PENYANYI dan penulis lagu berbakat, Madison Beer, secara rasmi melancarkan album studio terbaharunya berjudul Locket menerusi Epic Records, serentak dengan pengenalan single utama Bad Enough serta video muzik rasmi lagu tersebut. Pelancaran ini menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Madison, yang sebelum ini telah mengumpul dua pencalonan GRAMMY dan mencatat jualan platinum menerusi karya-karyanya.
Album
Locket ditulis dan diterbitkan bersama oleh penyanyi asal New York, Amerika Syarikat ini sendiri, sekali gus menampilkan koleksi lagu paling beremosi, berani dan intim sepanjang kerjayanya setakat ini.
Karya ini memperlihatkan kematangan artistik Madison yang semakin jelas, serta meletakkan Locket sebagai antara album pop utama yang dijangka mendominasi landskap muzik global pada tahun 2026.
Baru-baru ini, Madison turut membuat penampilan istimewa di The Tonight Show Starring Jimmy Fallon, di mana dia mempersembahkan
Bad Enough secara langsung buat kali pertama. Persembahan tersebut mencuri perhatian penonton dan menjadi momen penting dalam memperkenalkan era baharu muziknya kepada khalayak yang lebih luas.
Bagi penyanyi berusia 27 tahun ini,
Locket bukan sekadar aksesori atau perhiasan, tetapi simbol kenangan dan rahsia yang disimpan rapat.
Konsep ini menjadi teras kepada keseluruhan album, yang menghimpunkan pengalaman hidup, emosi peribadi dan memori penting yang membentuk identitinya sebagai seorang penyanyi-penulis lagu dan figura pop moden.
Setiap lagu saling berkait, membina naratif yang mendalam dan berlapis, sekali gus menjadikan
Locket sebagai karya yang paling mendesak, magnetik dan peribadi dalam diskografinya.
Album ini turut memuatkan beberapa lagu yang sebelum ini menerima perhatian meluas, termasuk
Make You Mine, Yes Baby dan
Bittersweet.
Lagu
Make You Mine membawa Madison kepada pencalonan GRAMMY keduanya pada tahun 2025 menerusi kategori Best Dance Pop Recording. Sejak dilancarkan pada 2024, lagu tersebut berjaya menduduki tangga pertama carta Dance Airplay Billboard, menjadikannya lagu solo pertama Madison yang mencapai pencapaian tersebut serta mengukuhkan kedudukannya sebagai nama penting dalam arena Dance Radio.
Era ‘Locket’ dan Kejayaan Pentas Global
Kejayaan Madison diteruskan dengan
Yes Baby, yang dilancarkan pada September lalu dan sekali lagi menawan carta Dance Airplay Billboard.
Sementara itu
Bittersweet muncul sebagai detik penting dalam kerjayanya apabila menjadi lagu terpantas Madison memasuki radio Top 40, selain memberikan debut kerjayanya di carta Billboard Hot 100.
Lagu tersebut juga menjadi momen ikonik dalam persembahan langsungnya, termasuk di pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2025, di mana siaran langsung YouTube acara itu mencatat puncak tontonan sebanyak 2.5 juta penonton ketika Madison membuat persembahan, selain penampilannya di Dick Clark’s New Year’s Rockin’ Eve.
Seiring dengan pelancaran album ini, Madison turut mengumumkan siri jelajah dunia berskala besar yang akan berlangsung sepanjang musim bunga dan musim panas. Jelajah ini merangkumi persembahan di bandar-bandar utama di Amerika Utara, United Kingdom dan Eropah, menandakan antara fasa paling ambisius dalam kerjaya persembahannya setakat ini.
Siri konsert tersebut dijadualkan berakhir pada 13 Julai dengan persembahan istimewa di Madison Square Garden, New York, yang juga menjadi persembahan ‘pulang ke rumah’ buat Madison. Jualan tiket umum akan bermula pada 23 Januari, jam 12 tengah hari waktu tempatan.
Album
Locket hadir dengan senarai lagu yang merangkumi
Locket Theme, Yes Baby, Angel Wings, For The Night, Bad Enough, Healthy Habit, You’re Still Everything, Bittersweet, Complexity, Make You Mine dan
Nothing At All.
Keseluruhan album ini menggambarkan perjalanan emosi Madison yang jujur dan berlapik, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara suara pop paling relevan dan berpengaruh masa kini.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments