KEHARUMAN rempah yang memenuhi ruang, hidangan berwarna-warni di atas meja dan manisan tradisional yang dinikmati bersama keluarga menjadi sebahagian daripada keistimewaan Deepavali. Di sebalik kemeriahan perayaan ini, setiap sajian dan tradisi membawa cerita tersendiri, mencerminkan warisan yang terus dipelihara dan dikongsi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Kekayaan rasa dan budaya inilah yang menjadikan Deepavali bukan sekadar perayaan cahaya, tetapi juga kesempatan untuk mengenali tradisi masyarakat India melalui pengalaman yang dekat dengan kehidupan seharian, khususnya makanan yang menyatukan keluarga dan sahabat.
Meraikan kepelbagaian rasa dan budaya tersebut, Le Méridien Putrajaya tampil mengetengahkan A Festival of Flavours dari 30 Oktober hingga 15 November 2026, yang menampilkan pelbagai sajian tradisional di restoran Latest Recipe serta aktiviti kebudayaan yang mencerminkan semangat Deepavali.
Antara hidangan yang diketengahkan ialah Biryani Golkonda, nasi beraroma dengan campuran rempah yang memberikan cita rasa tersendiri, serta Benne Dosa, lempeng dari India Selatan yang rangup dengan rasa mentega.
Pilihan lain termasuk Chingdi Macher, kari udang gaya Bengali, Keema Kofta berupa bebola daging cincang berempah, serta Murgh Makhani, hidangan ayam mentega berkuah pekat yang cukup dikenali dalam masakan India.
Setiap hidangan membawa cita rasa tersendiri, memperlihatkan kepelbagaian masakan India yang dipengaruhi oleh bahan, rempah dan kaedah penyediaan mengikut wilayah.
Pengalaman menjamu selera turut dilengkapkan dengan pilihan manisan tradisional seperti Carrot Halwa, pencuci mulut berasaskan lobak merah yang lazimnya dihidangkan suam, Rasmalai yang terdiri daripada bebola keju yang direndam dalam susu manis, serta Channa Dal Payasam, manisan berasaskan kacang dal.
Tradisi Di Sebalik Kemeriahan Deepavali
Selain hidangan di meja makan, seni kolam turut menjadi antara elemen yang sinonim dengan Deepavali. Corak hiasan lantai yang disusun menggunakan pelbagai warna ini mencerminkan kreativiti serta tradisi menyambut perayaan dalam masyarakat India.
Elemen tersebut turut diterapkan menerusi hiasan kolam di sekitar hotel, selain aktiviti mewarna berinspirasikan corak tradisional di Kids' Corner yang memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka kreativiti mereka.
Tetamu juga akan menerima ladoo, manisan tradisional India yang sering dikaitkan dengan perayaan dan kunjungan istimewa.
Sebagai pembuka kepada rangkaian sambutan ini pada 30 Oktober 2026, acara menyalakan pelita minyak atau diya akan berlangsung di lobi hotel. Kakitangan yang mengenakan pakaian tradisional India akan menyalakan pelita di sekitar hiasan kolam, sekali gus menyerlahkan elemen tradisi yang sinonim dengan perayaan Deepavali.
Bufet Deepavali di restoran Latest Recipe berlangsung dari 1 hingga 15 November 2026, dengan pilihan hidangan untuk makan tengah hari menerusi Buffet Brunch dari pukul 12 tengah hari hingga 3.30 petang, serta Buffet Dinner dari pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam.
Maklumat lanjut mengenai A Festival of Flavours boleh didapati menerusi saluran rasmi Le Méridien Putrajaya, termasuk informasi berkaitan sajian dan aktiviti yang berlangsung sepanjang sambutan tersebut.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments