Whalefall, Pertarungan Hidup Mati Di Dalam Perut Paus Gergasi


HOLLYWOOD Boulevard di Los Angeles bertukar meriah dengan hamparan permaidani biru sempena tayangan perdana dunia Whalefall, filem thriller survival terbitan 20th Century Studios dan Imagine Entertainment.

Berlangsung di hadapan El Capitan Theatre, acara itu turut menampilkan replika kepala paus sperma gergasi sebagai tarikan utama sesi fotografi.

Tayangan perdana tersebut menghimpunkan barisan pelakon termasuk Austin Abrams, Josh Brolin, Elisabeth Shue dan John Ortiz, selain pengarah, penulis bersama serta penerbit Brian Duffield dan penulis novel asal yang turut terlibat dalam penulisan skrip, Daniel Kraus.

Diinspirasikan daripada novel karya Kraus, Whalefall mengangkat kisah perjuangan hidup seorang lelaki muda yang terperangkap di dalam perut paus sperma gergasi.

Filem yang menemui penonton pawagam pada 15 Oktober ini mengisahkan Jay Gardiner (Austin Abrams) yang menyelam di perairan Central Coast, California, untuk mencari sisa jasad bapanya (Josh Brolin). Namun, dia ditelan seekor paus sperma dan hanya mempunyai baki oksigen untuk bertahan selama satu jam.

Dalam usaha menyelamatkan diri, Jay mula menyedari bahawa pengajaran hidup daripada bapanya mungkin menjadi kunci untuk melepaskan diri daripada situasi tersebut.


Kehadiran Whalefall menambah pilihan filem thriller survival di pawagam dengan premis yang cukup unik, menggabungkan ketegangan di dasar laut serta perjuangan seorang lelaki untuk terus hidup.

Gabungan elemen mendebarkan dan situasi yang menguji batas kemampuan manusia menjadikan filem ini antara naskhah yang wajar diberi perhatian oleh peminat genre thriller survival. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments