"Same Syasya, Just a Different Chapter" - Syasya Rizal

'Different' mempunyai nilai peribadi yang tersendiri buat Syasya | FOTO: Universal Music

TIDAK semua perubahan hadir untuk mengubah siapa kita. Ada kalanya, ia sekadar membuka ruang untuk kita mengenali diri sendiri dari sisi yang berbeza.

Begitu juga dengan Syasya Rizal. Selepas melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan dan kerjaya, penyanyi berusia 25 tahun itu kini melangkah ke satu lagi babak menerusi karya solo pertamanya berjudul Different.

Bukan sekadar memperkenalkan sisi baharu dalam muzik, single ini menjadi ruang buat Syasya untuk tampil sebagai dirinya sendiri. Lebih matang, yakin dan berdikari, namun masih membawa elemen yang pernah membuatkan peminat mengenali dirinya.

Dicipta dan ditulis bersama Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel serta Syasya sendiri, Different mengangkat bunyi pop yang segar sambil mengekalkan tenaga dan identiti yang dekat dengan dirinya.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu, karya ini membawa mesej tentang pemerkasaan diri, di mana seseorang tidak perlu bersaing atau membandingkan perjalanan hidupnya dengan orang lain untuk membuktikan nilai diri.

Menurut Syasya atau nama lengkapnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, inspirasi karya tersebut bermula daripada keinginannya untuk memperkenalkan identiti sebenar sebagai seorang artis solo.

“Bila pertama kali masuk ke studio bersama Amirul, saya beritahu dia bahawa saya mahu buat muzik yang apabila orang dengar, mereka terus tahu, ‘Oh, ini Syasya.’

"Elemen tenaga dan muzik yang orang kenal sebelum ini masih ada, cuma kali ini saya tampil dengan fasa kehidupan dan pengalaman yang baharu. Same Syasya, just a different chapter,” jelasnya.

Impian Tidak Perlu Dipadamkan

Buat penyanyi tinggi lampai ini, Different juga mempunyai nilai peribadi tersendiri kerana ia hadir ketika kehidupannya sudah melalui perubahan besar, termasuk bergelar isteri dan ibu, dalam masa sama masih mengejar impian dalam bidang muzik.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, saya di sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk membina laluan saya sendiri.

"Fasa motherhood atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian. Keutamaan kita mungkin berubah, tetapi impian tidak perlu dipadamkan.

"Saya berharap lagu ini dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana bahawa anda boleh terus membesar, berubah, dan mengejar impian yang membuatkan anda berasa hidup,” katanya lagi.




Dalam proses menghasilkan karya tersebut, Syasya turut menemukan pengalaman baharu apabila diberi ruang untuk terlibat dalam penulisan lagu. Baginya, sokongan daripada barisan produksi menjadi antara faktor yang membolehkannya lebih yakin menyuarakan idea sendiri.

“Meskipun saya masih baharu dalam bidang penulisan lagu, mereka sangat terbuka mendengar idea dan pandangan saya. Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati membolehkan saya lebih berani untuk menyuarakan apa yang saya inginkan secara kreatif.

"Semua orang mahukan yang terbaik untuk lagu ini, dan daripada situlah lahirnya Different,” katanya.

Setelah tidak lagi bersam kumpulan Dolla, Syasya pastinya memahami penantian peminat terhadap kemunculan solonya. Justeru, dia berharap singlesolo itu bukan sahaja dapat dinikmati, malah menjadi sebuah karya yang menghubungkan dirinya dengan pendengar dalam cara yang lebih dekat.

“Saya berharap para pendengar dapat menikmati energi lagu ini, menari bersama, dan memahami mesej di sebaliknya.

“Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda.
"Insya-ALLAH, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya menutup bicara.

Mungkin babaknya sudah berubah, namun bagi Syasya, perjalanan itu masih panjang untuk diteruskan. Different kini boleh didengar di semua platform penstriman digital. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments