ADA sesuatu yang tidak diketahui sedang menghampiri, dan sebuah perkampungan terpencil bakal menjadi titik pertemuan antara manusia dengan ancaman yang sukar dibayangkan.Itulah premis yang dibawa
Hope, filem sci-fi thriller terbaharu arahan Na Hong-jin yang menggabungkan misteri, aksi dan elemen makhluk asing.
Selepas sedekad, pengarah di sebalik
The Wailing, The Yellow Sea dan
The Chaser kembali ke layar lebar dengan sebuah projek berskala besar yang bakal menemui penonton Malaysia mulai 10 September 2026.
Mengambil latar di Hope Harbor, sebuah perkampungan pesisir pantai yang terpencil,
Hope mengikuti ketua polis tempatan Bum-seok lakonan Hwang Jung-min dan pegawai polis Sung-ae lakonan Hoyeon ketika mereka menyiasat beberapa gangguan misteri serta serangan ganas terhadap ternakan penduduk.
Apa yang pada awalnya kelihatan seperti perbuatan haiwan liar mula berubah apabila mereka menyedari ada sesuatu yang jauh lebih menggerunkan di sebalik kejadian tersebut. Ketika penduduk cuba menjejaki makhluk misteri berkenaan, keadaan dengan pantas berada di luar kawalan dan sebuah insiden terpencil mula berkembang menjadi perjuangan untuk terus hidup.
Curi Perhatian Dunia
Dengan reputasi Na Hong-jin yang cukup sinonim dengan penceritaan gelap dan mendebarkan,
Hope turut tampil dengan barisan pelakon Korea dan antarabangsa yang cukup mengagumkan.
Selain Hwang Jung-min, filem ini menampilkan Zo In-sung dan Hoyeon, yang meraih populariti global menerusi fenomena
Squid Game. Mereka turut bergandingan dengan bintang antarabangsa Michael Fassbender dan Alicia Vikander, selain Taylor Russell serta Cameron Britton.
Bagi penonton Malaysia, filem ini bakal hadir dalam beberapa format tayangan untuk memberikan pengalaman sinematik yang lebih menyeluruh. Ia akan ditayangkan dalam format 2D, IMAX, 4DX dan ScreenX, manakala pawagam terpilih turut menawarkan pengalaman Dolby Atmos dan D-BOX pada waktu tayangan tertentu.
Pilihan format tersebut menjadikan
Hope lebih daripada sekadar sebuah filem untuk ditonton, sebaliknya sebuah pengalaman layar lebar yang direka untuk menghidupkan setiap letupan aksi, pertembungan dan detik mendebarkan dalam dunianya yang luar biasa.
Tidak menghairankan apabila filem ini sudah mencuri perhatian di peringkat antarabangsa sebelum tayangan rasminya.
Hope telah dipilih untuk bertanding dalam Official Competition di Festival Filem Cannes ke-79, sekali gus menjadi filem pertama arahan Na Hong-jin yang bersaing untuk merebut Palme d’Or.
Lebih menarik, ia turut mencatat rekod pra-jualan antarabangsa bagi sebuah filem Korea, dengan hak pengedaran berjaya diperoleh untuk tayangan di lebih 200 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Momentum tersebut semakin kukuh selepas
Hope mula ditayangkan di Korea Selatan pada 15 Julai lalu. Filem ini terus menduduki tempat pertama pada hari pembukaan dengan kira-kira 334,000 penonton, sekali gus merekodkan pembukaan hari pertama paling kukuh bagi mana-mana filem yang ditayangkan di Korea pada tahun ini.
Prestasinya tidak terhenti di situ apabila naskhah ini kemudiannya melepasi angka tiga juta penonton, selain terus menguasai kedudukan teratas carta box office hujung minggu di Korea Selatan.
Hope akan menemui penonton di pawagam Malaysia mulai 10 September 2026.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments