| Filem web Tahun Baru Cina MR D.I.Y, ‘The Family Trial 2: Storm of Reunion’ | FOTO: MR D.I.Y |
SEMPENA sambutan Tahun Baru Cina 2026, MR D.I.Y. Malaysia kembali dengan sebuah filem web perayaan berjudul The Family Trial 2: Storm of Reunion, yang mengangkat tema kekeluargaan melalui penceritaan ringan namun sarat emosi.
Filem berdurasi kira-kira 10 minit ini menyelami kisah tentang perdamaian, pengorbanan dan ikatan keluarga yang sering diuji, tetapi jarang diperkatakan secara terbuka.
Menjadi taruhan utama kali ini ialah kehadiran pelakon tersohor TVB Hong Kong, Kenneth Ma Kwok-ming, pemenang pelbagai anugerah lakonan yang membawa karisma tersendiri ke dalam naskhah tersebut.
The Family Trial 2: Storm of Reunion merupakan kesinambungan kepada filem web The Family Trial yang meraih sambutan memberangsangkan pada tahun lalu, sekali gus meneruskan pendekatan penceritaan MR D.I.Y. yang dekat dengan realiti kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Konflik Keluarga Dalam Bingkai Tradisi & Humor
Berlatarbelakangkan sebuah mahkamah purba yang diinspirasikan daripada figura legenda Justice Pao, filem ini membuka tirai dengan pertikaian dramatik antara dua beradik yang dibawa ke hadapan ‘hakim’.
Melalui dialog sarat jenaka dan situasi menghiburkan, konflik keluarga yang sering tercetus akibat salah faham diangkat dengan pendekatan santai, namun tetap berakar pada nilai budaya dan tradisi. Naratif kemudiannya bergerak ke latar masa kini, membongkar lapisan kebenaran di sebalik tuduhan yang dilemparkan.
Salah faham terpendam sekian lama mula terlerai apabila kedua-dua beradik menyedari kasih sayang tidak pernah diluahkan, keprihatinan tersirat, serta pengorbanan peribadi yang telah dilakukan masing-masing demi keluarga.
Apa yang bermula sebagai konfrontasi akhirnya bertukar menjadi detik penuh keinsafan, kemaafan dan pertemuan emosi yang menyentuh hati.
Katanya, The Family Trial 2: Storm of Reunion sebagai refleksi kepada detik-detik kecil tetapi bermakna yang membentuk hubungan sesama ahli keluarga, disampaikan melalui penceritaan yang lucu namun menyentuh perasaan.
Dengan gabungan elemen humor, nostalgia dan emosi yang seimbang, filem web ini merangkumkan semangat Tahun Baru Cina sambil mengekalkan pendekatan MR D.I.Y. yang sentiasa dekat dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Ia turut mengajak penonton untuk menilai semula hubungan kekeluargaan masing-masing dan menghargai kebersamaan, khususnya ketika musim perayaan yang sinonim dengan pertemuan dan kehangatan keluarga.
The Family Trial 2: Storm of Reunion kini boleh ditonton menerusi saluran media sosial rasmi MR D.I.Y. Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Baru Cina 2026.
Sejak dilancarkan, filem web ini telah mencatat lebih lima juta tontonan dalam tempoh kurang daripada tiga hari, sekali gus membuktikan daya tarikannya di kalangan penonton tempatan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments