A Season of Wonder Bawa Suasana Pasar Krismas Jerman Ke 1 Utama

Suasana pasar Krismas klasik Jerman mewarnai dekorasi A Season of Wonder di 1 Utama

SAMBUTAN Krismas di serata dunia sering diwarnai dekorasi meriah, cahaya berwarna-warni dan pelbagai tradisi yang mencerminkan keunikan perayaan tersebut. Antara elemen yang cukup sinonim dengan musim perayaan ini ialah pasar Krismas yang menawarkan suasana tersendiri menerusi dekorasi, seni kraf dan pelbagai tarikan bermusim.

Di Jerman, tradisi ini mempunyai sejarah panjang dan turut memperlihatkan kehalusan seni pertukangan serta warisan budaya yang terus dikekalkan sehingga kini.

Keistimewaan tersebut menjadi inspirasi kepada 1 Utama Shopping Centre untuk mengetengahkan suasana pasar Krismas dari Nuremberg dan Dresden menerusi A Season of Wonder, yang berlangsung dari 20 November hingga 27 Disember 2026.

Acara tahun ini menggabungkan elemen tradisi dan budaya perayaan menerusi dekorasi, watak-watak Krismas, pencahayaan serta pelbagai aktiviti yang membawa gambaran suasana pasar klasik Jerman ke ruang pusat beli-belah berkenaan.

Di LG Oval, pengunjung dapat melihat perkampungan Krismas yang diinspirasikan daripada Christkindlesmarkt di Nuremberg. Deretan chalet kayu, lampu jalan berukir gaya klasik dan hiasan bercahaya membentuk suasana seperti sebuah pekan lama.

Tarikan utamanya ialah Piramid Krismas setinggi 30 kaki yang diinspirasikan daripada pancuran Schöner Brunnen. Pokok Krismas serta figura animasi bersaiz sebenar, termasuk Santa Claus, askar nutcracker dan pemain dram cilik, turut menghiasi ruang tersebut.

Sementara itu, Centre Court di aras bawah menampilkan elemen warisan Dresden menerusi dekorasi yang merujuk kepada Striezelmarkt, pasar Krismas tertua di dunia yang bermula pada 1434. Antara hiasan yang diketengahkan ialah replika Schwibbogen, iaitu gerbang lilin tradisional, selain arca dan perhiasan Krismas yang memperlihatkan kehalusan seni pertukangan Jerman.

Tradisi, Kreativiti Dan Suasana Perayaan

Selain dekorasi, pengunjung juga boleh menyertai bengkel kreatif untuk menghasilkan cenderamata Krismas sendiri. Aktiviti itu memberi ruang kepada keluarga dan rakan-rakan mencipta kenangan menerusi hasil tangan yang boleh dibawa pulang.


Barisan tetamu kehormat menyempurnakan acara penyalaan lampu Krismas di 1 Utama

Suasana perayaan turut diserikan dengan persembahan sepanjang musim, termasuk nyanyian karol, orkestra simfoni, kumpulan acapella, tarian dan persembahan pancaragam. Gabungan lagu Krismas klasik serta persembahan kontemporari melengkapkan pengalaman di kedua-dua ruang utama acara.

Majlis penyalaan lampu Krismas 1 Utama berlangsung pada 21 November lalu, sekali gus menandakan bermulanya sambutan tahun ini. Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan 1 Utama City Group, Teo Chui Ping, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Chan Pak Keung; serta Ketua Produk Runcit HSBC, Jalpesh Vakharia.

Sepanjang tempoh sambutan, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai program ganjaran dan penebusan hadiah bertemakan Krismas. Pembelian menerusi platform ONESHOP.com.my juga disertakan beberapa keistimewaan bermusim, termasuk hadiah percuma dan khidmat balutan hadiah.

Selain itu, inisiatif Cart For Cause yang diperkenalkan menerusi platform berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk buatan tangan hasil kreativiti artisan dan individu daripada komuniti kurang berkemampuan. Keseluruhan hasil jualan disalurkan kepada mereka bagi menyokong kehidupan serta mata pencarian.

Pelbagai aktiviti dan pengisian sepanjang A Season of Wonder melengkapkan suasana perayaan di 1 Utama, sekali gus menyediakan ruang untuk pengunjung menikmati tradisi Krismas menerusi dekorasi, persembahan dan aktiviti kreatif bersama keluarga serta rakan-rakan. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments