Strawberry Moon: Pesona Bulan Purnama Jun Mengubah Suasana Langit Malam

Strawberry Moon bukan sekadar peristiwa astronomi, tetapi juga satu pengalaman visual dan emosi

Oleh: J.TAWFEQ
SETIAP kali bulan Jun berada di penghujungnya, langit malam sering dihiasi dengan satu fenomena yang sentiasa menarik perhatian peminat langit, bulan purnama yang dikenali sebagai Strawberry Moon.


Walaupun namanya kedengaran seolah-olah bulan akan bertukar warna merah jambu seperti buah strawberi, hakikatnya ia bukan perubahan fizikal pada bulan, tetapi satu nama tradisional yang digunakan sejak ratusan tahun lalu untuk menandakan bulan purnama pada bulan Jun.

Istilah ini berasal daripada masyarakat pribumi Amerika Utara yang mengaitkan tempoh ini dengan musim buah strawberi liar yang sedang masak.

Menurut sumber seperti The Old Farmer’s Almanac, nama-nama bulan purnama ini pada asalnya digunakan sebagai 'kalender semula jadi' untuk menandakan perubahan musim dan aktiviti pertanian, sebelum ia menjadi rujukan popular dalam astronomi moden hari ini.

Menariknya, Strawberry Moon juga sering dianggap sebagai bulan purnama pertama selepas solstis musim panas di hemisfera utara. Kedudukan ini menjadikan laluan bulan di langit lebih rendah berbanding bulan purnama lain sepanjang tahun, satu faktor yang memberi kesan visual yang unik kepada pemerhati di bumi.

Dari segi astronomi, fenomena ini berlaku apabila Bumi berada di antara Matahari dan Bulan dalam satu garis hampir lurus, menyebabkan seluruh permukaan Bulan yang menghadap Bumi disinari sepenuhnya oleh cahaya matahari.

Inilah yang kita lihat sebagai bulan purnama, satu fasa yang berlaku secara tetap setiap bulan dalam kitaran orbit Bulan mengelilingi Bumi.

Untuk tahun 2026, bulan purnama ini mencapai kemuncaknya sekitar 29 Jun, dengan waktu puncak berlaku pada lewat petang mengikut waktu Amerika Syarikat. Di Malaysia, fenomena ini biasanya dapat diperhatikan pada awal pagi 30 Jun, bergantung kepada waktu terbit bulan serta keadaan cuaca dan pencemaran cahaya setempat.

Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan bulan purnama lain, bulan masih kelihatan hampir penuh untuk tempoh sekitar satu hingga dua malam sebelum dan selepas tarikh puncaknya, menjadikannya mudah untuk diperhatikan tanpa perlu menunggu detik tepat fenomena berlaku.

Pun begitu ia tidak berubah daripada warna sebenar, Strawberry Moon kadangkala kelihatan berona kekuningan atau jingga, terutamanya ketika ia baru terbit di ufuk langit.

Fenomena ini berlaku kerana cahaya bulan perlu melalui lapisan atmosfera Bumi yang lebih tebal pada sudut rendah, menyebabkan cahaya biru tersebar dan hanya warna hangat seperti merah dan oren lebih dominan. Kesannya sama seperti warna langit ketika matahari terbenam.

Calm Night Aesthetic

Strawberry Moon boleh dilihat dengan jelas menggunakan mata kasar tanpa sebarang peralatan khas. Lokasi yang jauh daripada cahaya bandar seperti kawasan pantai, kawasan terbuka, atau kawasan tinggi biasanya menawarkan pengalaman pemerhatian yang lebih jelas dan menarik.

Walaupun ia bukan fenomena yang jarang berlaku, kehadirannya tetap menjadi tarikan kerana suasana malam yang lebih tenang dan visual langit yang lebih dramatik.

Menariknya, pemerhati langit sering menyedari bahawa bulan purnama pada bulan Jun kelihatan lebih 'rendah' di langit berbanding bulan purnama lain.

Menurut penjelasan astronomi, ini berlaku kerana kedudukan orbit Bulan yang dipengaruhi oleh sudut Matahari ketika musim panas di hemisfera utara, menyebabkan laluan bulan berada lebih dekat dengan ufuk.

Bagi ramai orang, fenomena ini bukan sekadar peristiwa astronomi, tetapi juga satu pengalaman visual dan emosi. Ada yang mengambil peluang untuk merakam gambar, terutama ketika moonrise yang menghasilkan warna langit dramatik.

Ada juga yang menjadikannya sebagai momen santai pada waktu malam, sama ada untuk menikmati pemandangan, beriadah ringan, atau sekadar 'pause' seketika daripada rutin harian.

Dalam era media sosial, Strawberry Moon sering menjadi subjek popular kerana suasananya yang estetik dan mudah dikaitkan dengan gaya hidup 'calm night aesthetic'.

Walaupun begitu, di sebalik trend visual itu, fenomena ini sebenarnya kekal sebagai peringatan bahawa pergerakan alam semesta sentiasa berlaku di sekeliling kita dengan konsisten, tepat, dan tidak bergantung kepada masa manusia.

Strawberry Moon mungkin tidak membawa perubahan fizikal kepada bulan, tetapi ia membawa sesuatu yang lebih halus iaitu cara kita melihat langit yang sama dengan rasa kagum yang berbeza setiap kali ia muncul. Dan mungkin sebab itu, fenomena ini terus kekal relevan dari generasi ke generasi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments