Kristal Nilam Biru Jadi Tarikan Baharu Jam G-Shock MR-G


KRISTAL nilam sering dikaitkan dengan keindahan dan ketahanan, namun menggunakannya pada jam tangan yang direka untuk menahan hentakan bukanlah sesuatu yang mudah.

Bahan ini memerlukan perhatian khusus dalam proses pembuatannya, terutama apabila struktur jam perlu melindunginya daripada daya impak tanpa menjejaskan penampilan.

Cabaran itu menjadi asas kepada kemunculan model terbaharu daripada koleksi MR-G, rangkaian utama G-Shock yang menggabungkan ketahanan dengan ketelitian seni pembuatan jam.

Diperkenalkan oleh Casio Computer Co., Ltd., MRG-D5000 mengetengahkan struktur berbilang komponen tanpa skru serta bezel yang diperbuat sepenuhnya daripada kristal nilam biru, dengan pengeluarannya dihadkan kepada hanya 20 unit di seluruh dunia.

Sejak diperkenalkan pada 1996, koleksi MR-G berkembang berlandaskan falsafah 'Breaking Ground', yang mencerminkan usaha meneroka pendekatan baharu dalam pembuatan jam tangan.

Gabungan teknologi pemprosesan berketepatan tinggi dan kemahiran pertukangan menjadi tunjang kepada reka bentuknya, dengan ketahanan dan keindahan diberi perhatian yang sama.

Teknologi Di Sebalik Kristal Nilam

MRG-D5000 mencatat pencapaian tersendiri sebagai jam tangan G-Shock pertama yang menggunakan komponen kristal nilam biru dalam struktur tahan hentakan.

Cabaran utamanya terletak pada sifat bahan tersebut yang boleh retak apabila terdedah kepada tekanan tertentu, termasuk daya yang terhasil daripada hentakan.

MRG-D5000 dikeluarkan dalam edisi terhad sebanyak 20 unit sahaja di seluruh dunia.

Bagi mengatasinya, Casio membangunkan struktur khas MR-G Multi-Guard yang menggunakan bezel dan bekas jam terdiri daripada beberapa komponen berasingan.

Komponen ini dipasang tanpa skru yang berpotensi menyebabkan kristal nilam retak, sekali gus membolehkan perlindungan terhadap hentakan dikekalkan tanpa mengabaikan kemasan reka bentuk.

Pembangunan struktur tersebut turut melibatkan analisis terhadap daya yang dipindahkan kepada kristal nilam apabila jam menerima hentakan. Hasilnya, binaan bezel dan bekas jam direka untuk melindungi bahan berkenaan sambil mengekalkan penampilan yang kemas.

Kristal nilam biru turut digunakan pada penutup belakang berkunci skru, yang diukir dengan nombor siri individu bagi setiap satu daripada 20 unit edisi terhad ini.

Dari sudut fungsi, modul jam berkenaan dilengkapi teknologi Gallium Tough Solar untuk ketahanan ketika terdedah kepada cahaya berintensiti tinggi serta pengecasan yang cekap.

Selain MRG-D5000, Casio turut memperkenalkan dua model lain yang mengangkat penggunaan kristal nilam biru dalam reka bentuk G-Shock.

MRG-B5000SA

GMW-B5000SB

MRG-B5000SA merupakan model MR-G yang menampilkan kristal nilam biru berpotongan faset seberat dua karat pada bahagian atas dan bawah bekas jam. Bezel model ini diperbuat daripada aloi berkekerasan tinggi, manakala salutan ion arka biru atau blue arc ion plating (AIP) digunakan pada bekas jam dan bezel bagi menghasilkan kemasan yang selaras.

Sementara itu, GMW-B5000SB membawa pendekatan berbeza sebagai model G-Shock serba logam. Kristal nilam biru diletakkan pada empat titik di bahagian hadapan bezel, memberikan sentuhan visual yang tersendiri pada reka bentuk ikoniknya.

Penggunaan kristal nilam biru pada ketiga-tiga model ini memperlihatkan bagaimana bahan yang mempunyai nilai estetik turut diteroka dari sudut kejuruteraan dan ketahanan.

Pendekatan tersebut seiring dengan tujuan Casio untuk menjadikan teknologi sebagai sumber pengalaman dan penemuan baharu dalam kehidupan seharian.

Usaha Casio ini memperlihatkan bagaimana jam tangan bukan sekadar alat penunjuk waktu, malah boleh menggabungkan teknologi, reka bentuk dan kreativiti untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pemakainya. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments