Debut Mini Album One Or Eight: ‘Gather’ Gabungkan Energi Tokyo Drift & Eksperimen Global


Oleh: AILEEN ADAM
KUMPULAN anak muda asal Jepun, One Or Eight, kini melancarkan mini album pertama mereka, Gather, menyatukan lagu-lagu ikonik dari era debut bersama karya baharu yang segar.

Album ini memadukan eksperimen berani dengan pengaruh muzik global, sambil menyampaikan naratif yang memupuk semangat perpaduan dan aspirasi.

Melalui Gather, One Or Eight yang dianggotai oleh Mizuki, Neo, Reia, Ryota, Souma, Takeru, Tsubasa dan Yuga ini menegaskan misi mereka sebagai generasi boy group Jepun yang bersedia melangkah 'dari Jepun ke seluruh dunia'.

Intipati gaya ‘cool’ Jepun dibawa semula dengan sentuhan budaya muda yang mentah dan produksi global terkini, menjadikan setiap lagu penuh tenaga dan relevan.

Album lapan lagu ini mempamerkan identiti unik setiap ahli, sambil menggabungkan kreativiti mereka yang berbeza menjadi satu tenaga kolektif yang berkuasa.

Pembukaan album dimeriahkan dengan Tokyo Drift, lagu penuh tenaga yang mengambil sampel daripada tema ikonik Fast & Furious: Tokyo Drift, menetapkan nada berani untuk keseluruhan album.

Dengan rentak elektronik yang mendebarkan, Tokyo Drift menggabungkan lirik Jepun dan Inggeris untuk menyalurkan tenaga perlumbaan jalanan, semangat pecutan dan keberanian mencuba di mana ia menjadi permulaan yang berani untuk album ini.

Seterusnya, Don’t Tell Nobody dihasilkan bersama penggubah lagu terkenal dunia Ryan Tedder dan David Stewart, serta mixed oleh Josh Gudwin. Lagu ini memadukan melodi pop yang catchy dengan rap yang tajam, menghasilkan bunyi berenergi tinggi yang sesuai dengan pasaran global.

Video muziknya pula menampilkan persona One Or Eight yang ceria dan spontan, mengubah ruang sehari-hari menjadi taman permainan ‘Happy BadBoy’ yang dinamik melalui visual kreatif dan sinematografi drone.

DSTM membawa sentuhan baharu kepada lagu Rihanna Don’t Stop the Music yang dihasilkan oleh Stargate, penerbit asal lagu tersebut.  Dengan rentak padat dan aura Y2K yang dinamik, lagu ini memadukan lirik Jepun dan Inggeris sambil mengekalkan mantra kumpulan, selagi muzik terus dimainkan, semangat mereka terus melangkah. Gabungan nostalgia dan moden menjadikannya sorotan yang menarik perhatian pelbagai generasi.

Sorotan & Evolusi Kreatif One Or Eight

Sementara itu, single pra-pelancaran Power, yang menjadi lagu penamat untuk Yoroi Shinden Samurai Troopers, berperanan sebagai lagu utama yang menjadi nadi tema dalam Gather.

Dengan produksi urban-pop yang agresif namun catchy, lagu ini meneroka kekuatan yang ditemui semula melalui cabaran, ikatan persahabatan, dan daya tahan untuk bangkit semula. Menggabungkan elemen hip-hop, trap, R&B dan bunyi berorientasikan kelab, Power memperlihatkan evolusi artistik dan kedalaman emosi One Or Eight.

Satu lagi sorotan utama ialah lagu pra-debut Kawasaki, yang menjadi viral dengan lebih 10 juta tontonan di YouTube dalam masa 10 hari.

Versi baharu lagu ini menampilkan ayat hebat daripada Big Sean, pemenang tujuh kali BET Award, menandakan kolaborasi antarabangsa rasmi pertama One Or Eight. Gabungan rentak Jersey Club, bass 808 yang berat, dan flow dinamik Big Sean menegaskan kehadiran kumpulan ini di pentas muzik global.

Young & Reckless memaparkan keyakinan tanpa batas dan keberanian yang menjadi identiti kumpulan ini. Dihasilkan oleh Kavi dan Edwin Honoret, lagu ini menyatukan vokal soulful, rentak trap, dan nuansa nostalgia, menjadi lagu semangat yang menyerlahkan keyakinan diri, penjelajahan, dan keberanian untuk hidup mengikut cara sendiri.

Lagu ketujuh, Bet Your Life, menampilkan deklarasi keyakinan diri dan tekad untuk mempertaruhkan segala-galanya dalam perjalanan yang dipilih. Menggabungkan trap industri, tekstur emo,  dan rap tajam, lagu ini menekankan mesej untuk membuang keraguan dan membentuk masa depan dengan yakin, satu seruan bagi sesiapa yang bertekad menempuh jalan sendiri.

Menutup album, 365 menangkap keinginan teguh untuk berada di sisi seseorang, mencerminkan hubungan mendalam antara One Or Eight dan peminat mereka. Dengan bunyi pop dengan pengaruh R&B dan soul Amerika serta lirik oleh Nasri, lagu ini menonjolkan sisi lebih intim kumpulan, menutup album dengan hangat dan meninggalkan kesan mendalam.

Souma, Tsubasa, Takeru, dan Yuga

Mizuki, Neo, Reia dan Ryota 


Melalui lapan lagu itu, Gather membentuk gambaran lengkap tentang identiti artistik kumpulan ini iaitu berani, berfokus global, menyentuh emosi, dan tanpa takut bereksperimen. Album mini ini menegaskan kedudukan mereka sebagai boy group generasi baharu Jepun yang bersedia mengembangkan pengaruh jauh melangkaui sempadan negara.

Selain tracklist lengkap iaitu Tokyo Drift, Don’t Tell Nobody, DSTM, Power, Kawasaki (With Big Sean), Young & Reckless, Bet Your Life, dan 365, One Or Eight juga bakal membawa Gather ke pentas melalui konsert jelajah pertama mereka bermula 7 Mac di Kobe, Nagoya, dan Yokohama, dengan tarikh tambahan akan diumumkan kemudian.

Sebelum jelajah ini, kumpulan ini sempat ke Korea Selatan untuk beberapa persembahan di rancangan muzik utama termasuk MusicCore, M Countdown, Music Bank, dan Inkigayo. Mereka juga ke Thailand untuk Japan Expo di Bangkok dari 6 hingga 8 Februari, meneruskan penyebaran muzik mereka ke bandar dan pentas baharu.

Seiring itu juga, Fanclub rasmi One Or Eight, ‘1DERZ’, telah dilancarkan di Thailand, membolehkan peminat lebih dekat dengan kumpulan melalui pra-jualan tiket, kandungan eksklusif, dan sesi live, mewujudkan hubungan lebih dekat antara mereka.

Kempen pra-pelancaran keahlian sedang berlangsung, dengan rancangan untuk memperluas fanclub ke negara lain pada masa depan, menyokong pertumbuhan komuniti peminat global One Or Eight. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments