| Ammar dan Azeva mahu teruskan legasi bapa, Ameng Spring |
MENJELANG pentas akhir Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2) yang berlangsung malam ini, penyanyi Ammar Haikal mendoakan yang terbaik buat kakaknya, Azeva Natassha, yang merupakan antara finalis program tersebut.
Menurut Ammar, dia dan seluruh keluarga sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Azeva, 25, biarpun mereka tidak dapat hadir menyaksikan persembahan malam kemuncak itu kerana komitmen kerja.
Ammar yang ditemui pada majlis pelancaran muzik video single sulungnya, Gila Bayang, di XO House pada Jumaat, turut meletakkan harapan tinggi agar kakaknya berjaya membawa pulang gelaran juara.
“Walaupun tahun lepas saya dapat tempat keempat, saya memang nak tengok kakak saya melakar kejayaan lebih besar daripada saya. Saya harap dia dapat bawa balik gelaran juara. Itu memang harapan saya dan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Ammar mengakui dia menyedari semakin ramai mula membuat perbandingan antara dirinya dan Azeva. Namun bagi penyanyi berusia 19 tahun itu, perkara tersebut langsung tidak dianggap sebagai satu persaingan, sebaliknya menjadi detik yang membanggakan apabila melihat kakaknya semakin mendapat tempat dalam industri.
“Bagi saya, perbandingan itu bukan sesuatu yang negatif. Saya lebih bangga sebab kakak saya pun dah jadi seorang artis. Lagipun tak perlu banding antara kami.
"Dia ada rupa, ada suara dan karakter dia sendiri. Orang suka dia kerana diri dia sendiri. Saya tak anggap itu sebagai persaingan, saya cuma nak terus menyokong dia,” katanya.
Azeva Buktikan Kemampuan Sendiri
Lebih menyentuh hati, Ammar mendedahkan Azeva sebenarnya seorang yang pemalu dan tidak pernah bercita-cita untuk menjadi perhatian umum. Justeru, melihat perubahan yang dilalui kakaknya hari ini membuatkan dia berasa cukup bangga.
“Dia sebenarnya seorang yang sangat introvert dan tidak mahu orang kenal dia sangat. Namun bila tengok apa yang dia capai sekarang, saya rasa gembira dan bangga. Alhamdulillah, seorang lagi anak Ameng berjaya masuk dalam industri seni,” luahnya.
| Ammar dan Azeva saling menyokong |
Dalam masa sama, Ammar berkata bapanya, penyanyi Ameng Spring, sentiasa menjadi individu yang paling kuat memberi dorongan kepada mereka sepanjang meniti perjalanan seni.
“Papa memang bangga dengan kami, tak kisahlah saya atau Azeva. Dia selalu teruja tengok perkembangan kami dalam dunia seni,” ujarnya.
Selain itu, Ammar turut berkongsi impian yang masih belum tercapai, iaitu untuk berkongsi pentas bersama Ameng dan Azeva dalam sebuah persembahan istimewa suatu hari nanti.
“Itu memang impian saya. Saya nak papa, Azeva dan saya sendiri berada di atas satu pentas buat persembahan,” katanya.
Mengulas mengenai tanggapan segelintir pihak yang menganggap dirinya masih dibayangi nama besar Ameng Spring, Ammar berkata perkara itu bukan sesuatu yang boleh dielakkan kerana mereka sememangnya membawa legasi keluarga yang sama.
“Memang ada orang yang cakap saya asyik dibayangi oleh nama ayah saya, tapi nak buat macam mana sebab dia adalah seorang legenda dalam industri.
"Hakikatnya, bayangan Ameng memang tak boleh lari daripada kami adik-beradik sebab saya dan Azeva 'berbin' dan 'bintikan' Ameng Spring.
"Kalau boleh saya nak nyanyikan kembali lagu ayah saya. Manalah tahu kalau suatu hari nanti, orang dah lupa lagu-lagu dia. Kami sebagai anak mahu terus menyanyikan lagu-lagunya supaya legasi itu terus hidup dan dikenali generasi baharu,” tegasnya.
Bagi Ammar, setiap langkah yang diambil mereka bukan sekadar meneruskan legasi keluarga, tetapi juga membuktikan bahawa setiap anak mempunyai warna dan perjalanan seni yang tersendiri.
Dengan sokongan antara satu sama lain, dia percaya kejayaan akan lebih bermakna apabila diraikan bersama sebagai sebuah keluarga. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Ammar Haikal Mahu Bina Identiti Sendiri, 'Gila Bayang' Jadi Langkah Pertama
- Harith Zazman & Yonnyboii Kongsi Kisah Paling Peribadi Menerusi ‘Sempurna’
- Konsert ‘Homecoming’ Ella Pindah Ke Setia SPICE Arena, Temui Peminat 22 Ogos Ini
0 Comments