GANDINGAN ikonik Dayo Wong dan Sammi Cheng kembali menggegarkan layar perak dalam Night King, sebuah naskhah yang penuh dengan drama, gelak tawa dan persaingan klasik cinta-benci.
Daripada pertengkaran bekas suami isteri hingga cabaran menghidupkan semula kelab malam legenda, filem ini janji satu pengalaman tontonan yang sarat dengan emosi, nostalgia, dan hiburan tanpa henti.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, Sony Pictures Entertainment Malaysia bakal mengedarkan Night King di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari.
Filem ini diarahkan oleh pemenang Anugerah Filem Hong Kong, Jack Ng, dan diterbitkan oleh pasukan yang sama di sebalik kejayaan filem box-office, A Guilty Conscience, yang mencatat kutipan melebihi HKD 100 juta.
Gabungan kredibiliti pengarah dan kekuatan naskhah menjadikan filem ini taruhan utama layar perak bagi Tahun Baharu Cina tahun ini.
Buat pertama kalinya, 'Dayo God' Dayo Wong bergandingan dengan diva pop ikonik, Sammi Cheng, dalam sebuah filem perayaan Tahun Baharu Cina.
Dalam Night King, mereka membawakan watak bekas pasangan suami isteri yang terikat dalam hubungan cinta dan dendam.
Dayo Wong melakonkan watak Foon, seorang pengurus kelab malam legenda yang telah lama bertapak di East Tsim Sha Tsui, manakala Sammi Cheng tampil sebagai Madame V, bekas isterinya yang tegas dan berkarisma, kini kembali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk mengambil alih kelab tersebut.
Pertembungan dua watak ini menjanjikan dinamika penuh emosi, humor dan persaingan yang menghidupkan layar, sekali gus menawarkan 'pertempuran kecantikan, gelak tawa dan lakonan' yang segar untuk Tahun Kuda.
Night King turut menampilkan barisan pelakon wanita berprofil tinggi yang membawakan watak hos kelab malam Club EJ.
Louise Wong, Fish Liew, Renci Yeung, Mandy Tam, Sumling Li, Miko Wong, Hazel Lam dan Tang Lai-ying berganding bahu untuk menghidupkan kembali era kegemilangan kelab malam di East Tsim Sha Tsui. Tidak ketinggalan Tse Kwan-ho, Alan Yeung, Lo Chun-yip serta ahli kumpulan ERROR, Dee Ho, yang bersama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina bersama penonton di Malaysia.
Inspirasi Jack Ng: Daripada Mahkamah ke Dunia Kelab Malam
Pengarah, Jack Ng berkongsi bahawa idea filem ini tercetus ketika majlis makan malam meraikan kejayaan A Guilty Conscience.
Menurutnya, selepas menggarap filem bertemakan mahkamah yang serius, dia ingin menghasilkan sebuah karya yang lebih ringan dan mampu membangkitkan rasa gembira dalam kalangan penonton.
Jack turut menyatakan bahawa kemakmuran East Tsim Sha Tsui pada era 1980-an dan 1990-an, serta perubahan zaman yang dilalui kawasan tersebut, mempunyai resonans yang menarik dengan realiti masyarakat hari ini.
Berlatarbelakangkan tahun 2012, Night King mengisahkan kejatuhan mendadak Club EJ, sebuah kelab malam yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemewahan dan kehebatan hiburan malam di East Tsim Sha Tsui.
Foon, pengurus kelab yang telah mengabdikan hidupnya selama beberapa dekad, terpaksa berdepan dengan hakikat bahawa zaman kegemilangan tersebut kian berakhir. Keadaan menjadi lebih rumit apabila jawatan Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu diambil alih oleh bekas isterinya sendiri, Madame V, yang terkenal dengan pendekatan tegas dan bercita-cita tinggi.
Dalam usaha menghidupkan semula perniagaan yang semakin merosot, Madame V memaksa Foon dan barisan hos kelab untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan era moden. Namun, tanpa pengetahuan mereka, sebuah konglomerat berkuasa sebenarnya sedang mengatur langkah di sebalik tabir untuk menutup Club EJ buat selama-lamanya.
Demi mempertahankan empayar neon mereka, Foon dan Madame V terpaksa mengetepikan konflik silam dan berganding bahu bersama para hos kelab dalam satu pertarungan terakhir yang penuh dramatik, melawan nasib yang seolah-olah telah ditentukan.
Pastikan tidak lepaskan peluang menonton Night King di pawagam Februari ini, kerana kisah cinta-benci, gelak tawa dan pertarungan dramatik Dayo Wong dan Sammi Cheng menanti untuk menghiburkan anda sepanjang Tahun Baharu Cina. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Golden Globe 2026: Hamnet & One Battle After Another Dominasi Kemenangan
- Billie Eilish Bawa 'Hit Me Hard and Soft: The Tour' ke Pawagam Mac Ini
- Disney Dominasi Asia Tenggara, Avatar: Fire and Ash Catat Pembukaan US$2.3 Juta
0 Comments