Jennie Bakal Sambut Hari Jadi Ke-30 Menerusi Pameran Fotografi Eksklusif ‘J2NNI5’


Oleh: AILEEN ADAM
BINTANG K-pop global, Jennie, bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 pada 16 Januari dengan pendekatan yang cukup berbeza dan bersifat peribadi menerusi sebuah pameran fotografi eksklusif.


Acara istimewa itu bukan sekadar simbol perayaan usia baharu, sebaliknya menjadi ruang refleksi artistik yang menyingkap sisi dirinya yang jarang dipertontonkan kepada umum.

Pameran bertajuk Photo Exhibition J2NNI5 ini dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 29 Januari (KST) di Usquake, Jongno-gu, Seoul, Korea Selatan.

Pengumuman rasmi mengenai penganjuran pameran tersebut dibuat oleh agensi miliknya, Odd Atelier Entertainment (OA), menerusi satu hantaran di Instagram yang turut disertakan dengan poster rasmi acara.

Visual poster berkenaan menampilkan close-up wajah Jennie yang diolah secara terfragmentasi dengan sentuhan artistik, sekali gus menggambarkan konsep pameran yang menelusuri pelbagai dimensi identiti dan ekspresi dirinya.

Reka visual itu pantas mencuri perhatian peminat dan menjadi perbualan hangat di media sosial, selari dengan reputasi Jennie sebagai figura yang sentiasa mencetuskan impak visual dan budaya.

Menyingkap Sisi Jennie Yang Jarang Dilihat

Difahamkan, pameran ini akan memaparkan koleksi foto Jennie ketika berusia 25 tahun yang belum pernah diterbitkan sebelum ini.

Setiap potret dirakam dalam momen-momen spontan dan tidak terduga oleh beberapa jurugambar terkemuka Korea Selatan, antaranya Hong Jang Hyun, Shin Sun Hye dan Mok Jung Wook, yang masing-masing dikenali dengan pendekatan visual tersendiri.

Lebih mengujakan, sebuah photobook eksklusif yang menghimpunkan potret-potret terpilih turut akan dilancarkan sempena pameran tersebut.

Koleksi ini dijangka menampilkan sisi berbeza anggota BLACKPINK itu, memperlihatkan ekspresi, emosi dan naratif visual yang jarang disorot dalam perjalanan kerjayanya sebelum ini.

Keistimewaan Photo Exhibition J2NNI5 turut terletak pada penglibatan langsung Jennie dalam keseluruhan proses kreatif. 

Penyanyi lagu Like Jennie itu terlibat dari peringkat awal perancangan konsep, penyusunan kandungan photobook, sehinggalah kepada reka bentuk dan aliran ruang pameran, menjadikan setiap elemen acara ini benar-benar mencerminkan perspektif peribadinya.



Pameran ini dirangka untuk menawarkan pengalaman imersif yang lebih mendalam kepada pengunjung, dengan pendekatan visual yang membawa naratif tersendiri serta berbeza daripada pameran fotografi konvensional.

Setiap sudut ruang diolah bagi mencerminkan emosi, pemikiran dan perjalanan artistik Jennie melalui lensa visual yang eksklusif.

Tarikh pembukaan pameran pada 16 Januari yang bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya ke-30 pastinya menjadikan acara ini lebih bermakna, bukan sahaja buat Jennie sendiri, malah kepada peminat yang mengikuti perjalanan seninya sejak awal.

Menariknya, OA turut memaklumkan bahawa keseluruhan hasil jualan tiket pameran ini akan disalurkan sepenuhnya kepada pihak yang memerlukan.

Jualan tiket dijadualkan bermula pada 9 Januari menerusi laman web Melon Ticket, sekali gus membuka peluang kepada peminat untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman istimewa yang merakam sisi autentik Jennie dalam sebuah naratif visual yang eksklusif. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments