Dari Dunia Gilead Hingga K-Drama Diraja, Ini Senarai Wajib Tonton Di Disney+ April Ini


SETIAP bulan datang dengan senarai tontonan baharu, tapi April di Disney+ terasa sedikit berbeza. Kali ini, platform penstriman tersebut membawakan gabungan cerita yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga sarat dengan emosi, konflik dan dunia yang cukup imersif.

Daripada kisah distopia yang menekan jiwa, ke drama remaja yang gelap, sehinggalah K-drama romantik dengan sentuhan diraja.

Pendek kata, ini bukan sekadar senarai tontonan biasa tetapi pilihan cerita yang mampu buat penonton terus melekat di skrin dari episod pertama.

Sorotan Utama: The Testaments

Antara judul yang paling mencuri perhatian ialah The Testaments, yang dibintangi Ann Dowd, Chase Infiniti, Lucy Halliday, Mabel Li, Amy Seimetz, Brad Alexander, Rowan Blanchard dan Mattea Conforti. Siri ini akan mula ditayangkan pada 8 April.

Sebagai kesinambungan dunia The Handmaid’s Tale, siri ini membawa penonton kembali ke Gilead melalui kisah dua remaja perempuan, Agnes dan Daisy. Agnes digambarkan sebagai seorang yang patuh dan berpegang teguh pada kepercayaan, manakala Daisy pula merupakan pendatang baharu dari luar Gilead.

Ketika mereka melalui kehidupan di sekolah elit Aunt Lydia, tempat di mana ketaatan diajar secara keras atas nama agama. Hubungan mereka mula mencetuskan perubahan besar yang bakal menggoncang masa lalu, masa kini dan masa depan mereka.

Kisah Gelap dan Psikologi Remaja: The Flowers of Evil

Turut ditampilkan ialah The Flowers of Evil yang akan ditayangkan pada 9 April, dibintangi Fuku Suzuki dan Ano. Siri ini mengisahkan Takao Kasuga, seorang pelajar sekolah menengah yang terperangkap dalam kehidupan membosankan di kampung halamannya.

Dia menemui pelarian dalam karya sastera kegemarannya, terutamanya puisi oleh Baudelaire, sambil menyimpan perasaan terhadap rakan sekelasnya yang sempurna, Nanako Saeki.

Namun, satu insiden memalukan selepas waktu sekolah mengheretnya ke dalam situasi gelap apabila dia diperas ugut oleh rakan sekelas lain, Nakamura, sekali gus membuka jalan kepada konflik psikologi yang semakin mendalam.

K-Drama Romantik: Perfect Crown

Bagi peminat K-drama, Perfect Crown pasti antara yang wajib ditonton. Dibintangi IU dan Byeon Woo-seok, siri ini akan mula ditayangkan pada 10 April.

Menggabungkan elemen romantik dan komedi, kisah ini mengikuti Grand Prince I-AN, figura diraja yang disayangi rakyat namun terperangkap dalam perebutan kuasa dalam keluarga diraja. Di tengah tekanan untuk berkahwin, dia memeterai perkahwinan kontrak dengan Huiju, pewaris kepada konglomerat Korea.

Namun, apa yang bermula sebagai strategi akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang lebih kompleks apabila emosi mula berkembang dan hubungan mereka tidak lagi semudah yang dirancang.

Aksi dan Misteri: Gold Land

Menutup bulan April dengan penuh debaran ialah Gold Land, yang akan ditayangkan pada 29 April. Siri ini menampilkan Park Bo-young, Kim Sung-cheol, Lee Hyun-wook, Kim Hee-won, Moon Jeong-Hee dan Lee Kwang-soo.

Kisahnya mengikuti Heeju yang akhirnya berjaya meninggalkan kampung halamannya untuk memulakan kehidupan baharu selepas mendapat pekerjaan impian di lapangan terbang antarabangsa.

Namun, kehidupannya berubah drastik apabila dia secara tidak sengaja terjebak dalam situasi berbahaya melibatkan penyeludupan emas. Dengan sebuah van penuh emas seludup dan diburu oleh individu berbahaya, Heeju terpaksa melarikan diri, ironinya kembali ke tempat yang paling dia ingin tinggalkan selama ini.

Kandungan Menarik Lain

Selain siri utama, Disney+ turut membawakan pelbagai kandungan lain sepanjang April. Di bawah segmen Uncharted Stories, penonton boleh meneroka dunia baharu melalui Secrets of the Bees (1 April), Star Wars: Maul - Shadow Lord (episod pertama pada 6 April), episod akhir In Your Radiant Season (3 April), serta dokumentari Orangutan (22 April).

Bagi penggemar genre jenayah pula, segmen On the Case menawarkan siri seperti High Potential musim kedua (episod akhir pada 8 April), 9-1-1: Nashville (8 April), RJ Decker (22 April), serta Daredevil: Born Again musim kedua yang akan bersambung pada 29 April.

Disney+ menawarkan pilihan tontonan yang cukup menyeluruh sepanjang April 2026, daripada drama berat yang mencabar emosi, kisah remaja yang gelap, K-drama romantik yang mencuit hati, hinggalah siri aksi dan jenayah yang penuh debaran.

Dengan gabungan pelbagai genre dan jalan cerita yang unik, bulan ini jelas memberi sesuatu untuk setiap jenis penonton.  Jadi, sama ada ingin mencari cerita baharu untuk ditonton atau sekadar mengisi masa lapang, April di Disney+ sememangnya penuh dengan pilihan yang sukar untuk dilepaskan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments