TUAN Lancar Koleksi Raya 2026 dengan Wajah Baharu di ISETAN Suria KLCC


JENAMA busana lelaki tempatan, TUAN, memperkenalkan Koleksi Raya 2026 menerusi kerjasama strategik bersama ISETAN Suria KLCC, sekali gus menandakan satu fasa baharu dalam perjalanan jenama tersebut di pusat beli-belah ikonik berkenaan.

Pelancaran New Look: TUAN x ISETAN Raya Collection 2026 yang berlangsung pada 7 Januari lalu turut menjadi detik debut ruang jenama TUAN yang telah dinaik taraf di Aras 3, ISETAN Suria KLCC.

Penampilan ruang baharu ini mencerminkan evolusi berterusan jenama ini dalam landskap fesyen premium tempatan, selain menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih tersusun, kemas dan selesa selepas empat tahun penempatannya di lokasi tersebut.

Direka sepenuhnya oleh pengasas merangkap pereka jenama, Tengku Kery, Koleksi Raya 2026 menampilkan 11 koleksi utama, termasuk satu koleksi wanita yang direka khas untuk dipadankan bersama kurta lelaki.

Koleksi istimewa musim perayaan ini ditawarkan pada harga bermula RM179 hingga RM399, merangkumi potongan saiz biasa dan oversized sehingga 8XL.

Pendekatan rekaan inklusif ini lahir daripada pengalaman peribadi Tengku Kery sendiri, yang mula menyedari kekangan pilihan saiz ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, perubahan fizikal yang dialami ketika itu membuka perspektif baharu terhadap realiti pelanggan berbadan besar yang sering berdepan kesukaran mendapatkan busana perayaan yang selesa dan bersesuaian.

Kesedaran tersebut mendorong TUAN memperkenalkan dua potongan utama iaitu regular cutting dan oversize cutting yang bukan sahaja menepati kehendak gaya, malah memberi kebebasan kepada pemakai sehingga saiz 8XL.

Inisiatif ini sekali gus mengukuhkan komitmen jenama terhadap keterangkuman tanpa mengorbankan estetika rekaan.

Kekal setia kepada DNA jenama, Koleksi Raya 2026 menyeimbangkan elemen tradisi perayaan dengan sentuhan kontemporari yang segar.

Pilihan warna yang berani serta perincian rekaan yang tersendiri menjadi nadi koleksi ini, mencerminkan keyakinan TUAN untuk berdiri teguh dengan identiti sendiri tanpa terlalu terikat kepada arus trend semasa.

Pendekatan ini selari dengan falsafah jenama yang telah bertapak selama lebih sedekad dalam industri fesyen tempatan, dengan keutamaan diberikan kepada keperluan dan cita rasa pelanggan yang pelbagai latar serta bentuk badan.

Identiti, Inklusiviti dan Evolusi Jenama

Penempatan semula ruang jenama susulan proses renovasi turut memperlihatkan peningkatan ketara dari segi prestasi jualan, sekali gus menekankan kepentingan keterlihatan, susun atur serta persembahan visual dalam ruang bahagian Lelaki.

Perubahan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pelanggan, malah mencerminkan hala tuju TUAN yang semakin matang sebagai jenama busana lelaki kontemporari.



Kempen Raya 2026 juga menandakan tahun ketiga penyanyi dan penulis lagu dari Singapura, Imran Ajmain, sebagai muse serta model big-and-tall jenama tersebut.

Kolaborasi berterusan ini menzahirkan komitmen jenama ini terhadap representasi inklusif dalam fesyen lelaki, khususnya dalam konteks busana perayaan yang sering terhad kepada saiz tertentu.

Imran menyifatkan rekaan TUAN sebagai berani dan penuh karakter, dengan pendekatan warna yang jarang ditemui dalam busana perayaan lelaki.

Keunikan setiap koleksi serta kepercayaan yang diberikan untuk bekerjasama sekali lagi musim Raya ini menjadi nilai penting dalam kolaborasi berpanjangan tersebut.

Selain penawaran busana, TUAN turut memperluaskan pendekatan gaya hidup perayaannya menerusi kolaborasi terpilih bersama jenama tempatan seperti Fragtology dan label tudung The Jasmine, di samping rangkaian aksesori yang dikurasi khas.

Pendekatan ini memperlihatkan aspirasi jenama ini untuk melangkaui fungsi pakaian semata-mata, sebaliknya membina ekosistem perayaan yang lebih menyeluruh dan berlapis.

Dengan Koleksi Raya 2026 dan wajah baharu di ISETAN Suria KLCC, TUAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama busana lelaki tempatan yang progresif, inklusif dan konsisten dengan identiti tersendiri. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments