mohamed Said pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Allahyarham merupakan antara nama penting yang mewarnai perjalanan kesusasteraan Melayu menerusi penghasilan karya dalam pelbagai genre.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan, Allahyarham menghasilkan sejumlah karya merangkumi novel, puisi, drama, cerpen dan esei. Ketekunannya berkarya turut meletakkan beliau sebagai antara sasterawan paling prolifik di negara ini.
Antara karya agungnya ialah novel Salina yang diterbitkan pada (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987) dan Lantai T. Pinkie. Allahyarham turut menghasilkan kumpulan puisi berjudul Liar di Api.
Novel Salina khususnya menjadi antara karya penting dalam kesusasteraan Melayu sehingga mendapat perhatian pembaca di luar negara apabila diterjemahkan ke beberapa bahasa, termasuk Inggeris dan Perancis. Selain itu, beberapa hasil penulisannya turut diangkat ke pentas teater dan diadaptasi menjadi drama.
Pengiktirafan Atas Sumbangan Kesusasteraan
Keupayaan dan sumbangan besar Allahyarham dalam bidang penulisan mendapat pengiktirafan apabila A.Samad dinobatkan sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985.
Penghargaan itu melengkapkan senarai pengiktirafan yang diterimanya sepanjang perjalanan seni, termasuk Anugerah Pejuang Sastera pada 1976 dan SEA Write Award pada 1979, sebelum menerima Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Sumbangan Allahyarham turut dihargai di peringkat negeri apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.
Pemergian A.Samad atau lebih mesra disapa sebagai Pak Samad bukan sekadar kehilangan seorang penulis, sebaliknya meninggalkan ruang besar dalam dunia kesusasteraan Melayu.
Karya dan sumbangannya terhadap perkembangan bahasa serta sastera tanah air akan terus menjadi sebahagian daripada warisan penting negara. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20(1).jpg)
0 Comments