Advertisement

Responsive Advertisement

Perjalanan Pulang & Cahaya Deepavali: Keluarga, Tradisi, dan Keriangan

 Deepavali bersama keluarga adalah satu kemestian buat Arvin

KEINDAHAN Deepavali bukan sahaja terletak pada cahaya lampu yang menerangi rumah, tetapi pada perjalanan pulang ke kampung dan kisah yang mengiringi setiap langkah. Ia terpancar dalam kehangatan dapur keluarga, dalam tawa yang mengisi ruang, dan di sepanjang perjalanan yang penuh harapan untuk bertemu insan tersayang.

Tahun ini, redBus berkongsi kisah tiga rakyat Malaysia iaitu Sathiya, Presanna dan Arvin yang menyingkap erti sebenar pulang ke kampung sempena Pesta Cahaya.  Kisah mereka mengangkat tema keluarga, tradisi, dan kegembiraan ketika dapat bersama orang tersayang.

Bagi Sathiya atau Sathiyakumari Poongawanam, 34, pagi Deepavali dimulakan dengan ketenangan dan muhasabah diri.

"Saat sinar pertama mentari menembusi jendela, keluarga mula bersiap untuk Ganga Snanam, mandi minyak tradisional yang diyakini membersihkan segala yang lama dan menyambut lembaran baharu. Orang tua-tua kata, sungai Ganga mengalir secara tidak kelihatan di setiap rumah,” ujarnya.

Selepas tradisi itu, rumah mula hidup dengan bunyi dan aroma yang nyaman, bau kari yang sedang dimasak, sinaran nei vilakku (pelita minyak), serta gelak tawa yang bergema di setiap sudut.

Sathiya menjelaskan, seluruh rumah dipenuhi aroma kari ayam masakan ibunya.

"Apabila pelita mula dinyalakan, seluruh kejiranan terasa hidup, dengan salam, tawa dan keriangan di mana-mana,” ujarnya.

Tradisi yang Menyatukan Generasi

Bagi kebanyakan keluarga, tradisi Deepavali bermula di dapur, di mana resipi dan amalan lama diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Bagi Presanna Nair, 31, perayaan hanya benar-benar bermula apabila murukku mula digoreng dalam minyak panas.

“Masa saya kecil dulu, ibu, makcik dan nenek akan pilih satu hari khas untuk membuat murukku. Kami duduk bersama berjam-jam, membentuk dan menggoreng murukku secara bergilir-gilir. Sampai hari ini, saya tetap pulang untuk meneruskan tradisi keluarga kami,” katanya.

Walaupun kehidupan berubah, tradisi itu tetap diteruskan. Selepas berkahwin, Presanna dan suami bergilir menyambut Deepavali di kampung masing-masing.

“Kadang-kadang saya rindu suasana di Kedah, namun berkongsi adat dengan keluarga mentua juga membawa makna yang sama indah,” tambahnya.

Kebersamaan di Luar Rumah

Makna Deepavali tidak terhenti di dinding rumah sahaja, tetapi juga tentang komuniti dan nilai saling menghargai. Di Sungai Siput, Perak, Arvin Raj, 31, mengenang satu sambutan Deepavali yang menggambarkan semangat itu.

“Seluruh saudara-mara berkumpul di kuil warisan keluarga. Kami membersihkan kuil bersama dan menikmati jamuan tengah hari dengan penduduk setempat. Rasa kebersamaan itulah sebenar erti Deepavali,” imbasnya.

Arvin menekankan bahawa kasih dan keriangan yang dikongsi, tawa sanak saudara, aroma masakan, dan semangat komuniti terus menyalakan cahaya Deepavali dari tahun ke tahun.

Sathiya (kiri), Presanna amat mementingkan tradisi

Setiap tradisi dan pertemuan bermula dengan satu perkara, perjalanan pulang. Di sepanjang lebuh raya dan jalan kampung, rakyat Malaysia merentas berpuluh batu untuk kembali kepada insan yang menjadikan perayaan ini bermakna.

“Tak kira sejauh mana saya pergi, perjalanan pulang tetap menyentuh hati. Ia seperti kembali ke tempat di mana hati saya terasa tenang,” kata Sathiya.

Sementara Presanna menganggap perjalanan itu sendiri sebahagian daripada perayaan, walaupun disertai kesesakan jalan raya musim perayaan.

Arvin pula terkenang detik yang tidak dijangka yang membuat kenangan lebih manis, seperti ketika terlupa membawa pakaian Deepavali dan terpaksa berpatah balik.

"Itulah yang menjadikan kisah balik kampung begitu istimewa, sebahagian daripada kegembiraan itu sendiri,” katanya.

Di sebalik setiap kisah, sama ada pemanduan pulang Sathiya yang penuh makna, tawa Presanna di dapur, atau hari Arvin yang dipenuhi keikhlasan dan kebersamaan, satu kebenaran tetap tersingkap iaitu Deepavali bukan sekadar destinasi, tetapi perjalanan itu sendiri yang membawa kita ke sana.

Setiap perjalanan, setiap hidangan, setiap senyuman yang dikongsi, semuanya membentuk keindahan sebenar perayaan ini.

Bagi mereka yang sedang dalam perjalanan pulang, redBus memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar, supaya penumpang dapat menumpukan pada perkara paling bermakna: kembali bersama insan tersayang. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments