PADA permukaan, The Sheep Detectives kedengaran seperti satu eksperimen yang hampir mustahil untuk Berjaya, sekumpulan biri-biri yang menyiasat kematian tuan mereka.
Namun di tangan pengarah Kyle Balda, filem ini berubah menjadi sebuah naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mengejutkan dari segi emosi dan lapisan ceritanya.
Diadaptasi daripada novel Three Bags Full karya Leonie Swann, filem ini mengisahkan sekumpulan biri-biri yang hidup tenang di sebuah ladang, sebelum dunia mereka berubah apabila pemilik ladang yang mereka kenali dan percayai, George, ditemui mati secara misteri. Terbiasa mendengar kisah detektif sebelum tidur, kumpulan biri-biri ini mula mengaplikasikan apa yang mereka fahami untuk mencari jawapan kepada tragedi tersebut.
Apa yang menjadikan filem ini menonjol bukan sekadar premisnya yang unik, tetapi cara ia membina dunia kecil yang terasa hidup dan penuh karakter. Setiap biri-biri diberikan personaliti tersendiri, menjadikan interaksi mereka bukan sahaja mencuit hati tetapi juga sarat dengan emosi yang tidak dijangka.
Di sebalik dialog ringan dan situasi comel, terselit tema lebih serius tentang kehilangan, kesetiaan dan bagaimana makhluk hidup cuba memahami kematian dengan cara mereka sendiri.
Walaupun dibarisi barisan pelakon terkenal, perhatian penonton melekat kepada dunia haiwan yang menjadi nadi cerita. Lakonan suara yang penuh ekspresi membantu menghidupkan setiap karakter biri-biri, menjadikan mereka lebih daripada sekadar elemen animasi dan terasa seperti watak sebenar dalam cerita ini.
Dari sudut teknikal, CGI yang digunakan berada pada tahap memuaskan, dengan ekspresi wajah dan pergerakan haiwan direka dengan teliti sehingga penonton mudah terikat secara emosi, walaupun sedar ia adalah ciptaan digital. Ini memberi kekuatan besar kepada filem, terutama dalam babak-babak yang lebih emosional.
Namun begitu, The Sheep Detectives juga mempunyai kelemahannya. Sebagai sebuah filem misteri, elemen penyiasatannya agak sederhana dan tidak terlalu mencabar. Malah watak-watak manusia dalam cerita ini terasa sedikit tenggelam berbanding watak haiwan, menyebabkan fokus emosi lebih berat kepada dunia biri-biri itu sendiri.
Bahagian awal filem juga mengambil masa untuk benar-benar menemui rentaknya. Ia perlahan dalam membina dunia dan memperkenalkan karakter, walaupun kesabaran itu akhirnya dibayar dengan perkembangan cerita yang lebih hangat dan menyentuh hati pada separuh masa kedua.
Apa yang menyelamatkan keseluruhan pengalaman tontonan ialah keseimbangan antara humor dan emosi. Filem ini tidak cuba menjadi terlalu serius, tetapi pada masa sama tidak takut untuk menyentuh tema kehilangan dan kesedihan dengan pendekatan yang lebih lembut.
Di sinilah kekuatan sebenar The Sheep Detectives di mana ia berjaya membuat penonton tersenyum pada satu ketika, dan kemudian diam seketika pada saat berikutnya.
Secara keseluruhan, filem ini mungkin bukan karya misteri yang kompleks di layar, tetapi ia adalah antara yang paling berjiwa. Dengan gabungan idea kreatif, visual yang kemas dan naratif yang sarat emosi tidak dijangka, naskhah ini berjaya meninggalkan kesan yang lebih lama daripada jangkaan.
The Sheep Detectives, sebuah filem yang berbaloi ditonton bersama keluarga dan kini sedang ditayangkan di pawagam bermula 27 Mei 2026. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- [REVIEW] Kata Hati: Rom-Com Selesa Ditonton, Tapi Terlalu Selamat
- [REVIEW] Passenger: Road Trip Malam Bertukar Jadi Mimpi Ngeri
- [REVIEW] Biopik Michael: Estetika Menonjol dalam Batas Naratif
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P12
Genre: Komedi/Famili
Durasi: 1 jam 50 minit
Pengarah: Kyle Balda
Pelakon: Hugh Jackman, Emma Thompson, Nicholas Braun, Nicholas Galitzine, Molly Gordon
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 27 Mei 2026
Bintang: 6.5/10
[KREDIT FOTO: Sony Pictures Entertainment]
POLONG
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 16
Genre: Seram
Durasi: 2 jam
Pengarah: Zulkarnain Azhar
Pelakon: June Lojong, Nadiya Nisaa, Mimi Lana, Fad Anuar, Namron
Edaran: Primeworks Studios
Tarikh Tayangan: 28 Mei 2026
MOBILE SUIT GUNDAM HATHAWAY: THE SORCERY OF NYMPH CIRCE
Bahasa: Jepun
Klasifikasi: 13
Genre: Anime
Durasi: 1 jam 48 minit
Pengarah: Shukou Murase
Pelakon: Kensho Ono, Reina Ueda, Junichi Suwabe, Soma Saito, Kenjiro Tsuda
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 28 Mei 2026
THE FURIOUS: PERTARUHAN MARUAH
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 13
Genre: Aksi/Drama
Durasi: 1 jam 46 minit
Pengarah: Heng Aik Siong
Pelakon: Zul Ariffin, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Zamarul Hisham, Sandra Lim
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 28 Mei 2026
0 Comments