Sorotan 2025: Top 10 Perkahwinan Artis Paling Mencuri Perhatian


TAHUN 2025 merakam pelbagai detik manis dalam dunia hiburan tempatan apabila ramai selebriti memilih tahun ini untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan dengan ikatan perkahwinan.

Ada yang mengejutkan peminat dengan pernikahan tertutup, ada juga yang mengakhiri penantian panjang selepas melalui pelbagai ujian cinta. Setiap kisah hadir dengan naratif tersendiri - peribadi, matang dan penuh makna.

Berikut adalah 10 perkahwinan artis yang paling mencuri perhatian sepanjang tahun ini.

1. Fikry Ibrahim & Khalizah Alihan – 12 Februari

Pelakon Fikry Ibrahim, 31, sah bergelar suami kepada Khalizah Alihan, 37, dalam majlis yang berlangsung di sebuah masjid di Jitra, Kedah. Perkahwinan ini mengejutkan ramai kerana sebelum itu, pasangan ini tidak pernah berkongsi kisah percintaan secara terbuka.

2. Siti Saleha & Joshua Fitton – 15 Februari

Siti Saleha, 35, kembali bergelar isteri apabila disatukan dengan pereka fesyen Joshua Fitton, 38, di Enderong Resort, Janda Baik, Pahang. Mereka memulakan hubungan pada 2022, dan Joshua memperkenalkan diri sebagai tunang Saleha pada November 2024, menjadikan perkahwinan ini penuh makna selepas bertahun mengenali hati budi masing-masing.

3. Sufian Suhaimi & Rania Al Sadat – 2 Mei

Penyanyi Sufian Suhaimi, 33, sah bergelar suami kepada Rania Al Sadat, 25, dalam majlis ijab dan kabul di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kisah cinta mereka menarik perhatian kerana pernah bertunang pada Oktober 2023, putus pada April 2024, dan akhirnya kembali bertaut pada awal 2025 sebelum sepakat mendirikan rumah tangga.

4. Jaclyn Victor & Calvin T Samuel – 25 Mei

Selepas enam tahun bergelar ibu tunggal, Jaclyn Victor kembali melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya dengan seorang pensyarah, Calvin T Samuel. Majlis perkahwinan yang diadakan secara tertutup ini hanya dihadiri keluarga dan sahabat terdekat. Jaclyn sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Shawn Rivera pada 2014, yang berakhir selepas lima tahun.

5. Qi Razali & Wardah – 25 Mei

Pelakon Qi Razali, 48, akhirnya bertemu cinta hati, Wardah Hayati, 30, yang kini sah menjadi isterinya. Majlis pernikahan berlangsung penuh makna dan mencuri perhatian ramai kerana perjalanan cinta mereka yang menonjolkan kesabaran dan kepercayaan dalam hubungan.

6. Syafiq Kyle & Mimi Lana – 18 Ogos

Pasangan selebriti Syafiq Kyle, 32, dan Mimi Lana, 29, sah bergelar suami isteri di sebuah ruang acara di Taiping, Perak. Kisah cinta mereka mendapat perhatian ramai kerana pernah membatalkan majlis perkahwinan seminggu sebelum berlangsung pada 2023, menjadikan penyatuan kali ini lebih emosional dan bermakna.

7. Fattah Amin & Amira Othman – 14 September

Pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman, 31, disatukan di Golden Palm Tree Resort, Sepang. Fattah, 35, sebelum ini pernah berkahwin dengan aktres Fazura dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Namun perkahwinan tersebut berakhir pada Oktober tahun lalu, menjadikan ikatan baharu ini babak penting dalam perjalanan hidupnya.

8. Sabronzo (Dolla) & Ryan Fieret – September

Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo, atau nama sebenar Wan Sabrina Wan Rusli, 30, sah menjadi isteri kepada Ryan Fieret dalam sebuah majlis ijab dan kabul yang diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga serta rakan terdekat. Majlis respsi pasangan ini berlangusng di Bali, Indonesia. Hubungan mereka mula rapat selepas terlibat dalam satu acara pada awal 2024, dan akhirnya disempurnakan dengan perkahwinan yang intimate serta penuh makna.

9. Erra Fazira & Ezwan Zain – 12 Disember

Pelakon dan penyanyi Erra Fazira, 51, menamatkan zaman solonya dengan Ezwan Zain, 44, seorang usahawan. Majlis berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, dengan mas kahwin berupa sepohon bunga emas dengan nilai 24 dinar. Ini adalah perkahwinan ketiga Erra selepas sebelumnya pernah berkahwin dengan Yusry Abdul Halim (2003–2006) dan Engku Emran (2007–2014). Dalam perkahwinan kedua, Erra dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Engku Aleesya, 16.

10. Sissy Imann & Dr Zamir Hilman Hamzah – 12 Disember

Penyanyi Sissy Imann memilih Dr Zamir Hilman, 41, sebagai suami, di mana majlis pernikahan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Hubungan mereka yang bermula sebagai doktor dan pesakit bertukar menjadi cinta, dan akhirnya mereka sepakat mendirikan rumah tangga.


Setiap perkahwinan selebriti pada 2025 bukan sekadar momen glamor, tetapi juga perjalanan peribadi yang sarat dengan makna, harapan dan kisah tersendiri. 

Daripada kejutan, kegembiraan hingga ke momen intimate bersama keluarga, sorotan ini akhirnya tercatat sebagai sebahagian daripada memori hiburan tempatan. Dirakam bukan untuk ditafsir secara berlebihan, tetapi sebagai rujukan kepada momen-momen yang pernah mencuri tumpuan sepanjang tahun ini.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments