Paris Jackson Mohon AS$600 Juta Disalurkan Ke Amanah Keluarga


LEBIH 17 tahun selepas pemergian Michael Jackson, pengurusan harta pusaka penyanyi legenda itu kembali menjadi perhatian apabila anak perempuannya, Paris Jackson, memohon campur tangan mahkamah berhubung pengagihan kekayaan keluarga.

Paris, 28, memfailkan permohonan pada 29 Oktober lalu supaya mahkamah di Los Angeles mengarahkan kira-kira AS$600 juta (RM2.5 bilion) daripada harta pusaka bapanya dipindahkan ke dalam Michael Jackson Family Trust, amanah yang diwujudkan untuk manfaat dirinya serta dua adik-beradiknya, Prince Jackson dan Bigi Jackson.

Permohonan itu dibuat kerana amanah berkenaan didakwa masih belum menerima pembiayaan seperti yang dirancang, meskipun harta pusaka Michael dilaporkan menjana pendapatan berbilion dolar sejak kematiannya pada 2009.

Dalam petisyen tersebut, Paris turut merujuk penyata kewangan yang menunjukkan harta pusaka bapanya mempunyai kira-kira AS$850 juta dalam bentuk tunai dan aset setara tunai pada penghujung 2024.

Dia berpendapat sebahagian daripada jumlah itu boleh dipindahkan selepas mengambil kira komitmen kewangan yang masih belum diselesaikan.

Isu Pengurusan Harta Pusaka

Permohonan itu turut membangkitkan persoalan mengenai pengurusan harta pusaka yang kini dikendalikan oleh John Branca selepas seorang lagi pelaksana harta pusaka, John McClain, meninggal dunia pada Mei lalu.

Paris mendakwa kelewatan pembiayaan amanah menyebabkan dirinya dan adik-beradik masih bergantung kepada keputusan pihak pengurusan berhubung jumlah serta masa pembayaran yang diterima.

Bagaimanapun, pihak pengurusan menolak dakwaan bahawa bayaran kepada anak-anak Michael telah ditahan atau dikurangkan. Dalam kenyataan kepada media, wakil mereka menjelaskan lebih AS$200 juta telah diagihkan atau dibelanjakan untuk manfaat Paris dan penerima manfaat lain.

Mereka turut menyatakan pembiayaan penuh amanah keluarga masih bergantung kepada penyelesaian beberapa perkara perundangan yang belum dimuktamadkan.

Wakil Paris pula mempertahankan permohonan itu dengan menegaskan sebahagian dana boleh disalurkan lebih awal tanpa perlu menunggu semua urusan berkenaan selesai.

Perkembangan terbaharu menyaksikan mahkamah Los Angeles pada 4 November lalu menangguhkan pertimbangan lanjut terhadap permohonan tersebut sehingga 4 Disember ini.

Keputusan mahkamah kelak akan menentukan sama ada sebahagian daripada dana harta pusaka Michael dapat dipindahkan ke dalam amanah keluarga seperti yang dimohon Paris. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments