| ATEEZ tampilkan Adrenaline untuk menarik perhatian pendengar baharu |
Oleh: AILEEN ADAM
SELEPAS kejayaan besar Golden Hour: Part.3 dan versi repackagenya, ATEEZ terus mengekalkan momentum sebagai salah satu kuasa global berpengaruh dalam K-pop.
EP ke-13 mereka, Golden Hour: Part.4, menunjukkan keyakinan, ambisi, dan capaian antarabangsa yang semakin meluas. Edisi terkiniini boleh didengar melalui Sony Music Korea dan RCA Records, menandakan fasa baharu dalam perjalanan muzik kumpulan ini.
ATEEZ yang dianggotai oleh Hongjoong, Seonghwa, Yunho, Yeosang, San, Mingi, Wooyoung dan Jongho memulakan 2026 dengan semangat tinggi, sekali gus melancarkan single utama, Adrenaline. Lagu berentak rancak ini menggabungkan bunyi eksplosif kumpulan dengan paduan EDM memukau, menonjolkan intensiti dan ketepatan yang menjadi signature muzik mereka.
Dikenali kerana kebolehan mereka menyesuaikan diri dalam pelbagai bahasa dan gaya muzik, ATEEZ menampilkan Adrenaline untuk menarik perhatian pendengar baharu sambil menegaskan identiti bunyi mereka yang tersendiri.
Jejak Kekuatan Global
Tahun 2025 menjadi titik penting bagi ATEEZ dengan pelbagai pencapaian global. Kumpulan ini mencatat kemunculan pertama mereka dalam Billboard Hot 100 melalui lagu Lemon Drop (No. 69) dan In Your Fantasy (No. 68), serta menjuarai carta Billboard Top Album Sales buat kali kelima dengan Golden Hour: Part.3.
Selain itu, mereka diiktiraf sebagai K-pop Artist of the Year pada iHeartRadio Music Awards 2025 dan dicalonkan sebagai Favorite K-pop Artist di American Music Awards, mengukuhkan kedudukan mereka dalam landskap muzik antarabangsa.
| Video muzik Adrenaline boleh ditonton di saluran YouTube rasmi ATEEZ |
EP terkini menampilkan lima lagu baharu yang menceritakan tekad ATEEZ untuk bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan, walaupun di tengah gelombang emosi yang bercampur. Ia juga menjadi projek rasmi pertama mereka selepas pembaharuan kontrak, menandakan satu titik perubahan menarik dalam karier tujuh tahun mereka.
ATEEZ terus membuktikan status mereka sebagai artis K-pop bertaraf global, dan peminat di seluruh dunia menantikan apa yang mereka akan persembahkan pada tahun ini. Dengan Adrenaline, kumpulan anak muda berbakat besar ini memberi semangat kepada peminat untuk terus kuat di tengah kekalutan zaman, sebuah lagu party anthem untuk mereka yang tidak mahu berputus asa.
Video muzik rasmi untuk lagu Adrenaline boleh ditonton di saluran YouTube rasmi ATEEZ, sementara keseluruhan EP Golden Hour: Part.4 boleh distrim di semua platform digital. Senarai lagunya merangkumi Ghost, Adrenaline (tajuk utama), NASA, On The Road dan Choose.
Selaras dengan pelancaran EP ini, ATEEZ memulakan siri jelajah 'In Your Fantasy' di Asia dan Australia, dengan menampilkan pengalaman live interaktif kepada peminat di bandar-bandar utama rantau ini.
Kumpulan ini juga menambah persembahan kedua di Sydney dan Melbourne, menandakan fasa baharu dengan pentas yang lebih besar dan usaha berterusan untuk mengukuhkan kehadiran mereka dalam persembahan live global.
Jelajah 'In Your Fantasy' merangkumi bandar-bandar utama seperti Singapura, Melbourne, Sydney, Manila, Kuala Lumpur, Macau, dan Bangkok, dengan setiap persembahan menawarkan pengalaman live yang menarik dan tidak dapat dilupakan bagi peminat di seluruh Asia dan Oceania. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments