CL Mulakan Babak Baharu Bersama TheBlackLabel, Kembali Dengan Muzik Solo Selepas Lima Tahun

CL kembali dengan muzik solo menerusi single terbaharu, Iconic

Oleh: AILEEN ADAM
PERJALANAN seseorang penyanyi tidak semestinya bergerak dalam satu arah, terutama apabila kerjaya solo dan komitmen bersama kumpulan berjalan seiring. Bagi CL, nama yang cukup sinonim dengan 2NE1, perkembangan terbaharunya memperlihatkan satu lagi fasa perjalanan muzik yang dibina atas identiti dan pilihannya sendiri.


Penyanyi rap asala Korea Selatan itu kini memulakan lembaran baharu bersama TheBlackLabel selepas menandatangani kontrak eksklusif dengan syarikat rakaman berkenaan pada 13 November lalu.

Perkembangan tersebut turut menemukan semula Lee Chae-rin, nama sebenarnya, dengan penerbit Teddy, individu yang pernah bekerjasama dengannya dalam menghasilkan beberapa lagu popular 2NE1.

Kerjasama itu kemudian disusuli pelancaran single digital Icobic pada 20 November, menandakan kemunculan muzik solo pertamanya selepas album Alpha pada 2021. Karya terbaharu itu turut memuatkan sebuah lagi trek berjudul Say It To My Face.

Menariknya, pertemuan semula CL dengan Teddy sebenarnya bermula daripada hasrat menghasilkan muzik baharu untuk 2NE1 sempena sambutan ulang tahun ke-15 kumpulan tersebut.

Dalam temu bual bersama Billboard, bintang berusia 35 tahun  mendedahkan bahawa dia pernah berbincang dengan Teddy mengenai kemungkinan menghasilkan lagu baharu untuk kumpulannya. Namun, perancangan berkenaan tidak diteruskan ketika itu kerana beberapa perkara perlu diberi perhatian, khususnya keadaan kesihatan Park Bom.

Bagi CL, kebajikan rakan sekumpulannya lebih penting berbanding perancangan muzik pada waktu tersebut.

“Saya mahu Bom mengambil sedikit masa untuk berehat, manakala anggota lain juga mahu memberi tumpuan kepada projek solo masing-masing,” jelasnya.

Keadaan itu tidak bermakna hasrat untuk kembali menghasilkan muzik bersama 2NE1 sudah tertutup. Sebaliknya, penyanyi tersebut melihat peluang untuk bekerjasama dengan Teddy menerusi projek sendiri sebagai ruang meneruskan perjalanan muziknya sementara aktiviti berkumpulan belum dapat dirancang.

2NE1 Kepada Projek Solo

Peralihan daripada perbincangan mengenai 2NE1 kepada projek solo itu turut memperlihatkan bagaimana kerjasama lama boleh membuka peluang kepada arah kreatif yang berbeza.

CL (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan 2NE1

CL memulakan fasa baharu kerjaya solo selepas menyertai syarikat rakaman TheBlackLabel

Menerusi Iconic, artis solo berkenaan bukan sekadar kembali dengan muzik baharu selepas tempoh lima tahun, malah mahu memastikan karya tersebut mencerminkan perkembangan dirinya sebagai penyanyi.

Dalam temu bual bersama The Korea Herald, CL turut berkongsi hasrat untuk mengekalkan identiti muzik yang sudah dikenali peminat, sambil meneroka ruang penyampaian yang lebih luas.

“Saya mahu lagu-lagu ini mengekalkan karakter dan identiti CL yang disukai orang ramai serta peminat, sambil memperluas jenis mesej yang boleh saya sampaikan menerusinya,” katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran tentang arah yang ingin dibawa dalam fasa baharu kerjayanya. Selepas dikenali menerusi 2NE1 dan kemudian membina laluan sendiri sebagai artis solo, penyanyi itu kini mempunyai ruang untuk meneroka lebih banyak pendekatan muzik tanpa mengetepikan identiti yang membentuk namanya.

Kemunculan Iconic menjadi permulaan kepada perjalanan tersebut, sementara kedudukannya bersama TheBlackLabel membuka satu lagi babak dalam kerjaya solo yang terus berkembang. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments