DUNIA Middle-earth bakal kembali bergolak apabila The Lord of the Rings: The Rings of Power tampil dengan musim ketiga yang menjanjikan skala peperangan lebih besar, suasana yang lebih gelap serta pelbagai kejutan buat peminat. Perkembangan terbaharu siri fantasi epik itu didedahkan ketika sesi panel di San Diego Comic-Con, sekali gus memberikan gambaran awal tentang cabaran yang bakal menanti para watak dalam musim baharu.
Selain memperkenalkan teaser trailer terbaharu, sesi tersebut turut menampilkan barisan pelakon bersama pencipta siri, J.D. Payne dan Patrick McKay, yang berkongsi beberapa pendedahan menarik mengenai jalan cerita serta watak-watak baharu yang bakal menghangatkan musim ketiga.
Trailer berkenaan memperlihatkan Sauron semakin hampir merealisasikan misinya untuk menempa One Ring, sekali gus membuka laluan kepada usahanya menguasai seluruh Middle-earth. Ancaman itu memaksa pelbagai pihak membentuk pakatan baharu bagi menentang kuasa gelap yang semakin berkembang.
Turut diumumkan beberapa watak baharu yang bakal menyertai siri ini, termasuk Jamie Campbell Bower sebagai Celeborn, suami Galadriel yang telah lama menghilang, selain Zubin Varla sebagai Khamûl the Easterling.
Eddie Marsan pula membawakan watak Thrain, abang kepada Raja Durin IV, manakala Andrew Richardson muncul sebagai Anarion, adik kepada Isildur. Adam Young turut diperkenalkan sebagai Marnûkh, seorang Orc misteri yang menyimpan pelbagai persoalan.
Perang Di Middle-earth Bermula
Salah satu kejutan terbesar ketika panel tersebut ialah pendedahan bahawa makhluk Balrog kini akan bertutur buat pertama kali dalam siri ini, dengan suaranya dibawakan oleh pelakon terkenal, Simon Pegg.
Suasana di Hall H turut dimeriahkan dengan kemunculan mengejut empat Nazgnagôl lengkap berperisai, iaitu pengikut Sauron yang diperkenalkan dalam musim ketiga sebagai versi terawal kepada Nazgûl atau Ringwraiths.
Musim ketiga akan mula ditayangkan pada 11 November ini dengan empat episod pertama. Dua episod berikutnya akan disiarkan pada 18 November, sebelum musim tersebut melabuhkan tirai menerusi dua episod terakhir pada 25 November.
Lima tahun selepas kejatuhan Eregion, Middle-earth kini berada di ambang peperangan apabila tentera Sauron terus mara menakluk wilayah demi wilayah.
Dalam usahanya menyempurnakan One Ring yang mampu menguasai semua kehidupan, harapan kini bergantung kepada kerjasama antara kaum Elf, Dwarf, manusia dan ahli sihir untuk menghentikan kebangkitan kuasa gelap itu sebelum segalanya terlambat.
The Lord of the Rings: The Rings of Power diadaptasi daripada legenda Second Age karya J.R.R. Tolkien, membawa penonton mengembara ribuan tahun sebelum peristiwa dalam
The Hobbit dan The Lord of the Rings.
Musim ketiga dijangka meneruskan konflik yang semakin memuncak, dengan lebih banyak pertempuran epik, pakatan baharu serta pengorbanan yang bakal menentukan masa depan Middle-earth.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments