Oleh: SORAYA AFNAN
SEMPENA sambutan Hari Wanita Sedunia, Casio mengumumkan pelancaran model terbaharu dalam keluarga G-SHOCK yang terkenal dengan ketahanan hentakan dan identiti rekaan berani.
Model GMA-P2126W diperkenalkan sebagai edisi khas yang bukan sahaja mengekalkan DNA lasak G-SHOCK, malah membawa mesej penghargaan terhadap semangat dan kekuatan wanita di seluruh dunia.
Jam tangan ini menampilkan bezel oktagon ikonik daripada siri 2100, siluet yang semakin sinonim dengan pendekatan moden dan minimalis G-SHOCK.
Dibangunkan berasaskan model GMA-P2110 yang bersaiz lebih kompak dengan cincin bezel logam, GMA-P2126W hadir dalam tona kelabu gelap seragam. Palet monokrom tersebut memperlihatkan gradasi yang halus dan mendalam, sekali gus memancarkan aura keyakinan diri serta keteguhan karakter.
Sentuhan aksen berwarna emas pada beberapa perincian rekaan memberikan kontras elegan, seolah-olah melambangkan sinar harapan yang terus memancar ke masa hadapan. Bahagian dial turut menggabungkan elemen logam bagi menghasilkan kemasan berkilau yang sofistikated, menjadikan keseluruhan jam tangan ini tampak refined tanpa mengorbankan identiti tahan lasaknya.
Dalam masa sama, aspek kelestarian turut diberi perhatian. Komponen resin utama yang digunakan pada bezel dan tali jam diperbuat daripada bio-based resin berasaskan sumber organik boleh diperbaharui. Pendekatan ini mencerminkan usaha jenama dalam mengurangkan impak terhadap alam sekitar, selari dengan keprihatinan global terhadap isu kemampanan.
Rekaan dan saiznya yang ideal untuk pemakaian harian menjadikan GMA-P2126W sebagai aksesori versatil yang sesuai digayakan dalam rutin profesional mahupun aktiviti santai. Gabungan kekuatan struktur dan estetika moden ini dilihat sebagai simbol sokongan kepada wanita yang melangkah ke hadapan setiap hari dengan keyakinan positif.
Di Sebalik Rekaan, Ada Tanggungjawab Sosial
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial, Casio akan menyumbangkan lima peratus daripada hasil jualan model ini di Jepun kepada Japanese Organization for International Cooperation in Family Planning (JOICFP).
Organisasi tersebut memperjuangkan kesihatan wanita dan berusaha membina dunia di mana setiap wanita mempunyai hak untuk membuat pilihan terhadap kehidupan mereka sendiri.
| Ran Tondabayashi menggayakan G-SHOCK edisi khas Hari Wanita Sedunia | FOTO: G-SHOCK |
Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac telah diiktiraf oleh United Nations sejak tahun 1975. Bukan sekadar hari meraikan pencapaian wanita dalam bidang keamanan, keselamatan dan pembangunan, malah turut menjadi ruang refleksi terhadap kemajuan telah dicapai serta usaha yang masih perlu diteruskan bagi memastikan peluang kepimpinan dan pembangunan terus berkembang secara inklusif.
Dalam memperluaskan mesej tersebut, G-SHOCK turut memperkenalkan laman khas, 'Women of Our Time' yang menampilkan kisah wanita luar biasa daripada pelbagai bidang. Platform ini mengetengahkan perjalanan mereka dalam mengejar impian dengan penuh keyakinan serta menelusuri hubungan unik antara masa dan pencapaian peribadi.
Kempen sama turut diserikan dengan video khas menampilkan artis Jepun, Ran Tondabayashi, yang menghasilkan visual utama projek ini. Melalui perspektif kreatifnya yang tersendiri, video tersebut merakam serpihan masa dan menterjemahkannya secara visual sebagai gambaran falsafah G-SHOCK, kekuatan dan keindahan yang wujud seiring dalam setiap detik perjalanan.
Dengan pelancaran GMA-P2126W, G-SHOCK bukan sekadar memperkenalkan jam tangan baharu, tetapi mengangkat makna masa sebagai simbol daya tahan, harapan dan kemajuan wanita di peringkat global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments