Mega Gegar 20 Juta Labuhkan Tirai, Pemenang Bawa Pulang Pelbagai Hadiah Lumayan

Detik istimewa bersama para pemenang yang diraikan pada acara penutup kempen Mega Gegar 20 Juta anjuran CelcomDigi

PELUANG memenangi hadiah bernilai tinggi pastinya menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, lebih-lebih lagi apabila setiap peserta berpeluang membawa pulang ganjaran tersendiri.

Pengalaman itu menjadi kenyataan buat para peserta kempen Mega Gegar 20 Juta apabila acara kemuncaknya menyaksikan pelbagai hadiah lumayan menjadi milik pemenang dari seluruh negara.

Berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, acara kemuncak anjuran CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) itu menyaksikan 37 pemenang membawa pulang hadiah daripada kumpulan ganjaran keseluruhan bernilai sehingga RM20 juta.

Mereka merupakan peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir selepas dipilih daripada ribuan penyertaan di seluruh negara sejak kempen tersebut diperkenalkan pada Julai lalu.

Suasana acara turut diserikan dengan cabaran mengutip mata dalam sebuah ruang udara khas yang direka untuk pertandingan itu. Setiap finalis perlu mengumpul mata dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus menentukan hadiah utama yang bakal menjadi milik mereka.

Menariknya, setiap finalis dijamin membawa pulang ganjaran, menjadikan debaran acara lebih tertumpu kepada jenis hadiah yang bakal diterima masing-masing.

Antara penerima hadiah utama ialah Khow Yee Zhan dari Kuala Lumpur yang berjaya memenangi Smart AI Home Makeover bernilai RM265,000, hasil kerjasama Samsung dan The Makeover Guys.

Sementara itu, Danny Shiek Harn Heng dari Selangor membawa pulang sebuah kenderaan elektrik Proton e.MAS 7. Tiga lagi peserta, iaitu Intan Aslinda Danik dari Johor, Nur Anis Qhairina Kamaruddin dari Kuala Lumpur dan Nur Afifa Najwa Mohd Ali Jina dari Selangor pula masing-masing memenangi pakej percutian antarabangsa bernilai RM100,000.

Hargai Pelanggan

Selain hadiah utama, kempen ini turut menawarkan pelbagai ganjaran lain termasuk pakej percutian domestik, pengalaman eksklusif menghadiri konsert Live Nation serta telefon pintar dan peralatan elektrik rumah keluaran Samsung.

Ketua Perkhidmatan Jenama dan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling, berkata, kempen Mega Gegar 20 Juta bukan sekadar menawarkan hadiah lumayan, sebaliknya menjadi tanda penghargaan kepada pelanggan yang terus memberikan kepercayaan kepada syarikat itu.

“Lebih daripada sekadar hadiah, kempen ini bertujuan mencipta kenangan istimewa serta menunjukkan penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa menjadi inspirasi kami. Detik kehidupan seharian merekalah yang menjadi keutamaan dalam setiap perkara yang kami lakukan,” katanya.

Mega Gegar 20 Juta merupakan salah satu kempen penghargaan pelanggan terbesar yang pernah dianjurkan CelcomDigi. Menerusi kempen ini, pelanggan berpeluang menyertainya melalui pembelian yang layak daripada pelbagai produk dan perkhidmatan syarikat tersebut.

Dengan pembelian serendah RM20, pelanggan berpeluang membuka kotak misteri digital terbesar menerusi aplikasi CelcomDigi, sekali gus melayakkan mereka merebut pelbagai hadiah dan pengalaman menarik daripada kumpulan ganjaran bernilai sehingga RM20 juta.

Seiring usaha CelcomDigi untuk menjadi jenama telekomunikasi dan perkhidmatan digital paling dipercayai di negara ini, syarikat berkenaan terus memberi tumpuan kepada penyediaan produk, perkhidmatan serta pengalaman yang memenuhi keperluan dan kepentingan pelanggan. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments